fb fb fb fb fb

RUU Perbekalan 2023 lulus di Dewan Rakyat

Foto hiasan

 ULASAN BERITA

Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2023 akhirnya diluluskan di peringkat dasar di Dewan Rakyat pada 9 Mac.

RUU itu dibentang semula pada 24 Februari, selepas Bajet 2023 yang dibentang oleh kerajaan terdahulu pada 7 Oktober tahun lalu, tidak sempat diluluskan. Malah dibahas pun belum.

Kali ini, bawah pentadbiran kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri ke-10 (PMX), RUU berkenaan dikenali sebagai Belanjawan 2023.

Selepas lulus peringkat dasar, gelanggang perbahasan peringkat jawatankuasa pun dibuka.

Seperti RUU yang sudah-sudah, Belanjawan 2023 juga cuba mengimbangi tuntutan sosioekonomi dengan kedudukan kewangan kerajaan dan cabaran semasa.

Kata PMX, tahun ini fokus diberi kepada bidang yang dianggap terdesak dan perlu diperkasakan.

Untuk itu, tidak boleh tidak, langkah yang sangat tegas dan berani perlu diambil.

Seperti yang dijangka, Kementerian Pendidikan terus menerima peruntukan tertinggi.

Ini dilihat agak sentimental memandangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menyandang jawatan Menteri Pendidikan dari tahun 1986 hingga 1990.

November lepas, beliau menolak kereta rasmi baharu dan sebarang pengubahsuaian di pejabat Perdana Menteri.

Beliau dilapor menggunakan kereta Proton Perdana Limousine, dipercayai kali terakhir digunakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dari tahun 2018 hingga 2020.

Namun lain pula ceritanya apabila melibatkan nasib anak bangsa dan tenaga pengajar.

Peruntukan tinggi disediakan bagi memastikan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah.

(Foto hiasan)

Bangunan dan infrastruktur di 380 sekolah daif di Sabah dan Sarawak akan dinaik taraf.

Bagi memastikan perolehan dapat disegerakan, kaedah perolehan khas digunakan.

Selain itu, RM900 juta diperuntukkan bagi kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah.

Baik sekolah kebangsaan, sekolah agama mahupun sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

'Segera' semacam telah menjadi ungkapan wajib yang lazim keluar daripada mulut PMX.

Walaupun Belanjawan 2023 dibentangkan pada 24 Februari, Menteri Pendidikan pada bulan Januari lagi telah menyatakan komitmen memastikan penyelenggaraan 17 sekolah daif di seluruh negara dilaksanakan segera.

Sejak dilantik menerajui Kementerian Pendidikan, Fadhlina Sidek terus-terusan turun ke lapangan dalam program lawatan ke sekolah.

Kata beliau, siri lawatan itu diharap dapat mengeratkan hubungan dua hala antara pihak sekolah dengan KPM menerusi Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing.

Khususnya dalam memastikan kesejahteraan warga sekolah dapat dicapai.

Namun apa yang kami pihak media perhatikan, dalam setiap lawatan ada sahaja peruntukan yang diumumkan.

Menerusi libat urus dengan pihak sekolah, beliau mendapat maklumat secara langsung mengenai masalah yang mereka hadapi.

Kebanyakannya berdepan isu kerosakan struktur bangunan yang sudah usang.

Turut diketengahkan, isu sampingan seperti kekurangan pekerja sehingga menyebabkan kerja penyelenggaraan tertangguh dan lewat.

Dengan siri lawatan itu, keputusan berhubung penyelenggaraan dapat disegerakan dan status sekolah diubah daripada berstatus 'sakit' kepada ditender semula.

Inisiatif ubah suai dan naik taraf sekolah daif ini sebenarnya hanyalah salah satu daripada Tujuh Teras Utama KPM Dalam Menerajui Sistem Pendidikan Negara.

(Foto hiasan)

Enam lagi teras ialah isu keciciran pembelajaran, kebajikan guru, komunikasi antara kementerian dengan sekolah, penekanan aspek karamah insaniah, isu kemiskinan multidimensi dan meningkatkan pendidikan digital.

Bermula sesi persekolahan tahun ini, tiada sebarang kelas akademik akan diadakan pada minggu pertama.

Pelajar dan guru sebaliknya diberi ruang untuk sesi suai kenal dan interaksi terlebih dahulu.

Guru digalak meningkatkan nilai murni dan membiasakan pelajar dengan suasana pembelajaran yang baik.

Pendekatan ABC iaitu 'anak baik dan cerdik' digunakan.

Ringkasnya biar mereka baik dahulu, baru cerdik.

Pendekatan ini sangat berbeza dengan amalan biasa yang sangat mengutamakan keputusan peperiksaan.

Selain itu, pelajar daripada keluarga kurang mampu diberi kelonggaran hadir ke sekolah tanpa memakai seragam sekolah.

Kelonggaran ini bertujuan meringankan beban ibu bapa, terutama mereka yang terkesan akibat banjir.

Anak-anak mereka juga dibenarkan memakai kemeja-T dalam aktiviti kokurikulum atau badan beruniform.

Pendek kata ibu bapa tidak perlu risau mengenai persiapan sekolah

Yang penting anak-anak dapat mengikuti pendidikan formal.

Semoga lebih banyak inovasi dan pendekatan baharu diperkenalkan untuk menambah baik tahap pendidikan anak bangsa.

PENULIS BAKHTIAR EFFENDY MOHD DOM ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.

Ulasan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu