fb fb fb fb fb

Anjakan baharu RMKe-12, memenuhi keperluan semua rakyat

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pembentangan KSP RMKe-12 pada 11 September 2023/Foto FB Anwar Ibrahim

ULASAN BERITA

Bermula pada tahun 1965, Rancangan Malaysia, dibentangkan setiap lima tahun dengan naratifnya yang tersendiri. Boleh jadi, ada dalam kalangan kita yang mengambil kisah tentangnya atau sebaliknya.

Isnin lepas, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMKe-12) dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

Apakah perinciannya? Sebelum itu, perlu difahami, KSP kali ini lebih bersifat semakan ke arah perancangan baharu.

Bermakna, perancangan baik dan memberi manfaat sebelum ini akan diteruskan. Manakala, yang tidak atau kurang memberi impak, akan digugurkan. Termasuk projek-projek yang telah lama diluluskan, namun belum dapat dimulakan dalam tempoh masa yang munasabah.

Ini bagi memberikan laluan kepada projek-projek rakyat yang lebih mendesak.

Banyak perkara yang disentuh dalam RMKe-12. Bagi pelan pembangunan sehingga tahun 2025 itu, kerajaan beri jaminan akan membelanjakan sepenuhnya peruntukan RM400 bilion. Dengan tambahan siling RM15 bilion, menjadikan jumlah keseluruhannya RM415 bilion.

Pembentangan juga menyaksikan 17 anjakan baharu disuntik ke dalam RMKe-12. Bersama 71 inisiatif utama. Selaras dengan agenda ekonomi kerajaan Perpaduan, iaitu kerangka ekonomi MADANI; dan disokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

Sesuai dengan tema "Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi", tiga tumpuan utama semakan RMKe-12 adalah memperkukuh kemampanan, membangunkan masyarakat sejahtera dan menuju negara berpendapatan tinggi.

Berdasarkan apa yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, jelas bahawa dasar dan inisiatif yang diumum, berpandukan kepada permasalahan, keperluan dan keutamaan rakyat, komuniti perniagaan serta semua negeri.



Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama TPM dan Menteri Ekonomi ketika pembentangan KSP RMKe-12) di Dewan Rakyat/Foto FB Anwar Ibrahim

Tugas sukar menanti kerajaan untuk melaksanakan semua agenda yang dirancang dalam RMKe-12. Apatah lagi, tempoh pelaksanaannya tinggal kurang daripada dua tahun setengah.

Namun, yakinlah kerajaan mampu melaksanakannya. Dalam pembentangan usul, Datuk Seri Anwar berkata, anjakan baharu akan memberi tumpuan khusus kepada beberapa bidang.

Pertama, menoktahkan kemiskinan tegar menerusi peruntukan sebanyak RM1.5 bilion bagi program meningkatkan pendapatan.

Kedua, reformasi struktur ekonomi, dengan beralih kepada bidang seperti industri peralihan tenaga, industri digital, elektrik dan elektronik bernilai tinggi, keterjaminan makanan dan industri nadir bumi.

Selain itu, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada konsep halal dan toyyiban serta inovasi kewangan Islam, dalam matlamat menerajui ekonomi Islam selaras dengan prinsip Maqasid Syariah dan keadilan. Serta, memberi tumpuan kepada eksport perkhidmatan seperti perkhidmatan global, industri kreatif, aeroangkasa dan pelancongan.

Dalam RMKe-12, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada infrastruktur asas untuk rakyat. Termasuk dalam sektor kesihatan, pendidikan, keterjaminan makanan, pengangkutan, tenaga, bekalan air, rangkaian jalan, tebatan banjir dan keselamatan sempadan.

Sementara itu, anjakan baharu dan perancangan perbelanjaan KSP RMKe-12 akan disokong pembaharuan kemampanan, tatakelola dan sistem penyampaian kerajaan.

Pembaharuan tatakelola menumpukan kepada Perundangan Berkaitan Rasuah, Perolehan Kerajaan berlandaskan saingan atau tender terbuka.

Manakala, pembaharuan Kemampanan Fiskal menyasarkan defisit fiskal 3.5-peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau lebih baik pada tahun 2025.

Kerajaan turut berusaha melakukan inovasi sistem penyampaian awam demi menambah baik keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Malah, kini kerajaan telah beralih kepada pendigitalan perkhidmatan yang didukung oleh Identiti Digital Nasional (IDN) dan Kerajaan Berteknologi Termaju (GovTech).

Tentunya harapan kita semua, perancangan yang dirangka bukan sekadar atas kertas. Tetapi, pihak kerajaan berusaha menjadikan ia realiti, agar rakyat mampu mengecapi nikmatnya tanpa berlengah.

Meski RMKe-12 dan Belanjawan 2024 yang bakal dibentangkan nanti, bukan ‘penawar’ yang boleh menyelesaikan semua permasalahan yang ada. Ia harus dilihat sebagai momentum perubahan ke arah yang lebih baik, seperti disasarkan kerajaan Madani.

Ulasan berita ini disediakan oleh Emmi Noraliza Adnan, Editor Kanan Berita Radio RTM.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu