fb fb fb fb fb

RUU GEG: Tidak semudah itu

Foto Hiasan / Bernama

ULASAN BERITA

Dewan Rakyat pada Khamis meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dengan undian suara. RUU yang hebat diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Ramai menyuarakan rasa tidak puas hati dengan beberapa pindaan yang dibuat. Terutama keputusan menggugurkan peruntukan berkaitan Generasi Penamat Rokok (GEG).

Peruntukan GEG melarang penggunaan, pembelian, penjualan rokok dan produk vape kepada mereka yang lahir selepas 1 Januari 2007 dan seterusnya.

Sebagai ganti, larangan itu hanya merangkumi golongan yang dikategorikan sebagai Orang Belum Dewasa, iaitu individu berusia bawah 18 tahun.

Benar, semua orang menitikberatkan soal kesihatan, tidak kira daripada mana generasi itu bermula dan negara yang sihat adalah negara yang bebas asap rokok.

Kerajaan giat menjalankan kempen berhenti merokok dan vape, sejak sekian lama. Ini merupakan titik tolak ke arah usaha melahirkan masyarakat yang hidup sihat tanpa asap rokok.

Seiring dengan misi Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menurunkan peningkatan jumlah perokok kepada kurang daripada 5 peratus menjelang 2045.

Tapi, sabar dulu. Mari kita dengar penjelasan Menteri berkenaan, Dr Zaliha Mustafa. Menurut beliau peruntukan berkaitan GEG sebenarnya diketepikan dahulu selepas mengambil kira pandangan Peguam Negara.

Apa kata Peguam Negara? Peruntukan GEG itu bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan berkaitan layanan tidak sama rata atau dalam kata lain, diskriminasi. Malah ia boleh dicabar di mahkamah. Asas pertimbangan inilah yang mendorong keputusan menggugurkan peruntukan berkenaan.


0112 ulasan ruu geg 2Foto hiasan/Bernama

Betul, Ahli Parlimen yang gubal undang-undang. Namun, pendapat dan nasihat Peguam Negara harus diambil kira dalam penggubalan mana-mana undang-undang, supaya tidak bercanggah dengan undang-undang sedia ada, terutama Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, RUU yang jelas mempunyai kekurangan dan kelemahan, sebaiknya dielakkan. Lantaran itu kementerian membuat keputusan untuk mengutamakan kaedah kawalan terlebih dahulu sebelum memikirkan soal generasi penamat.

Dalam ucapan penggulungan di Dewan Rakyat, Dr Zaliha turut menafikan bahawa RUU yang dibentang tidak banyak beza dan lebih longgar berbanding versi asal. Jelasnya, RUU itu merupakan satu akta baharu yang membolehkan kawalan lebih menyeluruh dibuat.

Bawah RUU tersebut, terdapat peruntukan tambahan seperti keperluan pendaftaran semua produk merokok.Selain, larangan penjualan dan pengiklanan produk merokok dan peruntukan situasi akut atau kritikal yang tiada dalam peraturan sedia ada.

Kedua, strategi mewujudkan negara bebas tabiat merokok. Kementerian telah merangka dan akan melaksanakan pelan lima tahun memfokuskan aktiviti pendidikan kesihatan, melibatkan advokasi dan pencegahan merokok bagi melindungi generasi muda agar mereka kekal tidak merokok.

Kementerian juga akan terus mengukuhkan aktiviti intervensi untuk membantu mereka yang telah merokok agar membuang tabiat buruk itu.

Mengenai keputusan menggugurkan peruntukan berkaitan “peranti merokok”, Dr Zaliha berkata, ia sebenarnya tertakluk pada akta yang berada bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.Bukan spesifik bawah Kementerian Kesihatan.

Beliau turut mengambil maklum mengenai cakap-cakap sesetengah pihak kononnya pindaan dibuat berikutan “lobi kuat syarikat tembakau”.Katanya ia sekadar pandangan peribadi. Semua pihak bebas memberikan pendangan. Yang jelas, pihak kementerian tidak melupakan terus GEG.

Idea itu akan kembali disemak selepas penguatkuasaan akta baharu, jika perlu. Pemantauan berterusan akan dibuat untuk melihat keberkesanan akta baharu ini dalam usaha menurunkan jumlah perokok baharu.

Benar, kita boleh bertegas dalam isu rokok dan vape yang semakin digemari golongan muda.Tapi, biarlah kena dengan caranya. Adakah paksaan jalan terbaik?

Tidakkah pendekatan ini menutup ruang kepada generasi muda membuat pilihan sendiri? Bukankah lebih baik jika mereka diasuh membuat keputusan berpandukan pengetahuan dan kesedaran penuh tentang baik buruk sesuatu perkara?

Niat yang baik, bukan tiket untuk mengetepikan Perlembagaan Negara begitu saja. Seperti peribahasa Melayu, niat itu umpama surat. Salah tulis alamat, akan sampai salah tempat.

Ulasan berita ini disediakan oleh Nik Hafizul Baharuddin Editor Kanan Berita Radio RTM.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN