ULASAN BERITA
Belum pun sempat menarik nafas lega, sepulang dari China, kini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke New York pula.
Beliau berada di Amerika Syarikat bagi menyampaikan kenyataan negara pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu, UNGA ke-78 malam ini.
Ia adalah kemunculan pertama beliau sebagai Perdana Menteri pada perhimpunan tahunan tersebut.
Datuk Seri Anwar akan berkongsi usaha menangani krisis iklim bagi mencapai Agenda 2030. Selain, hala tuju negara bawah kerangka Malaysia MADANI dan isu global lain.
Apa yang pasti, ramai pemimpin dunia akan menantikan ucapan beliau mengenai pendirian tegas Malaysia dan sejagat di pentas antarabangsa tersebut.
Tema perbahasan umum tahun ini adalah membina semula kepercayaan dan menghidupkan semula perpaduan global: Mempercepatkan Tindakan Agenda 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan ke arah keamanan, kemakmuran, kemajuan dan kemampanan untuk semua.
Selain hadir bagi menyampaikan pendirian negara di perhimpunan UNGA, Perdana Menteri tentulah mahu menarik sedikit sebanyak pelaburan asing masuk ke Malaysia, seperti mana yang dilakukan di Beijing.
Pada masa sama, beliau juga mahu nama dan kedudukan negara kembali diangkat dan diperkukuh di persada dunia.
Ia bukan tugas mudah, namun itu yang sedang diusahakan PMX ketika ini. Perkara itu ada dimaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Katanya, kesempatan berada di perhimpunan tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Perdana Menteri untuk bertemu pemimpin dan peneraju industri dari sekurang-kurangnya lima negara.
Beliau telah pun dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan pemimpin Turkiye, Iran, Sri Lanka, Thailand dan Iraq.
Lebih menarik, Datuk Seri Anwar turut bertemu rakan baiknya, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan sesampai sahaja beliau di New York.
Dalam pertemuan tersebut, Malaysia dan Turkiye bersetuju meningkatkan usaha kerjasama dan strategi menangani ancaman Islamophobia dan perkauman di serata dunia.
Erdogan turut menyatakan persetujuan berkunjung ke Malaysia pada hujung tahun ini bagi membina kerjasama lebih erat antara kedua-dua negara. Terutamanya dalam menangani isu berkenaan.
Sememanganya UNGA, merupakan pentas terbaik Datuk Seri Anwar untuk bertemu seramai mungkin pemimpin dunia bagi menaikkan nama dan ekonomi negara.
Sebelum ini, di Nanning, China, hampir RM20 bilion pelaburan dimeterai syarikat Malaysia dan China.
Antaranya, pelaburan sebanyak RM2.5 bilion antara Sime Darby Oils International Limited dengan Guangxi Beibu Gulf International Port Group.
Kejayaan membawa pulang pelaburan-pelaburan besar dari China tersebut diyakini akan berulang dalam rangka lawatan Perdana Menteri di New York.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan Perdana Menteri sebagai 'jurujual' terbaik negara. Katanya, Datuk Seri Anwar telah memudahkan kerja-kerja beliau.
Untuk itu, MITI turut mengatur beberapa program untuk Perdana Menteri bertemu ketua industri dan perniagaan.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis pertemuan dengan syarikat Fortune 500 di New York, Amerika Syarikat//Foto FB Anwar Ibrahim)
Datuk Seri Anwar hadir dalam perbincangan meja bulat bersama Fortune 500 Companies dan Forum Invest Malaysia anjuran Bursa Malaysia. Tambah Datuk Seri Zafrul, keadaan politik negara ketika ini tidak lagi menjadi kebimbangan pelabur.
Malaysia akan terus menarik pelaburan besar berikutan kestabilan politik semasa, selain ekosistem rantaian bekalan yang tepat.
Sebagai contoh, pertemuan yang dijadual bersama Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani dilihat akan membuka peluang kepada kedua-dua negara untuk terus memperkukuh hubungan dan meneroka bidang kerjasama baharu.
Negara pasca perang tersebut mahu belajar dari Malaysia bagaimana mahu mengembangkan ekonomi mereka. Malah, Iraq merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia.
Negara itu juga sumber import ketujuh terbesar dalam kalangan negara Timur Tengah dengan nilai dagangan tahun lepas sebanyak RM4.68 bilion. Meningkat, 24.3 peratus berbanding RM3.76 bilion pada 2021.
Baghdad mahu belajar dari Malaysia bagaimana mengembangkan semula ekonomi negara, pasca perang.
Malaysia sememangnya amat memerlukan pelaburan asing secara berterusan bagi mempertingkatkan ekonomi yang melemah sebelum ini akibat kemelut politik, pandemik dan pelbagai krisis global.
Oleh demikian, perhimpunan UNGA merupakan landasan tepat untuk berbuat demikian.
Semoga usaha mengembalikan kegemilangan Malaysia yang pernah dijolok sebagai Harimau Asia dalam pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik dapat kembali direalisasi.
Ulasan berita ini disediakan oleh Ashriq Fahmy Ahmad, Editor Kanan Berita Radio RTM.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.