fb fb fb fb fb

Belanjawan 2023: Inisiatif tambahan atas dasar dan keadaan bersesuaian

Foto hiasan

ULASAN BERITA

Seperti dijanjikan, kerajaan sedia mendengar pandangan semua pihak termasuk pembangkang dalam menambah baik Belanjawan 2023.

Lebih-lebih lagi inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Rabu lepas, Perdana Menteri mengumumkan beberapa inisiatif tambahan kepada Belanjawan Madani.

Pengumuman dibuat semasa membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara.

Antara yang mencuri perhatian ialah pelanjutan pelepasan cukai pendapatan individu hingga RM8000.00 bagi simpanan bersih tahunan, dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Bukan pemansuhan seperti yang dimaklumkan, sehari sebelumnya.

Malahan, Perdana Menteri mengumumkan bahawa pelepasan cukai dilanjutkan hingga Tahun Taksiran 2024.

Cadangan itu membabitkan kehilangan hasil kerajaan sekitar RM250,000,000.00 setahun. Namun memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 pembayar cukai.

Menurut beliau, keputusan dibuat selepas mendengar keresahan rakyat dan meneliti teguran yang diterima kerajaan.

Seperti kata Perdana Menteri, "Belanjawan tentunya tidak mungkin sempurna. Sebab itu kita dengar, mana-mana gesaan dan pandangan yang munasabah, kita boleh terima dan ubah suai."

Sehari sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN mengesahkan bahawa bermula Tahun Taksiran 2023, pembayar cukai yang mencarum dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu.

Keputusan dibuat atas "dasar dan keadaan bersesuaian".

Susulan kenyataan itu, kerajaan diminta mempertimbangkan semula keputusan memansuhkan pelepasan cukai SSPN.

Teguran disuarakan pelbagai pihak termasuk pembayar cukai, majlis belia, gabungan pelajar dan pihak pembangkang.

Pemansuhan dikhuatiri membantutkan usaha menggalakkan golongan pertengahan melabur dalam pendidikan anak-anak. Ia juga dilihat boleh menjejaskan usaha menggalakkan penabungan pendidikan.

Selepas mengambil kira hujah yang diutarakan, kerajaan bersetuju melanjutkan pelepasan cukai berkenaan.

Inisiatif tambahan seterusnya, pemberian "duit raya" kepada barisan sukarelawan. Perdana Menteri mengumumkan pemberian "duit raya" kepada lebih 200,000 sukarelawan.

Merangkumi anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM), sukarelawan polis dan bomba. Setiap anggota akan menerima RM300.00. Ini kali pertama Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri diberi kepada sukarelawan.

Selain itu kerajaan juga bersetuju menyalurkan bantuan khas sebanyak RM200.00 kepada 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan. Ia merupakan tambahan kepada bantuan yang diumumkan sebelum ini. Iaitu sebanyak RM300.00 sebulan kepada nelayan dan RM200.00 sebulan bagi pesawah untuk tempoh tiga bulan semusim. Serta kenaikan sumbangan musim tengkujuh bagi pekebun kecil getah daripada 600 kepada 800 Ringgit untuk tempoh empat bulan.

Pemberian bantuan kali ini antara yang terbesar pernah diberikan kepada golongan berkenaan.
Selain itu bermula 1 April 2023, sasaran Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) akan diperluas kepada kedua-dua golongan berpendapatan tetap, dan tidak tetap.

Sebelum ini, SJKP telah ditambah baik dengan meningkatkan dana jaminan pembiayaan daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion untuk membantu pembeli rumah kali pertama. Terutamanya mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Seperti lazimnya, setiap kali belanjawan dibentangkan pasti ada saja yang tidak berpuas hati. Namun realitinya bukan mudah memenuhi keperluan, apatah lagi kemahuan semua pihak.

Dengan sumber yang terhad, kerajaan perlu menetapkan keutamaan. Yang pastinya dengan ketidaktentuan ekonomi global, belanjawan tahunan negara terus mencatat rekod tertinggi baharu saban tahun.

Trend ini memberi kesan langsung kepada beban hutang kerajaan.

Sehingga akhir 2022, hutang kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.079 trilion atau 60.4 peratus daripada KDNK. Daripada jumlah itu hutang dalam negeri RM1.05 trilion, manakala pinjaman luar pesisir RM29.5 bilion.

Sekiranya mengambil kira pendedahan kerajaan kepada liabiliti lain, jumlah hutang dan liabiliti kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.45 trilion. Bersamaan 80.9 peratus daripada KDNK.

Tahukah anda, berapa lama diperlukan untuk melangsaikan hutang ini?

Menurut anggaran Kementerian Kewangan, 30 tahun. Secara tepatnya hingga tahun 2053. Itu pun dengan dua syarat.

Pertama, tiada sebarang pinjaman baharu dibuat bagi tujuan pembiayaan deficit dan kedua membiayai semula hutang yang matang mulai 2024 dan seterusnya.

Berapa usia kita pada waktu itu ya? Dan sumbangan kita ialah ....?

PENULIS BAKHTIAR EFFENDY MOHD DOM ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu