fb fb fb fb fb

Usah terpengaruh diayah harga ayam naik akibat penamatan subsidi

Foto hiasan

ULASAN BERITA

Tarikh yang dinantikan akhirnya tiba. Rabu 1 November 2023, tarikh subsidi ayam ditamatkan.

17 hari lepas dalam Sidang Dewan Rakyat, seorang Ahli Parlimen dengan lantang mengkritik rancangan kerajaan mengurangkan subsidi. Termasuk subsidi ayam dan telur.

Menurut beliau itu, akan ada kenaikan harga sampai 35 peratus. Ini pastinya menjejaskan golongan B40 dan M40.

Hmm...35 peratus ya? Baiklah, mari kita kira. Di Semenanjung, harga kawalan ayam RM9.40 sen sekilogram. Jika naik 35 peratus, harga akan melonjak kepada RM12.69 Sen.

Di Sabah, Sarawak dan Labuan pula harga kawalan RM11.30 Sen. Jika naik 35 peratus, harga baharu ialah RM15.12 Sen. Memang mendadak sungguh.

Ucapan beliau itu telah tular di sana sini dan mencetuskan kegusaran ramai orang. Tidak sedikit yang menonton dan berkongsi video beliau beraksi penuh semangat. Tapi itu jangkaan dan sangkaan beliau semata-mata.

Rupa-rupanya, hanya subsidi dan harga kawalan ayam ditamatkan. Telur langsung tak disentuh. Jadi apa yang berlaku pada hari pertama harga ayam diapungkan?

68 premis di seluruh negara didapati menjual pada harga lebih tinggi daripada harga siling ditetapkan sebelum ini.

Ingat ya, harga jangkaan beliau itu sekitar RM12.69 Sen di Semenanjung. RM15.12 Sen di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Harga sebenar bagaimana pula? Tepatkah ramalan tuan YB? Jawapannya, sipi-sipi.

Benar ada kenaikan harga. Paling tinggi RM11.00 di Semenanjung, RM13.00 di Sabah, RM12.00 di Sarawak dan RM12.50 Sen di Labuan.

Jika dibandingkan dengan harga kawalan, harga tertinggi di Semenanjung ialah 17 peratus lebih tinggi berbanding harga kawalan. Manakala di Sabah 16 peratus, Sarawak 7.14 peratus dan Labuan 11.6 peratus.

Jelas peningkatan tertinggi berlaku di Semenanjung sebanyak 17 peratus.

Kadar ini bagaimanapun tidak sampai separuh pun daripada kenaikan mendadak 35 peratus yang diramalkan YB kita. Dan kisahnya tidak berakhir pada peningkatan harga. Penurunan sebenarnya lebih tinggi daripada kenaikan.

Di Semenanjung, 90 peratus kawasan yang dipantau didapati menjual ayam bawah paras RM9.40 Sen sekilogram. Paling rendah bukan RM9, RM8 atau RM7. Tetapi RM6.49 Sen, hampir 31 peratus.

Kalau diikutkan taksiran Ahli Parlimen itu, kadar ini barangkali boleh disebut sebagai penurunan mendadak. Bukan penurunan biasa-biasa. Tak ada pula yang laungkan harga turun mendadak.

Penurunan harga turut dicatatkan di Sabah iaitu 0.88 peratus dan Sarawak 13.27 peratus. Mungkin ramai yang terlepas pandang.

Pemberian subsidi dan pelaksanaan harga kawalan ni sebenarnya langkah sementara. Untuk menstabilkan bekalan dan mengawal harga. Puncanya, isu kenaikan kos operasi terutama harga dedak yang meroket.

Mungkin kita masih ingat tidak lama dulu, bekalan ayam di pasaran sangat terhad. Pada masa itu, ada duit pun belum tentu dapat beli ayam.

Ayam bagaikan hidangan eksotik. Bermula Februari tahun lepas, kerajaan menyediakan subsidi kepada penternak bagi membantu meringankan beban mereka. Serentak dengan itu, harga kawalan dilaksanakan bagi menjaga kebajikan pengguna.

Pemberian subsidi yang sepatutnya tamat pada akhir Disember tahun lalu, disambung dari 1 Januari hingga hingga 30 Jun tahun iniā€¦ dan kemudiannya dilanjutkan lagi. Hinggalah Selasa lepas.

Keputusan dibuat setelah mengambil kira faktor operasi yang kembali stabil, seterusnya menyumbang kepada kestabilan bekalan di pasaran.

Untuk berlaku adil, kerajaan tidak pernah mendakwa harga ayam tidak akan naik setelah pemberian subsidi dan harga kawalan ditamatkan.

Perkara itu memang diakui. Cumanya tidaklah mendadak. Kerajaan beri jaminanan akan turun tangan jika ada pihak jual pada harga tak munasabah.

Bagi pengguna, kita masih ada pilihan. Harga kini bergantung pada hukum permintaan dan penawaran. Pilih penjual harga patut.

Kita juga digalakkan membuat aduan kalau ada peniaga mengenakan harga melampau-lampau. Seperti yang disaksikan pada hari pertama harga diapungkan, masih ramai peniaga bertanggungjawab dan bertimbang rasa.

Terima kasih, semoga dimurahkan rezeki dan perniagaan mereka terus berkembang. Bercakap mengenai pengurangan subsidi, siri PKP yang melelahkan pastinya masih segar dalam ingatan kita.

Ketika itu negara kehilangan ratusan juta hingga berbilion ringgit, sehari. Gara-gara PKP dan COVID, kantung kewangan menjadi tenat.

Menerusi penamatan subsidi dan kawalan harga ayam, RM100 juta dapat dijimatkan setiap bulan.Ini membolehkan kerajaan meningkatkan pelbagai inisiatif sosioekonomi dan kebajikan rakyat, termasuk bantuan tunai.

Orang berbudi kita berbahasa.

Ulasan berita ini disediakan oleh Bakhtiar Effendy Mohd Dom Editor Kanan Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI