ULASAN BERITA
Bagaikan sudah sinonim perayaan dan mercun dalam kehidupan masyarakat Malaysia; tidak kira dalam apa juga perayaan. Baik Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali mahupun Krismas.
Pasti akan ada kanak-kanak dan orang dewasa teruja bermain mercun, juga bunga api. Barulah terasa kemeriahannya, betul?
Manakan tidak, semuanya akan disertai dengan bunyi letupan, diiringi cahaya berwarna-warni. Jika Aidilfitri, senada pula dengan lagu klasik Selamat Hari Raya nyanyian biduanita Saloma. Antara liriknya .. "Dam dam dum bunyi mercun, Kanak-kanak segera datang berduyun, Dam dam dum mercun berdentum, Semaraklah hari raya ini tahun".
Nah, mengapa perkara ini dibangkitkan? Tidak lain tidak bukan kerana bermula perayaan Aidilfitri tahun ini, penjualan mercun dan bunga api kembali dibenarkan. Ia selaras keputusan Kabinet Kerajaan Perpaduan pada awal Februari lalu, untuk menarik balik larangan itu. Bermakna, penjualan dan permainan mercun yang diharamkan sejak tahun 1995 akan dibenarkan semula!
Ya, sebelum ini arahan larangan bermain mercun dan bunga api diputuskan kerajaan pada 1995 di bawah Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207). Mereka yang ditangkap menjual bahan yang boleh meletup tanpa permit, boleh didenda, dipenjarakan atau kedua-duanya sekali.
Ternyata, larangan itu sudah tentu bersebab. Acap kali sejak puluhan tahun lalu, mercun dan bunga api sudah jadi kemestian pada mana-mana musim perayaan sekalipun. dan, saban tahun jugalah kedengaran kes kecederaan dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa. Antaranya seperti buta mata, putus jari dan kebakaran atau melecur pada tubuh badan.
Rentetan itu ... memang sudah diduga. Ada 'bunyi-bunyi' tak puas hati dalam kalangan rakyat yang tidak yakin dengan keputusan kerajaan kali ini. Terdapat juga golongan yang menerima tapi masih berbelah bahagi. Segelintir lagi, tidak kisah langsung!
Dalam hal ini, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan, meskipun kebenaran diberi, namun semestinya ia masih tertakluk peraturan serta garis panduan yang dikeluarkan. Termasuk dari segi permohonan permit atau lesen.
Sesungguhnya, keputusan yang dibuat, berpaksikan alasan dan sebab yang kukuh. Ada kewajarannya di sebaliknya.
Umum mengetahui, walaupun berbahaya, dan telah pun diharamkan penjualannya, mercun dilihat terus mendapat permintaan tinggi 'dalam pasaran gelap' setiap kali menjelangnya musim perayaan.
Lumrah ... sesuatu perkara yang lagi dihalang, lagi besar keinginan untuk melakukannya. Sama situasinya dengan bermain mercun dan bunga api. Meskipun sedar keburukannya banyak berbanding kebaikan.
Ke arah itu, apa yang dilihat kerajaan perpaduan kini, misi mencari sesuatu yang membawa kebaikan bersama, di sebalik sesuatu yang tidak dapat dihalang sepenuhnya.
Dari segi penjualan mercun, mengekang atau meminimumkannya mungkin sudah tidak berkesan. Mengapa tidak memberi kebenaran tersebut untuk membawa manfaat kepada negara? Meningkatkan hasil negara, dan mempertingkat keselamatan orang ramai.
Ini berbanding mengharamkannya, tapi tetap berdepan peningkatan dalam kegiatan penyeludupan bahan letupan itu yang akhirnya merugikan negara. Tetapi mendatangkan keuntungan berganda kepada pelakunya. Serta makin banyak mendatangkan risiko kecederaan akibat kemasukan secara haram mercun tanpa tapisan.
Sudah tentu segala baik buruk telah diteliti. Ada kawalannya, bukan diluluskan secara semberono. Ke arah itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 27 Mac lalu mengumumkan kebenaran penjualan sebanyak 45 jenis bunga api dan mercun untuk diimport, disimpan dan dijual hanya ketika musim perayaan.
Itu antara enam garis panduan yang ditetapkannya dengan pemantauan pihak Polis Diraja Malaysia, termasuk membabitkan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Kastam Diraja Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan.
Sementara kelulusan untuk mengimport, menyimpan dan menjual mercun dihadkan kepada 27 buah syarikat yang mematuhi garis panduan serta syarat PDRM. WAJIB diperbaharui setiap tahun. Di samping menyediakan ruang simpanan yang mematuhi spesifikasi ditetapkan.
Merujuk perkara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, turut mensyaratkan penjualannya dilakukan secara terbuka iaitu di kedai-kedai dan pusat beli belah.
Sebarang bentuk penjualan mercun dan bunga api secara dalam talian ataupun dalam media sosial dilarang, walaupun membabitkan jenis produk yang dibenarkan untuk jualan.
Di samping itu ia perlu dihadkan kepada jenis serta kategori tidak berisiko tinggi yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang awam. Selain tidak membenarkan individu berumur bawah 18 tahun, membelinya. Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya ada aduan dikesan.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mematuhi undang-undang dengan hanya membeli dari penjual yang mempunyai permit jualan yang sah.
Apa yang pasti, pihak kerajaan berkemungkinan akan menarik balik larangan terhadap bunga api dan mercun pada tahap tertentu.
Sesungguhnya, usaha mengekang kegiatan penyeludupan dan penjualan mercun perlu dibuat secara berterusan, bukannya sekadar sambil lewa. Tanpa mengira perayaan apa yang diraikan, perlu ada undang-undang dan peraturan yang jelas. Tidak terkecuali -- sikap tanggungjawab masing-masing.
Buat sesuatu, sebaiknya jangan sampai mengganggu dan membahayakan diri sendiri dan keluarga, jiran tetangga dan masyarakat sekeliling demi keselamatan semua pihak.
EZA YUSMAWATI YAACOP ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.