fb fb fb fb fb

Kelemahan dikesan dalam LKAN untuk ditambah baik

Foto hiasan/Bernama

ULASAN BERITA

Peruntukan dah diluluskan, tapi projek tak jalan-jalan. Ada juga perancangan hebat yang telah dimurni dan dimuktmadkan, tapi tak dilaksana.

Itu antara rumusan Laporan Ketua Audit Negara 2022 yang dibentang di Dewan Rakyat, Rabu lepas. LKAN edisi terbaharu meliputi tempoh 2019 hingga 2022.

Seperti yang kita sedia maklum, kayu pengukur kehebatan mana-mana perancangan atau strategi, terletak pada pencapaian akhir. Adakah matlamat yang ditetapkan berjaya dicapai sepenuhnya? 80 peratus? 50 peratus? Atau gagal sama sekali?

Misalnya, pencapaian bagi Pengurusan Program Penanaman Padi bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Berdasarkan rumusan audit, pencapaian diberi gred 'tidak memuaskan'. Persoalannya kenapa tidak memuaskan?

Pertama, sasaran output pengeluaran padi dan produktiviti padi per hektar tidak tercapai. Kedua, pencapaian objektif atau keberhasilan bagi pengeluaran beras dan tahap sara diri beras masih belum dicapai. Begitu juga tahap pendapatan pesawah. Selain itu, pengurusan program juga tidak memuaskan.

Perlu ditambah baik dari aspek pengurusan tanah, benih padi, baja dan jentera serta kawalan peruntukan. Menurut laporan pengauditan itu, terdapat jelapang padi belum diwartakan sebagai kawasan penanaman padi.

Ini menyebabkan kawasan penanaman padi di empat jelapang mengalami penyusutan lebih 11,000 hektar. Prestasi tidak memuaskan juga disebabkan masalah bekalan benih padi asas tidak mencukupi, sekali gus membuka ruang kepada penggunaan benih padi tidak diiktiraf.

Selain itu, daripada 892 jentera pertanian sedia ada, hanya 589 yang beroperasi. Laporan itu juga mendapati baki peruntukan terkumpul setakat 2022 berjumlah RM448.87 juta. Ini bermakna, lebih 7 peratus tidak dibelanjakan.

Kementerian juga didapati memberi pengecualian denda berjumlah RM211.27 juta kepada pembekal yang lewat menghantar baja. Ini bukanlah jumlah kerugian yang kecil ya! Ia sepatutnya boleh dielak jika kementerian bertegas mengenakan penalti kepada pihak yang sengaja melewatkan penghantaran.

Selain itu, terdapat kelemahan dalam pemantauan baki peruntukan, berjumlah RM26.77 juta. Kesannya, pengeluaran hasil padi terus merosot dari tahun ke tahun. Daripada 87.1 peratus pada 2019 kepada 81.6 peratus pada 2022. Jadi, apa agaknya penyelesaian untuk mengubah keadaan ini?

Seperti biasa Jabatan Audit Negara ada mengemukakan beberapa syor. Antaranya mewujudkan pangkalan data bersepadu dan menyeluruh. Meliputi maklumat berkaitan pesawah, keluasan kawasan penanaman padi, hasil pengeluaran padi dan beras serta pendapatan pesawah.

Kementerian melalui agensi terlibat juga disaran memastikan semua skim bantuan yang diperuntukkan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu golongan sasar mengurangkan kos pengeluaran padi, seterusnya mendapat manfaat daripada bantuan yang disalurkan.

Ke arah meningkatkan produktiviti pengeluaran padi pula, kementerian disaran memastikan keperluan benih asas di lapangan mencukupi. Bantuan baja sampai mengikut garis masa ditetapkan dan menyediakan perkhidmatan jentera dan mekanisasi yang dapat memenuhi keperluan pesawah.

Sebenarnya ada sesuatu yang luar biasa dalam pembentangan laporan kali ini. Buat julung kalinya, semua pihak termasuk masyarakat umum kini boleh mengakses dan menyemak status program-program yang tersenarai.

Semakan boleh dibuat menerusi papan pemuka atau dashboard Jabatan Audit Negara - https://agdashboard.audit.gov.my/. Dashboard ini bertepatan dengan hasrat PMX untuk memastikan prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik.

Tiada data, rekod atau status program disembunyikan. Termasuk ketirisan yang berlaku dalam perbelanjaan dana awam. Semuanya dapat diakses pada masa sebenar.

Menurut Ketua Audit Negara, kebanyakan isu yang dibangkitkan dalam laporan itu sedang diambil tindakan pembetulan dan penambahbaikan oleh kerajaan. Malah pelaksanaan beberapa program disusun semula, mengikut keperluan.

Hari ini genap setahun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan. Sepanjang setahun memimpin negara, banyak perubahan dilakukan, terutamanya dalam memulihkan ekonomi negara dan mengangkat semula nama negara di pentas global.

Dasar-dasar yang diperkenalkan telah membuka mata banyak pelabur antarabangsa berkelas premium. Komitmen pelaburan berjumlah beratus bilion diterima. Ini secara beransur-ansur diharap dapat mengimbangi hutang besar negara yang diwarisi.

Di peringkat domestik pula, banyak inisiatif diumumkan Perdana Menteri untuk rakyat. Antaranya, peningkatan bagi Sumbangan Tunai Rahmah. Daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion, meningkat 25 peratus. Peningkatan bantuan juga diumumkan kepada pesawah dan nelayan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 dan 2024, fokus yang lebih menyeluruh diberi kepada Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Peruntukan diberi secara adil. Bahkan, kerajaan Madani dengan jelas menunjukkan komitmen dalam soal Perjanjian Malaysia (MA 63).

Ada isu yang telah selesai dan ada yang masih dalam perbincangan. Yang jelas, Perdana Menteri mahu semua projek rakyat baik di peringkat persekutuan mahu pun negeri, disegerakan. Demi kepentingan rakyat tanpa mengira latar belakang dan wilayah. Ibarat matahari, gunung dan lembah sama diterangi.

Ulasan berita ini disediakan oleh Nik Hafizul Baharuddin Editor Kanan Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI