fb fb fb fb fb

Jerebu rentas sempadan kembali, akta berkaitan perlu disegerakan

Foto Bernama

ULASAN BERITA

Malaysia kembali dilanda jerebu. Beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung dan Sarawak terus mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat, sejak beberapa hari lalu.

Ia sehingga memaksa amaran tahap pencemaran tinggi, dikeluarkan di kebanyakan kawasan di barat Semenanjung.

Puncanya..disahkan bukan dari Malaysia. Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad menjelaskan tiada sebarang kebakaran besar dilaporkan berlaku dalam negara yang boleh dikaitkan dengan keadaan berjerebu ketika ini.

Sebaliknya, data yang diperoleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), mendapati keadaan itu berpunca dari negara luar.

Dalam tempoh 20 hingga 28 September lalu -- sebanyak 2,203 titik panas dikesan Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) di sekitar Kalimantan. Ini berbanding hanya empat di Sarawak.

Cuaca kering dan berangin turut mengakibatkan lebih 300 kebakaran hutan dan tanah gambut di Sumatera, Indonesia, masih gagal dipadam. Ia mengakibatkan seluruh bandar Palembang dilitupi asap. 

Sekali gus, menyebabkan jerebu rentas sempadan yang menjejaskan pantai barat Semenanjung serta bahagian barat Sarawak. Isu itu yang seolah-olah menjadi fenomena tahunan di Asia Tenggara, terus meresahkan rakyat di rantau ini.

Apa tidaknya, jerebu rentas sempadan melibatkan Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei, bukan sahaja memberikan implikasi yang buruk terhadap alam sekitar. Malah, ekonomi, kesihatan awam dan kesejahteraan penduduk serantau. Ia boleh menyebabkan negara kerugian lebih RM1 bilion.

Ini mengambil kira kos ke atas sektor pelancongan dan perniagaan, kos memadam kebakaran dan operasi pembenihan awan, pembatalan jadual penerbangan dan acara sukan, kos kesihatan awam dan kemusnahan biodiversiti.

Atas faktor itu, Malaysia akan menguna pakai platform Kerajaan dengan Kerajaan (G2G), diplomasi dan ASEAN sebagai langkah mengatasi masalah jerebu rentas sempadan.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim juga akan melihat keperluan untuk memperbaiki perjanjian yang telah dicapai sebelum ini selaras dengan perkembangan semasa.

Selain, melihat langkah seterusnya yang terbaik dalam menangani masalah itu. Ini termasuk persetujuan Malaysia dan Singapura pada November 2019 untuk bekerjasama dalam melaksanakan kajian dan pembangunan (R&D) dalam bidang pencegahan kebakaran di tanah gambut. Ini bagi mencari penyelesaian menangani isu jerebu di rantau ini.

Kerajaan juga disaran menggubal segera Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan. Akta itu akan membolehkan kerajaan mengambil tindakan terhadap individu atau syarikat daripada Malaysia yang menyebabkan jerebu tanpa mengira lokasi kebakaran dilakukan.

Ini memandangkan sekiranya jerebu berlaku disebabkan aktiviti penanaman semula ladang kelapa sawit atau aktiviti pertanian -- penggubalan akta berkaitan jerebu, dilihat amat wajar.

ARTIKEL BERKAITAN
Jerebu: Malaysia tunggu maklum balas Indonesia
Malaysia hantar surat kepada Indonesia, atasi jerebu
Jerebu: Kurangkan aktiviti luar darjah, elak risiko masalah kesihatan
Palembang kini diselubungi jerebu tebal
Jerebu: Peka dengan arahan, keadaan semasa

Sehingga kini, belum ada undang-undang khusus di Malaysia untuk mengawal perkara itu. Sebaliknya, Singapura telah meluluskan undang-undang sedemikian pada 2014.

Sungguhpun begitu, usaha menangani jerebu rentas sempadan memerlukan kerjasama semua pihak terutama Indonesia. Tindakan lebih proaktif perlu dilakukan dalam menangani isu pembakaran terbuka di negara itu secara sistematik.

Ini termasuk meningkatkan usaha penguatkuasaan pembakaran di hutan dan ladang berisiko tinggi. Langkah tersebut bagi mengelak jerebu berulang. Ini memandangkan aktiviti pembakaran hutan di negara itu, bukan lagi isu domestik.

Sebaliknya, menjadi masalah serantau apabila impak pencemaran udara merentasi sempadan ke negara jiran. Rakyat pula, perlu mengambil segala langkah pencegahan yang perlu bagi mengurangkan impak pencemaran udara terhadap kesihatan mereka.

Jerebu berupaya mencetuskan gangguan pernafasan, terutama kepada golongan kanak-kanak. Ini kerana fungsi paru-paru dan sistem imun mereka yang belum cukup matang.

Semua pihak juga diingatkan tidak menganjurkan aktiviti di luar terutama sekolah yang berada dalam kawasan IPU tidak sihat. Selain, banyakkan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga. Sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi badan.

Individu yang mengalami gejala seperti batuk, selesema, asma, sakit mata dan jangkitan paru-paru pula dinasihat supaya mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan dengan segera. Langkah itu bagi mengelakkan kesan lebih teruk berlaku.

Media Baharu