ULASAN BERITA
Bayangkan, mata wang ringgit digunakan dalam urusan perdagangan Malaysia dengan negara-negara dagang utama. Ya, dalam ringgit bukan lagi Dolar Amerika atau USD.
Visi ini dikongsikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dalam sidang Dewan Rakyat, Selasa lepas.
Menurut beliau, kerajaan sedang merancang untuk mengurangkan kebergantungan pada Dolar Amerika sebagai mata wang rizab, medium pertukaran atau sebagai unit akaun.
Langkah ini yang dikenali sebagai 'dedollarisation', antara lain bertujuan mengawal penyusutan nila ringgit.
Walaupun sukar menghentikan sepenuhnya penggunaan USD secara mendadak dalam perdagangan antarabangsa, langkah ke arah itu telah pun digerakkan.
Kata Perdana Menteri, BNM sedang mempelopori inisiatif menggalakkan penggunaan mata wang tempatan.
Beberapa siri perbincangan juga telah diadakan dengan China, Indonesia dan Thailand yang menyatakan persetujuan menggunakan ringgit dalam urusan perdagangan.
Di peringkat awal, dianggarkan 28 peratus urusan pelaburan Malaysia dengan negara-negara berkenaan, akan menggunakan mata wang ringgit.
Laporan media sebelum ini menyebut, Malaysia sudah menandatangani rangka kerja penyelesaian mata wang tempatan dengan Thailand dan Indonesia.
Ketiga-tiga negara bersetuju menggalakkan penggunaan mata wang tempatan sebagai penyelesaian perdagangan dan pelaburan.
Malaysia juga antara negara pertama menandatangani perjanjian pengaturan tukaran mata wang dengan China.
Ringgit dan yuan akan digunakan dalam urusan perdagangan dan pelaburan.
Kedudukan ringgit diharap lebih kukuh dan stabil apabila pendekatan serupa dapat diperluas, melibatkan negara-negara dagang yang lain.
Ketika itu, kadar pertukaran mata wang kita bakal ditentukan secara fundamental iaitu, import dan juga eksport.
Seperti yang sering diutarakan pakar kewangan, kadar pertukaran ringgit-Dolar Amerika ketika ini sebenarnya tidak menunjukkan nilai fundamental. Ia lebih bersifat spekulatif.
Ketidakseimbangan itu didorong kadar faedah bank pusat Amerika Syarikat atau Rizab Persekutuan, yang tinggi.
Jika diperhatikan, setiap kali rizab persekutuan menaikkan kadar faedah, maka akan menyusutlah nilai mata wang yang bergantung pada Dolar. Termasuk mata wang negara-negara maju.
Kesediaan Malaysia keluar daripada sistem USD adalah keputusan besar dan berani. Sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Jadi, apakah kesan langsung yang bakal dihadapi?
Dengan berlatarbelakangkan suasana sosioekonomi dan geopolitik global yang tidak menentu ketika ini, tiada jawapan pasti dapat diberi.
Bagaimanapun, secara teorinya begini...
Apabila Malaysia dan negara-negara dagang utama mula bergerak keluar, kebanyakan bank pusat dijangka mengurangkan pegangan rizab USD mereka.
Sekiranya langkah ini disusuli negara-negara lain sehingga menyebabkan kesan domino, kedudukan Dolar yang telah sekian lama mendominasi ekonomi global akan melemah.
Dan, jika semakin banyak negara mula menggunakan mata wang tempatan dalam urusan perdagangan dan pelaburan, kepentingan memegang Dolar pastinya berkurangan.
Bank pusat akan beralih kepada rizab emas dan alternatif lain.
Langkah awal 'dedollarisation' melibatkan kuasa besar semakin jelas, susulan konflik bersenjata di Ukraine.
Rusia yang berhadapan pelbagai sekatan antarabangsa diketuai Washington, NATO dan Kesatuan Eropah mengalihkan rizab mereka kepada emas dan mata wang lain.
Kremlin juga menetapkan syarat kepada negara yang dianggap tidak mesra Rusia, supaya membuat bayaran bagi bekalan minyak dan gas, menggunakan mata wang Ruble. Dolar Amerika atau Euro tidak diterima.
China sebagai negara sekutu, dibenar melunaskan pembelian besar-besaran komoditi dari Rusia menggunakan yuan.
Di samping itu, China juga telah menandatangani perjanjian untuk menggunakan mata wangnya sendiri dalam perdagangan dengan Arab Saudi dan Brazil.
Penganalisis ekonomi menyifatkan 'dedollarisation' sebagai perubahan yang tidak dapat dielak.
Cuma putarannya dijangka perlahan. Sedangkan iklim dunia pun berubah. Ini kan pula kedudukan mata wang. Hanya masa yang menentukan.
Bagi Malaysia, keputusan beralih kepada mata wang tempatan dalam urusan perdagangan diharap mendapat sokongan negara-negara sahabat. Agar manfaatnya dapat dinikmati bersama.
Ulasan berita ini disediakan oleh Bakhtiar Effendy Mohd Dom, Editor Kanan Berita Radio RTM.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.