fb fb fb fb fb

Hak rakyat Palestin terus dinafikan, dunia perlu sepakat

Protes tanda sokongan kepada penduduk Palestin di New York/Foto AFP

 

ULASAN BERITA

"Gaza terus DITERJAH,
... namun pejuang tak pernah LELAH,
Demi pertahan bumi BERTUAH, secara BERMARUAH,
Mana mungkin MENYERAH,
Kebenaran pasti TERSERLAH,
Akan tiba waktunya ... musuh durjana REBAH,
... dan kemenangan akhirnya BERBUAH."

Dengar, amati, dan fikirlah guna logik akal. Bukan sehari dua. Bukan sebulan, dan bukan juga setahun. Tapi, konflik di antara Palestin dan Israel berlarutan sejak lebih tujuh dekad lalu.

Menyaksikan penduduk Palestin menderita dan hak mereka dinafikan apabila ditindas rejim zionis dalam negara sendiri. Tanpa perikemanusiaan dan mencabuli undang-undang antarabangsa.

Perlu dilabel apa ya? BIADAP? Tidak semudah itu ... Mereka lebih kepada bangsa ZALIM, tidak tahu mengenang budi kerana rakus menjarah wilayah Palestin sedikit demi sedikit sejak mengisytiharkan 'negara' HARAM Israel pada 1948. Sudah diselamatkan, menjajah pula!!

Itu pun ada yang menyokong dan membenarkan tindakan terkutuk Israel menceroboh

dan mengambil alih tanah rakyat Palestin? Jangan tidak tahu, ada juga yang mengaku bersikap 'neutral' dalam isu ini. Bacul, itu jawapan paling tepat untuk golongan tersebut.

Ya! Sebab wujudnya perlakuan seumpama itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa mempedulikan ugutan negara luar, terus melahirkan solidariti Malaysia -- akan terus memperjuangkan kebebasan Palestin berikutan situasi yang sedang berlaku di Gaza.

Ternyata, beliau lantang mengangkat hak Palestin dan mengkritik negara barat yang bersikap hipokrit.

Ketegasan tersebut dilontarkan dengan yakin dalam temu bual dengan Arab News, di luar Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Keselamatan Teluk (GCC) di Riyadh, Arab Saudi pada 20 hingga 21 Oktober.

Buat pertama kali dalam sejarah negara sebenarnya, tatkala Malaysia mengambil keputusan untuk mengelilingi negara Arab demi menyatakan pendirian susulan kekejaman Israel terhadap Palestin.

Menyaksikan dalam tempoh seminggu ini, beliau berkesempatan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin negara Arab dan Islam termasuk Arab Saudi, Riyadh, Bahrain serta Turkiye.

Sedar atau tidak ... perkembangan terkini perang Israel-Palestin sebenarnya telah menaikkan semangat umat Islam di seluruh dunia menentang kekejaman rejim Zionis.

Malah, konflik yang sudah mengorbankan banyak nyawa itu menyatukan dunia untuk membantu perjuangan pembebasan Palestin daripada cengkaman kejam penjajah Israel di bumi anbia sejak sekian lama.

Meruntun sanubari, apabila setakat ulasan berita ini ditulis, lebih

6,000 rakyat Palestin termasuk 2<740 kanak-kanak telah terbunuh. Manakala 18,000 lagi cedera akibat serangan tentera rejim di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sejak 7 Oktober lalu.

Betapa sadisnya, bukan setakat berlaku pertumpahan darah dalam kalangan orang awam. Tidak terkecuali petugas perubatan dan golongan media. Malahan ... kediaman penduduk, masjid serta gereja, hospital, sekolah, musnah dibom rejim Zionis. Bekalan air dan elektrik terputus apabila loji janakuasa dibedil. Bantuan kemanusiaan disekat.

Semalam, Malaysia turut menyatakan komitmen bekerjasama dengan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menangani kekejaman Israel ke atas Palestin. Selain mendesak Benjamin Netanyahu dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Perkara itu ditegaskan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di sidang Dewan Rakyat.

Pada masa sama, Malaysia bercadang menyertai sesi lisan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang dijangka berlangsung pada 19-Februari tahun depan. Khusus bagi mengemukakan kenyataan untuk mendapatkan pendapat nasihat berhubung isu Palestin.

Dalam hal ini, pendirian Malaysia mempertahankan Palestin tidak perlu dibimbangkan. Perdana Menteri memberi jaminan terhadap keselamatan negara dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia.

Sesungguhnya, sehingga saat ini, bantuan negara berterusan, meliputi pelbagai aspek. Tidak terhad kepada bantuan kewangan menerusi sumbangan prihatin dan barangan keperluan. Tetapi juga sokongan moral yang dikongsikan menerusi pelbagai platform termasuk media sosial. Dengan tekanan demi tekanan dilakukan terhadap rejim.

Menyaksikan Menteri Komunikasi dan Digital - Fahmi Fadzil mendedahkan, penyedia aplikasi TikTok secara sistematik telah menurunkan kandungan berkaitan konflik Palestin-Israel dari Malaysia.

Terbaharu... Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, Malaysia mengambil pendirian tunggu dan lihat mengenai keputusan PBB berhubung penghantaran tentera pengaman ke Palestin. Perkara itu akan dipertimbangkan -- terutamanya oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Ironinya, dari masa ke masa kita menyaksikan betapa 'lakonan' perdamaian dan pakatan wujud -- semata-mata untuk menyelamatkan negara haram Israel.

Apapun, hanya sokongan tidak berbelah bahagi dan doa, mampu menyelamatkan dan membela rakyat Palestin.

"DARI SUNGAI HINGGA KE SEGARA, PALESTIN PASTI MERDEKA."

Ulasan berita ini disediakan oleh Eza Yusmawati Yaacob, Editor Kanan Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI