fb fb fb fb fb

Benarkah rasa kekitaan semakin "hilang"?

Foto hiasan

ULASAN BERITA

Benarkah perpaduan kaum ketika ini semakin memudar? Jika ya, apakah puncanya?

Malaysia seperti mana yang kita ketahui diasaskan menerusi konsep integrasi, iaitu campuran pelbagai kaum, budaya dan agama. Ia bukan perkara baharu, bahkan bukan juga hanya wujud selepas negara ini merdeka.

Jika menyelusuri sejarahnya, boleh kembali ke zaman kegemilangan empayar Kesultanan Melayu Melaka. Ketika itu pelbagai etnik dan bangsa hadir ke tanah bertuah ini bagi mencari peluang dan ruang untuk membina kehidupan selam ratusan tahun. Megah dan masyhur ke serata dunia sebagai salah sebuah pusat pelabuhan dan perdagangan dunia.

Bahasa Melayu menjadi lingua franca, menyatukan pelbagai bangsa dan agama bagi satu tujuan, iaitu perdagangan. Menjadi tumpuan dunia, hasilnya sehingga kini masyarakat Malaysia memiliki satu keistimewaan iaitu mampu bertolak ansur dengan kepelbagaian kaum, agama dan budaya.

Kembali ke era moden ini, kelebihan tolak ansur antara masyarakat berbilang kaum tersebut mungkin kurang disedari. Iyalah, sudah biasa, jadi kuranglah nampak kelebihan tersebut, namun tidak kepada tetamu asing yang datang melancong ke negara ini.

Mereka hairan, bagaimana budaya pelbagai bangsa tersebut mampu berintegrasi dengan baik.

Orang Malaysia, menurut beberapa pempengaruh bangsa asing yang mengunjungi negara ini, amat ramah dan gemar menyantuni mereka. Membuktikan, masyarakat negara ini lebih terbuka dan mudah menerima bangsa dan budaya asing tanpa ada sebarang masalah.

Jika tidak percaya, cari sahaja kandungan di Youtube contohnya, lihat sendiri pendapat mengenai kepelbagaian budaya yang menjadi tarikan mereka ke Malaysia. Bahkan, ada yang hingga mengambil keputusan menetap di negara bertuah ini.

Ambil sahaja makanan sebagai contoh, bagaimana nasi lemak, char kuew teaw dan roti canai boleh diterima dan dinikmati semua bangsa. Itu baru makanan, bagaimana pula dengan perayaan dan budaya-budaya lain? Sehinggakan pelancong luar kagum bagaimana kepelbagaian budaya dalam negara ini mampu dijalin dengan begitu harmoni.

Perkara itu tidak ditemukan di negara lain, dasar mereka kebanyakkannya fokus hanya kepada agenda asas yang menjadi identiti nasional. Walaupun ada kebebasan beragama dan mengamalkan budaya masing-masing, dasar negara-negara tersebut lebih menekankan asimilasi bersama budaya tempatan yang lebih dominan.

Bagaimanapun, tidak bagi Malaysia yang memilih integrasi dan meraikan budaya pelbagai kaumnya.

Apa yang pasti, sentiasa bertoleransi, saling mempercayai dan hormat menghormati adalah resipinya. Selain, sentiasa wujud kesedaran mengenai sensitiviti agama dan budaya masing-masing. Menerusinya, segala jurang perbezaan dapat dirapatkan.

Perpaduan antara kaum dalam negara pernah tergugat. Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan titik hitam yang melemahkan kesatuan kaum ketika itu.

Bagi membendung keretakan kepercayaan antara kaum lebih melebar, Rukun Negara telah diperkenal setahun kemudian. Ia sebagai ideologi kebangsaan, asas yang perlu menjadi pegangan setiap warganegara Malaysia tanpa mencairkan identiti budaya, agama dan kaum masing-masing.


Foto hiasan/RTM

Terdapat LIMA prinsip dalam Rukun Negara yang perlu dijiwai sepenuhnya.

Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan. Rukun yang terakhir, Kesopanan dan Kesusilaan, adalah prinsip paling tepat untuk terus diterap dan dikembangkan agar hubungan masyarakat berbilang bangsa sentiasa bertaut.

Ia menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku yang baik bagi setiap rakyat, bertujuan membentuk warga negara yang saling hormat menghormati antara satu sama lain. Sifat tersebut paling bermakna dan penting dalam konteks perhubungan dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Ia perlu terus dipelihara, agar sentiasa berkembang bersama keperibadian serta nilai-nilai murni yang akan melonjakkan perpaduan dalam kalangan masyarakat ke peringkat lebih tinggi.

Pertikaian dan perselisihan faham mengenai isu-isu sensitif, terutama membabitkan 3R - Kaum, Agama dan Raja perlu dielakkan. Selain itu, jati diri sebagai anak Malaysia juga harus sentiasa dibajai agar terus subur dalam setiap golongan, tanpa mengira usia, status, pangkat, kaum dan agama.

Tambahan, beberapa hari lagi negara akan menyambut Hari Kebangsaan yang ke-66, bertemakan 'Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan'.

Jelas, setelah 60 tahun negara ini merdeka, agenda perpaduan dalam negara tetap menjadi keutamaan kerajaan agar rakyat terus bersatu padu. Rukun Negara bukanlah sekadar prinsip yang hanya dilafaz sebagai ikrar semata-mata, tetapi ia menuntut kesungguhan setiap warga negara untuk menghayati dan mengamalkannya.

Melalui perpaduan yang kukuh, pertumbuhan ekonomi negara dapat ditingkatkan. Bahkan, kestabilan politik dapat dikekalkan dalam sistem pemerintahan negara yang bercorak demokratik.

Seperti kata pepatah, serumpun bak serai, sesusun bak sirih - hidup saling bermuafakat, tidak berpecah belah.

Ulasan berita ini disediakan oleh Ashriq Fahmy Ahmad, Editor Kanan Berita Radio RTM.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu