fb fb fb fb fb

Setahun bersama Kerajaan Madani

Foto hiasan/FB Anwar Ibrahim

ULASAN BERITA

Tahun 2024, bakal menuntut Kerajaan Perpaduan bekerja lebih kuat. Memenangi hati rakyat dengan menambah baik lagi kualiti hidup masyarakat.

Membentuk ekosistem perniagaan yang lebih mesra, di tengah-tengah keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia. Berusaha lebih keras menangani kesan perubahan iklim, yang mengundang cuaca ekstrem.

Misalannya penurunan suhu di kawasan yang tidak pernah berlaku sebelum itu. Hujan lebat berterusan sehingga mencetuskan banjir besar dan banjir kilat di banyak kawasan. Sesungguhnya dalam hal ini, Kerajaan Perpaduan memiliki kekuatan tersendiri. Berlandaskan gagasan Malaysia Madani.

Madani diilhamkan berdasarkan konsep kesediaan menerima perubahan. Bermatlamatkan mengubah Malaysia menjadi negara yang lebih makmur dan maju.

Mengangkat visi, mencorak masa hadapan Malaysia dengan segala potensi yang ada, termasuk mengambil kira segala bentuk perubahan yang mengubah dunia. Berteraskan enam tonggak - Kemampanan, kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

Sejak pengenalan Malaysia Madani, tidak dinafikan negara berjaya mencapai kestabilan politik dan keamanan dalam tempoh setahun Kerajaan Perpaduan. Ini bukan penulis kata, tetapi pandangan pemerhati politik tan ahair dan antarabangsa. Disokong oleh data berintegriti dan tinjauan ahli ekonomi.

Mereka akui, terdapat pertumbuhan positif dalam ekonomi Malaysia di sebalik persekitaran ekonomi global yang lemah serta pelbagai konflik dunia.

Memang pada tahun ini momentum pertumbuhan ekonomi menjadi sederhana apabila diukur pada asas tahun ke tahun, disebabkan antaranya oleh penurunan ketara ekport barangan.

Tetapi penganalisis ekonomi juga berpendapat kadar pertumbuhan suku ke suku menunjukkan peningkatan. Ia naik ketara pada suku kedua dan ketiga 2023.

Apa lagi dengan jumlah nilai pelaburan tertinggi sebanyak RM225 bilion sehingga September tahun ini yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Nilai pelaburan sebanyak itu, merupakan antara pencapaian terbaik negara sepanjang sepuluh tahun lalu. Sekali gus membuktikan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai sebuah destinasi menarik pelaburan mereka.

Jadi tidak mustahil juga Bursa Malaysia diunjur kuat dengan indeks penanda aras FBM KLCI mencecah sehingga seribu 600 mata pada 2024.

Selain itu, ada orang berilmu dari Indonesia turut memuji konsep Malaysia Madani yang dibawa kerajaan. Perdana Menteri secara strategik meletakkan asas untuk pertumbuhan dan perancangan kecemerlangan mampan, seperti yang ditunjukkan dalam Belanjawan negara tahun depan.

Selain, Pakatan Harapan dilihat tidak akan berdepan ketidaktentuan politik meresahkan melalui tekad parti-parti politik yang membentuk kerajaan.

Berdasarkan banyak prospek itu, Perdana Menteri yakin negara ini berada di landasan tepat untuk terus maju.

Kerajaan Perpaduan katanya, punya pasukan yang mengutamakan kestabilan politik. Berusaha memperkenalkan setiap dasar dan program yang jelas untuk keselesaan rakyat yang lebih baik.

Antaranya menerusi inisiatif Payung Rahmah, yang secara tidak langsung memastikan bantuan disalur secara lebih terarah.

10 juta rakyat Malaysia juga disasar menerima manfaat menerusi penawaran kredit tunai e-Madani. Inisiatif itu antara usaha memacu pendigitalan pengguna di negara ini. Selain pengenalan Identiti Digital Nasional (IDN) sebagai satu bentuk pengesahan, semasa melakukan transaksi dalam talian.

Sesungguhnya kerajaan punya matlamat jelas dalam memperbaiki sistem sosial negara menerusi kerangka ekonomi Madani yang diperkenalkannya.

Tahun depan, tumpuan diberi kepada pembayaran upah dan gaji lebih berpatutan. Aspek itu penting demi memastikan rakyat, tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, menikmati hidup yang lebih selesa.

Oleh itu, bagi yang belum jelas tentang dasar-dasar dan program yang telah dilaksana kerajaan selama ini, orang ramai boleh mengunjungi Program Setahun Bersama Kerajaan Madani. Program itu diadakan di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil selama tiga hari bermula hari ini. Menawarkan informasi secara terus kepada rakyat melalui reruai pelbagai kementerian dan agensi.

Selain pameran, orang ramai berpeluang meninjau peluang kerjaya ditawarkan. Mengunjungi Jualan Mega MADANI dan mendapatkan bantuan pengurangan bayaran saman trafik serta kemudahan lain yang berkaitan. Semoga rakyat menikmati lebih banyak kesejahteraan dan kemajuan negara yang lebih baik tahun depan. Salam Malaysia Madani.

Ulasan berita ini disediakan oleh Affendi Abdul Karim Editor Kanan Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI