fb fb fb fb fb

Berpada-pada anjur rumah terbuka elak pembaziran makanan

Foto hiasan

ULASAN BERITA 

Selepas tiga tahun “berperang” dengan COVID-19, trend rumah terbuka Aidilfitri tahun ini, dijangka lebih meriah berbanding tahun sebelumnya.

Pelbagai pihak, tidak kira individu, agensi kerajaan mahupun swasta, pastinya mengambil peluang untuk menganjurkan rumah terbuka. Ia bagi mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan lagi perpaduan rakyat berbilang bangsa.

Namun, dalam keghairahan menganjurkan rumah terbuka -- rakyat perlu sedar, hasrat tersebut berpotensi memburukkan lagi masalah pembaziran makanan di negara ini.

Sikap tuan rumah yang biasanya menyediakan hidangan yang berlebihan bagi memastikan makanan cukup untuk tetamu, berisiko tinggi berakhir di tong sampah apabila makanan tersebut tidak habis dimakan.

Justeru, tidak hairanlah pembaziran makanan mencatatkan peningkatan antara 15% hingga 20%, setiap kali musim perayaan.

Malah, data yang dikeluarkan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNEP) menunjukkan Malaysia menjana sisa makanan per kapita tertinggi di Asia Tenggara dengan 91 kilogram setahun.

Rakyat negara ini pula dilaporkan membuang 17-ribu tan sisa makanan setiap hari. 24% atau 4080 tan daripadanya merupakan lebihan makanan tidak disentuh dan masih boleh dimakan.

Suatu angka yang boleh mengisi perut 3 juta orang sehari dengan tiga kali hidangan. Isi rumah di negara ini pula secara puratanya kerugian RM210 setiap bulan atau RM2600 setahun akibat pembaziran makanan. 


(Foto hiasan/Bernama)

Jika keadaan tersebut berterusan, Malaysia mungkin berdepan masalah penyediaan tapak pelupusan. Ini memandangkan jangka hayat tapak sedia ada semakin kritikal. Johor dan Melaka berdepan situasi paling serius akibat peningkatan sisa makanan yang mencecah lebih 16,000 tan sehari.

Tapak pelupusan di Pekan Nanas, Pontian dan Jemaluang, Mersing yang sudah menjangkau usia lebih 25 tahun, dijangka mampu bertahan selama tiga tahun sahaja lagi.

Situasi sama turut berlaku di tapak pelupusan sampah Sungai Udang, Melaka. Sementara jangka hayat tapak pelupusan di Bukit Tagar, Selangor dijangka boleh bertahan selama 50 tahun lagi.

Hakikatnya, isu sisa makanan bukan sahaja memberi tekanan kepada tapak pelupusan sampah, tetapi turut meningkatkan ancaman kepada alam sekitar. Ini menerusi pelepasan gas metana, sejenis gas rumah hijau yang memberikan kesan lebih teruk terhadap pemanasan bumi berbanding karbon dioksida.

Tapak pelupusan menghasilkan gas metana rumah hijau yang 21 kali lebih kuat daripada karbon dioksida. 7% gas rumah hijau yang terhasil di seluruh dunia, adalah disebabkan oleh sisa makanan. Situasi berkenaan mengancam alam sekitar, menyebabkan pencemaran, meningkatkan suhu dunia, mitigasi perubahan iklim dan mengganggu pola cuaca seperti hujan yang akhirnya menyumbang kepada peningkatan bencana seperti banjir.

Sehubungan itu, kempen kesedaran menerusi media arus perdana dan media sosial semata-mata tidak cukup untuk menangani isu tersebut. Pihak berkuasa dan berkepentingan perlu turun padang menjalankan program dengan lebih agresif. Namun, paling utama, berhemah dalam berbelanja untuk makanan.

Penganjur rumah terbuka perlu merancang menu serta jumlah tetamu bagi mengelak risiko pembaziran makanan. Selain menyajikan makanan yang telah siap dibungkus agar senang dibawa pulang.

Sikap sedemikian bukan sahaja boleh menyumbang kepada penjimatan belanja harian isi rumah -- malah, boleh membantu negara dalam usaha untuk mengurangkan perbelanjaan untuk memproses sisa pepejal.

Pada masa sama, dapat membantu dalam usaha negara mengurangkan impak negatif yang boleh terhasil daripada pembaziran makanan kepada alam sekitar. Hargai Makanan, Elak pembaziran!

PENULIS HASLINDA HASSAN ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu