fb fb fb fb fb

Anak Palestin punya jati diri kuat, tidak mudah menyerah kalah – Ain

Nurul Ain Haron, 37 dan suami warga Palestin Mohamed A.M. Shaat ketika tiba di tanah air pada 14 November 2023/Foto Bernama

ULASAN BERITA

"Mama jangan menangis. Kalau kakak mati pun, kakak mati syahid." Itu ungkapan seorang rakyat Malaysia yang terperangkap di Gaza setiap kali berbual dengan ibunya menerusi telefon. Ia seakan penawar paling berkesan bagi sang ibu yang berada di tanah air.

Awal bulan lepas, Nurul Ain Haron buat pertama kalinya ke Gaza mengikuti suami, Mohamed Adan Shaat - seorang warga Palestin, setelah enam tahun mereka mendirikan rumah tangga.

Bayangkan perasaan Ain, pertama kali berjumpa mentua dan sanak saudara sebelah suami. Pastinya seronok kan? Peluang mengeratkan lagi silaturahim dengan keluarga suami.

Bagi Adan pula, peluang keemasan melepas rindu setelah sembilan tahun berada di perantauan. Sembilan tahun bukan tempoh singkat. Kalau bayi baru lahir, dah masuk darjah tiga pun. Ain dan Adan tiba di Gaza pada 1 Oktober.

Walaupun sedia maklum bumi Palestin tidak pernah sunyi daripada isu keselamatan, pasangan berjiwa besar ini sanggup mengambil risiko. Yang jauh didekatkan, yang dekat dieratkan. Maka terjalin sepenuhnya hubungan yang sebelum ini seakan tertunda.

Jarak bukan lagi pemisah. Hari demi hari, hubungan semakin rapat. Namun tak sampai seminggu Ain dan suami di Gaza, bumi Palestin bergegar lagi. Serangan udara besar-besaran rejim Israel meranapkan banyak bangunan awam. Malah, Ain menyambut hari jadinya pada 11 Oktober dengan letupan bom.

Sebagai seorang warga Malaysia yang biasa hidup dalam persekitaran selamat dan aman, suasana ini sangat asing. Sangat menakutkan. Tidak lama selepas itu, berita duka diterima. Salah seorang ahli keluarga Adan terkorban. Rumah kediamannya dibedil lapan peluru berpandu. Melampau betul.

Seolah-olah kediaman itu ancaman besar kepada rejim penjajah. Padahal rumah kediaman orang awam. Bukan markas tentera. Jelas, serangan jarak jauh dibuat secara rambang. Menurut Ain, sepanjang berada di Gaza, letupan paling dekat berlaku sekitar hanya 100 meter dari kedudukan mereka.

Beliau masih ingat pada satu malam, serangan bom bertalu-talu sepanjang malam. Pagi keesokannya seorang anak buah bertanya, "boleh tak saya ikut auntie balik Malaysia? Sebab di Malaysia tak ada bom." Permintaan ringkas yang cukup menyentuh perasaan.

Namun Ain berjaya mengumpul kekuatan. Dengan tersenyum mengingatkan bahawa setiap ujian pasti berakhir. Anak buah itu pun berlalu dan mula bermain-main dengan yang lain-lain. Begitu tabah anak-anak Palestin. Kehilangan anggota keluarga telah menjadi perkara biasa.

Mereka dilatih sejak kecil dengan jati diri yang kuat. Agar membesar menjadi bangsa yang tidak mudah menyerah kalah dan berputus asa.

Benar mereka akan menangis apabila kehilangan orang tersayang. Namun tangisan mereka bukan ratapan. Lebih kepada kesedihan atas perpisahan. Kerinduan mendalam yang bakal dibawa sepanjang hayat. Jauh di lubuk hati, mereka reda kerana setiap nyawa yang terkorban bukan percuma. Mereka gugur mempertahankan tanah air tercinta.

Keadaan bertambah buruk. Tidak ada tempat yang boleh dijamin selamat, waima hospital sekali pun. Menurut Ain, keadaan pesakit di hospital sangat menyedihkan. Dari hari pertama konflik hingga hari ke-41 semalam, mereka terputus bekalan elektrik dan air bersih.

Pesakit bersesak-sesak menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan. Ruang dan kelengkapan sangat terhad. Beitu juga dengan mereka yang hilang tempat tinggal. Menggigil kesejukan di khemah-khemah dan tepi jalan.

Ain dan suami bersyukur masih ada rumah keluarga untuk berlindung. Mereka bagaimanapun tidak berdiam diri. Kedua-duanya mengambil inisiatif menghulur bantuan, mana-mana yang termampu. Mengagih makanan kepada yang memerlukan, termasuk permainan kepada anak-anak Gaza.

Bagaimanapun bekalan makanan semakin hari semakin sukar diperoleh. Manakan tidak, kedai yang menjual makanan pun dibom tentera Israel yang mengaku kononnya mempertahankan diri.

Pada 9 November, Ain terima panggilan daripada wakil kedutaan Malaysia di Mesir. Mereka akan menyelaraskan urusan Ain dan suami keluar dari Gaza. Walaupun panggilan itu membawa berita gembira, ia juga mencetuskan dilema bagi pasangan ini. Bukan mudah untuk membuat keputusan. Ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Terima kasih kepada Ain dan Adan yang sudi berkongsi pengalaman mereka di Gaza dalam program Selamat Pagi Malaysia edisi semalam. Rakamannya boleh ditonton di saluran Youtube Berita RTM dan RTM klik, bertajuk GAZA TERUS BERMANDI DARAH.

Didoakan keluarga Adan dan seluruh rakyat Palestin, baik di Gaza mahupun Tebing Barat sentiasa dalam naungan Tuhan sekian alam. Bebaskan Palestin daripada cengkaman perampas.

Ulasan berita ini disediakan oleh Bakhtiar Effendy Mohd Dom Editor Kanan Berita Radio RTM.

TONTON TEMU BUAL DALAM SPM-  GAZA TERUS BERMANDI DARAH  

MAT YUNUS BIN SABRI