ULASAN BERITA
Perpaduan berbilang kaum, kunci utama keharmonian, kesejahteraan rakyat dan negara. Itu peringatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersempena sambutan hari kebangsaan tahun ini.
Pesan Seri Paduka Baginda, keutuhan perpaduan merupakan benih dan sumber kekuatan kita menghadapi apa jua cabaran semasa, dan mendatang.
Kita juga diajak mengimbau kembali sejarah silam leluhur kita, lebih enam dekad yang lepas. Ketika semangat kenegaraan dan cintakan tanah air menyatupadukan rakyat.
Bermula dengan toleransi, perpaduan pada masa itu semakin subur, saban hari dipupuk oleh pemimpin masyarakat dan pejuang kemerdekaan.
Dari peringkat kampung, daerah dan negeri hinggalah peringkat 'kebangsaan', termasuk bandar, petempatan baharu dan estet.
Perpaduan itulah azimat sebenar yang mencerna aspirasi bersama menjadi tekad dan iltizam sehingga kemerdekaan berjaya dicapai.
Yang di-Pertuan Agong mahu keharmonian dan perpaduan yang dikecapi selama ini, diperkukuh dan disemarakkan lagi sesama kita.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dalam amanat Hari Kebangsaan menekankan pentingnya perpaduan dalam mempertahankan kemerdekaan negara.
PMX yang menerajui Kerajaan Perpaduan menasihati rakyat agar menghindari apa sahaja anasir yang melemahkan semangat perpaduan di negara ini. Tegas beliau perkara itu tidak boleh diremehkan.
Terdapat negara hebat, gagah dan bertamadun hancur bukan sahaja kerana kelemahan tadbir urus dan rasuah. Tetapi juga disebabkan permainan api perkauman dan fanatik agama.
Jika diimbau sejarah ketamadunan manusia, tidak sedikit empayar dunia runtuh disebabkan perpecahan. Malah ada yang tidak mampu bangkit kembali seperti empayar Rom dan Mongol.
Empayar Uthmaniyah dan empayar Abbasiyah pula berpecah menjadi negara baharu yang lebih kecil.
Begitu juga kuasa besar imperialis Barat seperti Britain. Mengalami nasib lebih buruk, negara komunis terbesar dan paling berpengaruh, Kesatuan Soviet.
Selepas kejatuhannya, Kesatuan Soviet berpecah kepada 15 buah republik. Keruntuhan empayar lazimnya membabitkan perpecahan dalaman. Diburukkan lagi dengan kehadiran kuasa asing yang menangguk di air keruh.
Antara acara ketika sambuatan Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya/Foto FB Anwar Ibrahim
Dalam skop negara kita, nama Si Kitol begitu sinonim dengan kejatuhan empayar Kesultanan Melayu Melaka. Kisah Si Kitol menunjukkan bahawa fitnah boleh menjejaskan perpaduan, sehingga peringkat tertinggi.
Walaupun Si Kitol tidak terbabit secara langsung dalam komplot mengkhianati Melaka, fitnah yang disebar telah mencetuskan kemarahan, dendam dan iri hati pelbagai pihak.
Apabila masyarakat, pembesar dan pedagang saling berburuk sangka, keharmonian dan kestabilan sosiopolitik pasti terjejas.
Ini membuka ruang kepada kuasa asing mengambil kesempatan merampas kuasa, meragut kedaulatan dan kemerdekaan. Mujurlah Malaysia tidak terjebak ke kancah seumpama itu.
Namun tidak lama dulu, negara kita terdedah kepada risiko kekacauan politik tidak berkesudahan. Satu demi satu kerajaan tumbang disebabkan pergolakan politik.
Pilihan Raya Umum ke-15 pun gagal merubah keadaan. Masing-masing mengaku berjaya meraih mandat rakyat.
Mujurlah saranan Yang di-Pertuan Agong agar Kerajaan Perpaduan dibentuk bagi merungkai kekusutan, dijunjung tinggi dua gabungan utama yang ketika itu tidak sealiran. Komitmen ini bukan kerja mudah.
Alhamdulillah, hari demi hari, kian serasi. Hasilnya hari ini kita mempunyai kerajaan stabil yang dapat merangka hala tuju negara dengan lebih jelas dan yakin.
Segala percanggahan diketepikan demi kepentingan rakyat dan negara. Tidaklah kita asyik berubah kerajaan dan dasar.
Itu belum nama kementerian. Untuk berlaku adil, kerajaan MADANI seharusnya diberi peluang melengkapkan agenda nasional yang dirancang untuk tempoh sepenggal.
Maklumlah, ini kerajaan perpaduan pertama yang dibentuk dalam sejarah Malaysia merdeka. Sebagai rakyat negara yang merdeka, merdekakan diri kita daripada anasir yang menghalang kita daripada melangkah ke hadapan. Sudah-sudahlah dengan politik sempit.
Persetujuan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak membentuk Persekutuan Malaysia merupakan bukti jelas aspirasi rakyat menerima pembaharuan yang lebih baik.
Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian, pejuang kemerdekaan tidak hanya tertakluk pada pejuang silam. Kita semua hari ini juga pejuang kemerdekaan.
Jika perjuangan mereka meraih kemerdekaan, perjuangan kita mempertahankannya. Perjuangan agak berbeza, tetapi dengan kecintaan sama.
Ulasan berita ini disediakan oleh Bakhtiar Effendy Mohd Dom, Editor Kanan Berita Radio RTM.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.