fb fb fb fb fb

Atasi kelewatan segerakan tindakan

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan Kolokium MADANI Perkhidmatan Awam/Foto FB Anwar Ibrahim

ULASAN BERITA

Benda boleh cepat, kenapa nak lambat-lambat? Begitulah lebih kurang mesej yang kerap kali diulang-ulang PMX sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Semakin hampir kepada ulang tahun pertama kerajaan pimpinannya, semakin kerap pula mesej seumpamanya ditekankan. Kalau sebelum ini PMX bertekad mengembalikan status Malaysia sebagai negara hebat di Asia dalam masa lima tahun.

Rabu lepas semasa merasmikan Kolokium Madani Penjawat Awam beliau menyatakan keyakinan, hasrat itu dapat dicapai dalam tempoh sesingkat dua hingga tiga tahun.

PMX juga menyuarakan penghargaan kepada rakan-rakan Jemaah Menteri, KSN dan pimpinan penjawat awam atas kerjasama yang bagi beliau, amat membanggakan.

Keupayaan dan potensi yang ditunjukkan memberi suntikan semangat baharu.Beliau mengambil maklum, inisiatif-inisatif yang telah dilaksanakan bersama, sudah mula membawa perubahan.

Dalam masa singkat, minat negara-negara luar untuk melabur di Malaysia semakin meningkat. Ini dapat disaksikan dengan jelas dalam siri pertemuan beliau dengan pemimpin dan peneraju perniagaan negara-asing asing. Seperti Belanda, Jepun, Arab Saudi, Mesir, Turkiye dan U-A-E.

Betul, Malaysia sememangnya sudah mempunyai hubungan baik dengan mereka. Namun minat yang ditunjukkan kali ini berbeza. Baru bulan lepas PMX mengadakan lawatan kerja ke UAE.

Lawatan dua hari itu berjaya menjana komitmen pelaburan sebanyak RM40.6 bilion untuk Malaysia dalam sektor seperti tenaga boleh baharu, aeroangkasa dan logistik. Termasuk komitmen syarikat tenaga Abu Dhabi, Masdar untuk melabur sehingga RM37.8 bilion.bMelibatkan projek-projek tenaga boleh baharu dengan kapasiti 10 gigawatt .

Sejak itu sudah dua kali rombongan UAE mengunjungi Malaysia untuk urusan pelaburan yang serius. Putera Mahkota Mohammed bin Salman pula memutuskan untuk membesarkan pelaburan syarikat minyak dan gas Arab Saudi, Aramco di negara ini. Serta memberi komitmen menjadikan Malaysia hab pelaburan terbesar negara itu di rantau Asia Pasifik.

Cukuplah dua contoh ya. Yang penting di sini, keupayaan meyakinkan pelabur untuk menanam dan menambah modal mereka di Malaysia. Ia membuktikan dasar, perancangan dan hala tuju kerajaan MADANI punyai tarikan tersendiri.

Di sebalik peluang luas yang terhidang dan keyakinan tinggi disuarakan PMX, beliau turut memberi peringatan. Kaedah lama dalam meluluskan pelaburan dari luar negara perlu dirombak.

Sepatah kata PMX, "kaedah lama dah tak boleh pakai". "Orang mintak nak labur, tunggu lapan bulan baru bagi jawapan". Antara maklum balas yang beliau terima daripada pelabur di New York, Malaysia ni semuanya baik. Profesional belaka. Tapi bab kelulusan? Lambat....lemah.

Itulah kelemahan ketara yang perlu kita atasi segera. Kita perlu ingat, sebelum membuat keputusan akhir, pelabur pastinya membanding-bandingkan kita dengan negara-negara jiran.

Terutama yang turut berada di sekitar lokasi strategik macam Malaysia. Kelulusan yang lambat menggambarkan seolah-olah kita tak berminat.

Teguran PMX tidak habis di Kolokium Madani Penjawat Awam. Rupa-rupanya ada sambungan. Semalam beliau melancarkan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040.

PMX mahu tahap kecekapan pegawai kerajaan di seluruh negara ditingkatkan bagi mempercepat kelulusan sebarang pelaksanaan projek. Beliau bermula dengan memuji kecekapan pelaksanaan projek di dalam negara yang kini dilihat berada pada tahap baik.

Namun diimbangi dengan teguran membina. Realitinya, tahap kecepatan kelulusan projek masih belum memuaskan.

Bagi menangani isu itu kata beliau, pegawai terlibat perlu diberi pendedahan dan latihan tambahan. Pastikan kelulusan diberi sesegera mungkin sebaik keputusan dibuat. Ini yang dinamakan kemudahan menjalankan perniagaan atau "ease of doing business".

Dalam hal berkaitan PMX mengingatkan semua pihak terutama PBT, jangan melengahkan mana-mana projek pembangunan yang telah diputuskan dan diluluskan.

Antara langkah segera yang diambil ialah mengarahkan DBKL membentangkan laporan berkaitan status pelaksanaan projek pembangunan di ibu kota.

Ia bagi mengelakkan penangguhan projek sehingga berkemungkinan memberi kesan dan kesukaran kepada pelbagai pihak. Terutamanya yang melibatkan projek rakyat.

DBKL diberi tempoh dua minggu untuk membuat pembentangan. Secara sinis PMX berkata "kalau tidak... nanti keputusan projek akan kita tangguh sampai tahun hadapan".

Nasihat itu bagaimanapun bukan ditujukan khusus buat DBKL. Beliau mengakui, isu kelewatan bukan hanya berlaku di Kuala Lumpur. Tetapi seluruh negara.

Berbalik kepada persoalan utama...benda boleh cepat, kenapa nak lambat-lambat?

Ulasan berita ini disediakan oleh Bakhtiar Effendy Mohd Dom Editor Kanan Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI