ULASAN BERITA
Di sana sesak, di sini sesak, di mana-mana jalan raya kini penuh sesak dengan kenderaan. Keluar rumah sahaja, terpaksa berdepan kesesakan lalu lintas.
Jangankan pada waktu puncak, pada waktu biasa pun kenderaan masih memenuhi jalan raya. Apatah lagi pada hujung minggu dan hari cuti umum.
Isu kesesakan jalan raya kini tidak lagi tertumpu di Lembah Klang atau ibu kota semata-mata, hampir seluruh negara mengalaminya. Ramai yang tidak tahan berdepan kesesakan hampir setiap hari, hingga ada yang mengalami masalah kesihatan, termasuk tekanan perasaan.
Pelbagai faktor menyebabkan aliran trafik menjadi perlahan, antaranya pertambahan kenderaan sehingga mencecah 500,000 sejak 2010 hingga 2022. Dicatatkan hampir 700,000 kenderaan terjual di negara ini setahun, dan Malaysia mencatatkan kadar pemilikan kenderaan tertinggi di Asia Tenggara.
Kini, kereta yang didaftarkan telah mencecah 33,000,000 unit, hampir menyamai jumlah penduduk seluruh negara. Tidak hairanlah jika jalan raya tidak pernah lengang dengan kenderaan.
Baru-baru ini isu sama dibangkitkan di Parlimen oleh wakil Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias dengan menegaskan tol antara punca utama kesesakan lalu lintas.
Untuk itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memberi komitmen kementerian itu sedang berusaha menyelesaikan masalah tersebut. Antaranya, dengan mewujudkan Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) menjelang 2025 di laluan-laluan bertol.
Jelas beliau, kementerian ketika ini sedang berusaha mendapatkan sebanyak mungkin maklumat berkaitan, bagi memastikan inisiatif tersebut benar-benar dapat menyelesaikan isu yang dibangkitkan.
Itu antara jalan penyelesaian bagi salah satu faktor, bagaimana pula bagi faktor-faktor yang lain? Mungkin masih juga dalam peringkat kajian.
Jika di luar negara, seperti Singapura, contohnya, waktu dan jumlah kenderaan dihadkan untuk memasuki kawasan tumpuan seperti bandar-bandar besar.
Malah, hanya kenderaan yang didaftarkan khas sahaja boleh bergerak bebas di kawasan tersebut.
Tidak kurang juga sesetengah negara maju menetapkan had umur kenderaan yang boleh dipandu di jalan raya, seperti Jepun. Jika telah 'lewat usia', kenderaan tersebut wajib dilupuskan.
Bagaimanapun, inisiatif negara-negara maju itu sedikit sukar untuk diamalkan di Malaysia. Ramai pula nanti yang tidak setuju jika kenderaan kesayangan mereka terpaksa bersara awal, walhal masih boleh digunakan.
Pening, memang pening memikirkan jalan penyelesaian tuntas bagi isu ini. Ada yang berpendapat agar gunakan sepenuhnya pengangkutan awam bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
Iya, benar, itu juga merupakan salah satu jalan penyelesaian, namun capaian pengangkutan awam dalam negara buat masa ini masih belum menyeluruh menyebabkan ia bukan pilihan utama. Tambahan, ramai yang mengadu tahap keberkesanan pengangkutan awam, seperti ketepatan masa dan kekerapannya masih belum memuaskan.
Ini memaksa rakyat tetap menggunakan kenderaan masing-masing untuk pelbagai tujuan dan destinasi. Selain itu, terdapat juga pengendali kenderaan berat yang sengaja memasuki jalan raya yang jelas dilarang pada waktu-waktu puncak.
Seolah-olah sengaja mengabaikan undang-undang sedia ada, selain memperlihatkan sikap pentingkan diri sendiri. Kehadiran kenderaan berat bukan sahaja menyebabkan aliran trafik pada waktu puncak menjadi lebih perlahan, malah membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
Jika berlaku kemalangan, pasti lalu lintas bertambah sesak. Hari ini, hari kedua umat Islam menunaikan ibadah puasa, kesesakan lalu lintas pasti sedikit sebanyak menggangu.
Ramai rasanya yang terpaksa berbuka di dalam kenderaan, mahu tidak mahu itulah realiti yang terpaksa dihadapi saban tahun. Pada musim perayaan Aidilfitri nanti, aliran trafik dari dalam ke luar ibu kota pula bakal berdepan masalah sama.
Seolah-olah menjadi sudah satu kemestian pula, setiap kali sambutan mana-mana musim perayaan, harus berdepan kesesakan lalu lintas.
Apa yang pasti kerjasama daripada semua pihak amat perlu, terutama apabila terdapat sebarang pembaharuan, undang-undang atau inisiatif yang dikemukan bagi mengatasi isu itu nanti.
ASHRIQ FAHMY AHMAD ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.