fb fb fb fb fb

Program beras putih tempatan atasi isu bekalan

Foto hiasan/FB Menteri

ULASAN BERITA

Demi sesuap nasi. Ungkapan ini sering dikaitkan dengan usaha mencari rezeki.

Ia membayangkan kesediaan seseorang melalui jerih perih yang melelahkan semata-mata untuk meneruskan kehidupan. Dalam konteks ini, nasi dijadikan simbolik kepada penyambung nyawa.

Orang sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkannya. Ini bukan kias makrifat, sekadar pembuka bicara.

Pada realitinya, nasi adalah makanan ruji orang kita. Selagi bernama orang Malaysia, hari seakan tidak lengkap selagi tidak menjamah nasi. Tak kiralah nasi lemak, nasi campur, nasi kandar, nasi ayam, nasi dagang atau kerabu.

Pengecualian mungkin bagi mereka yang berhadapan masalah kesihatan atau yang sedang bergelut menurunkan berat badan. Namun perjuangan mereka menahan diri daripada menjamah nasi itu benar.

Sejak kebelakangan ini, kita dikejutkan dengan pelbagai video dan gambar yang ditularkan, kononnya harga beras tempatan melambung tinggi.

Antaranya menunjukkan kenaikan ketara harga daripada RM27.20 bagi kampit 10 kilogram tahun lepas, kepada RM39.00 tahun ini.

Dakwaan seumpama ini sangat berbahaya dan boleh mengundang keresahan orang ramai. Entah apalah niat individu yang menularkannya. Mungkin beliau keliru.

Gambar beras yang dipaparkan sebenarnya bukan beras tempatan, tetapi beras import yang harganya tidak dikawal.

Harga kawalan beras Super Spesial Tempatan (SST) masih kekal hingga hari ini. RM2.60 sekilogram, RM13.00 bagi kampit 5 kilogram dan RM26.00 kampit 10 kilogram.

Bagi mengelak kekeliruan ini berulang, ada baiknya kita sebagai pengguna mengambil tahu tentang kod warna yang digunakan pada bungkusan beras.

Untuk beras putih tempatan, kodnya berwarna ungu tanpa mengira jenama.

Warna ini terletak pada bulatan yang tertera perkataan Super Special Tempatan 5 peratus. Di sini, isu sebenar ialah kekurangan bekalan beras tempatan di beberapa lokasi. Di lokasi lain, bekalan masih ada.

Berdasarkan tinjauan pihak berkuasa, bekalan sebenarnya mencukupi jika tiada perubahan berlaku kepada pola tingkah laku pengguna.

Seperti yang diketahui ramai, beras tempatan menampung 70 peratus keperluan domestik, manakala selebihnya 30 peratus beras import.

Beras tempatan bagaimanapun didapati cepat habis disebabkan kecenderungan pengguna beras import, beralih kepada beras tempatan.

Mereka beralih kepada beras tempatan untuk menjimatkan perbelanjaan.

Peralihan ini bertambah jelas bulan ini setelah penyelarasan harga beras import dilaksanakan berikutan peningkatan kos.

Peningkatan itu antara lain disebabkan tindakan pengeksport beras terbesar dunia, India menghentikan eksport "beras putih bukan basmati".

Keputusan itu dibuat selepas harga beras runcit meningkat 11.5 peratus, selain berlaku hujan monsun lebat menyebabkan kerosakan besar-besaran pada tanaman.

Dasar eksport terpaksa dipinda bagi memastikan bekalan mencukupi di pasaran India dan untuk meredakan kenaikan harga di pasaran domestik.

Ya, pengeksport terbesar dunia juga mengalami kenaikan harga beras di pasaran domestik.

Myanmar pula menyekat eksport beras selama 45 hari bermula hujung bulan lepas, juga untuk mengawal kenaikan harga domestik.

Di Thailand dan Vietnam, harga beras melonjak ke paras tertinggi masing-masing dalam tempoh 10 dan 11 tahun.

Seperti negara-negara pengeluar beras yang lain, dua anggota ASEAN ini turut menghadapi masalah bekalan kerana hasil tanaman merosot akibat kesan cuaca kering, El Nino.

Di sini jelas, masalah bekalan beras telah menjadi isu global. Negara-negara pengeksport menghadapi masalah serupa. Hasil tuaian yang merosot dan peningkatan harga domestik beras tempatan.

Di Malaysia, harga beras tempatan tidak dinaikkan. Jika ada peniaga yang menaikkan harga, lekas-lekaslah buat aduan sebelum dinormalisasikan peniaga lain.

Setakat ini, isu yang kita hadapi ialah kekurangan bekalan. Bagi mengatasinya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sudah pun mengambil langkah proaktif.

Hari ini, bermulalah fasa pertama Program Beras Putih Tempatan yang bertujuan meningkatkan 20 peratus bekalan.

Sasarannya menambah kira-kira 27 juta kampit 10 klogram beras SST setahun. Fasa kedua bermula minggu depan,15 September. Semoga program ini dapat meredakan kegusaran pihak yang gusar.

Sekali lagi ditegaskan, isu yang dihadapi isu bekalan yang disebabkan peralihan pola tingkah laku pengguna beras import.

Bukan isu kenaikan harga beras tempatan. Bekalan dijangka kembali pulih di seluruh negara dalam tempoh sebulan. Termasuk di selatan tanah air.

Ulasan berita ini disediakan oleh Bakhtiar Effendy Mohd Dom, Editor Kanan Berita Radio RTM.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu