fb fb fb fb fb

Déjà vu atau fatamorgana?

ULASAN BERITA

Sekali air bah sekali pantai berubah. Saudara, benarkah senario politik tanah air masih tidak berubah?

PRU 15 sudah, pembentukan kerajaan pun sudah. Namun bagaikan keputusan pertandingan nyanyian dan lagu gubahan. Buat sekelian kalinya "rumah siap, pahat berbunyi".

Lagu terbaik, vokal terbaik, persembahan terbaik, sudah pun diumumkan. Ucapan kemenangan disampaikan dengan penuh rasa syukur. Lazimnya ucapan dimulai dengan puji syukur kepada Yang Esa.

Nama pihak yang banyak membantu, menjadi sebutan. Begitu juga insan tersayang, anak-anak, rakan taulan. Suasana bertambah meriah dengan sorakan penyokong yang sentiasa dekat di hati.

Trofi kemenangan pun dijulang dengan rasa bangga dan puas. Hadiah wang tunai cukup lumayan. Akhirnya segala perit jerih pengorbanan, ternyata berbaloi. Begitulah gambaran suasana saat pemenang diumumkan.

Baik dalam pertandingan nyanyian, mahupun pilihan raya. Nampak seakan serupa tapi tak sama.

Dalam pertandingan nyanyian, ada pelbagai format. Selalunya kuasa pemutus diletak sepenuhnya di tangan juri. Ada juga yang turut memberi kuasa kepada undian dalam talian, dengan kadar pemberat atau 'weightage' tertentu.

Keputusan yang diumumkan, adalah muktamad. Tiada tawar-menawar. Malah juri dan pengundi dalam talian sendiri tidak punya kuasa membatalkan atau mengubah keputusan.

Pihak yang tidak berpuas hati boleh cuba mencabar, namun sebarang aduan tidak dilayan. Kepada peserta yang tewas, teruskan kerja keras anda. Cuba lagi tahun depan atau bila-bila saja pertandingan seterusnya diadakan.

Bunyi 'pahat' yang mempersoalkan pemenang, kalau ada pun, cuma bertahan seminggu dua. Selepas tempoh bertenang, keadaan beransur reda. Perdebatan pun berakhir.

Lain pula ceritanya dengan pilihan raya. Kuasa pemutus, milik mutlak pengundi berdaftar. Formatnya sama saja, baik pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil, peringkat parlimen atau negeri.

Seperti yang kita sedia maklum, penggal pentadbiran sesebuah kerajaan pada umumnya selama lima tahun sebelum pemilihan seterusnya diadakan.

Sama dengan rancangan lima tahun pembangunan Malaysia yang kita kenali sebagai Rancangan Malaysia. Ini sama sekali bukan kebetulan.

Rancangan Malaysia atau nama lainnya Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) merupakan rancangan jangka sederhana. Fungsinya, menyokong perancangan jangka panjang. Ringkasnya, meletakkan segala pelaksanaan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara pada landasan tepat.

Dalam memastikan RMLT berjalan seperti dirancang, Kajian Separuh Penggal (KSP) diwujudkan bagi menyemak semula dapatan pencapaian sepanjang dua tahun pertama. Pelarasan strategi dibuat jika perlu.

Seperti RMLT, Kerajaan Persekutuan dan negeri memerlukan masa yang cukup untuk malaksanakan dasar dan aspirasi negara. Perkara ini tidak mungkin dapat disempurnakan jika pertukaran 'pramatang' kerajaan terus berulang.

Baru enam bulan Perdana Menteri Ke-10 (PMX) mentadbir negara, sudah ada agenda menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Tidak seperti semua Perdana Menteri terdahulu, PMX terpaksa membentuk kerajaan yang dianggotai 19 parti politik daripada blok atau gabungan berbeza. Ini bukan kerja mudah. Namun saranan itu diterima penuh takzim.

Kalau sebelum ini beliau cukup dikenali dengan slogan 'lawan tetap lawan'. Namun pendekatan itu dengan cepat diubah kepada 'dulu lawan sekarang kawan'.

Kita perlu ingat, pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah atas nasihat Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Dalam menjunjung saranan Baginda, pintu dibuka kepada semua parti politik. Tidak ada yang terkecuali.

Sayangnya salam perdamaian yang dihulur, ditolak mentah-mentah pihak tertentu. Ditambah pula dengan bayangan menjatuhkan kerajaan menggunakan kaedah yang dikatakan sah di sisi perundangan.

Ada saja akal mereka. Entah langkah apa kali ni tidak pula dinyatakan. Persoalannya, adakah provokasi yang dibuat mempunyai asas? Benarkah ada wakil rakyat yang sedang giat berlatih acara lompat jauh, lompat tinggi atau lompat kijang?

Berdasarkan keterbukaan yang dilihat dalam Konvensyen Kerajaan Perpaduan baru-baru ini, nampaknya persefahaman bertambah mantap.

Naratif dan tumpuan pun lebih terarah kepada kepentingan rakyat. Termasuk soal pertumbuhan ekonomi, amalan tadbir urus yang baik dan agenda memerangi rasuah, salah guna kuasa, 'sakau-menyakau'.

Realitinya, semua ini memerlukan kerajaan yang stabil. Kerajaan yang menikmati sokongan lebih dua pertiga, sesuatu yang dah amat jarang berlaku.

Sebagai rakyat yang cintakan tanah air, relakah kita menyaksikan episod pertukaran kerajaan sebelum waktunya, berterusan?

PENULIS BAKHTIAR EFFENDY MOHD DOM ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu