ULASAN BERITA
Mengkritik itu mudah. Bukan niat memihak atau mempertahankan kerajaan pemerintah. Tetapi, ini sekadar pandangan membuka minda semua melihat situasi semasa dengan hati yang tulus ikhlas, tanpa prejudis, serta dari dimensi positif.
Sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, tugas berat menanti Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Kerajaan Perpaduan pimpinannya. Beliau mengambil alih tampuk pemerintah ketika negara berdepan krisis politik yang tidak menentu.
Negara pula sedang bergelut melalui fasa pemulihan ekonomi dalam keadaan pandemik COVID-19 yang belum berakhir dengan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa meramalkan kemelesetan ekonomi pada tahun ini.
Jadi, antara tugas sukar yang dipikul Kerajaan Perpaduan melibatkan isu kos sara hidup dan kestabilan ekonomi.
Belum seminggu barisan kabinet Kerajaan Perpaduan angkat sumpah, negara diuji dengan tragedi Tanah Runtuh Batang Kali.
Tanpa berlengah, bantuan berjumlah RM10 ribu disalurkan kepada keluarga mangsa terkorban dan RM1000 untuk mangsa terlibat.
Manakala, ketika bencana banjir menimpa Kelantan dan Terengganu, Perdana Menteri mengumumkan bantuan RM100 juta untuk penduduk Pantai Timur yang terjejas.
Baru-baru ini pula, Johor juga teruk dilanda banjir. Bantuan banjir RM50 juta disalurkan terus kepada rakyat negeri itu.
Malah, Datuk Seri Anwar turut mengarahkan semua projek Rancangan Tebatan Banjir bernilai RM600 juta ke atas diluluskan dan disegerakan mulai Jun depan.
Ia bagi mengelak bencana banjir berulang semula, sekali gus menjejaskan rakyat.
Dalam pada itu, isu kebajikan rakyat terutama soal kos sara hidup tetap menjadi keutamaan Datuk Seri Anwar.
Beliau menyedari ada keperluan mendesak dan segera untuk menangani keresahan rakyat. Namun, menolak agenda atau penyelesaian populis semata-mata. Meskipun, keputusan itu tidak disenangi sesetengah pihak.
Sebaliknya, beliau mengutamakan usaha untuk 'meluruskan' kembali pelbagai sektor, untuk meningkatkan ekonomi negara.
Seperti yang digariskan dalam tiga keutamaan strategik, berteraskan konsep Malaysia Madani. Kerana apa? Supaya impaknya dapat dirasai rakyat secara menyeluruh.
Jika tidak mahu dicap seperti 'enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing' kerajaan tidak boleh sekadar mencari penyelesaian sementara. Tetapi, lebih kepada penyelesaian bersifat jangka panjang dan secara total.
Justeru, ia perlu mempunyai agenda dan pelan lebih realistik dan konkrit untuk negara dan rakyat.
Pada masa sama, bukan semua dasar dan inisiatif kerajaan terdahulu terus dibuang atau dimansuhkan. Mana yang elok, diteruskan atau ditambah baik.
Jelas, tiada penolakan atau istilah 'politik dendam' seperti didakwa pihak tertentu.
Konsep 'Payung Rahmah' diperkenalkan sebagai langkah agresif Kerajaan Perpaduan dalam menangani kos sara hidup.
Program itu melibatkan beberapa elemen yang telah, sedang dan akan dilaksanakan bagi menyantuni golongan memerlukan, B40 dan juga miskin tegar.
Antara inisiatif yang telah dan sedang digerakkan ialah, Sumbangan Tunai Rahmah, Bakul Rahmah, Pakej Rahmah, Jualan Rahmah dan Menu Rahmah.
Manakala, Kafe Rahmah khusus bagi penuntut universiti pula akan diperkenal selepas Hari Raya Aidilfitri.
Sebelum itu, kerajaan turut memberi jaminan, tidak akan menaikkan tarif elektrik untuk mengurangkan beban rakyat.
Biarpun, jumlah keseluruhan kos subsidi bahan api yang bakal ditanggung oleh kerajaan mencecah RM30 billion.
Sesungguhnya, perjalanan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih panjang.
Ada banyak lagi dasar dan usaha bagi membela dan menaikkan taraf hidup rakyat perlu dilaksanakan. Perjuangan perlu diteruskan sehingga selesai.
Namun, rakyat perlu beri sokongan dan ruang kepada Kerajaan Perpaduan membuktikan kredibiliti mereka.
Kerajaan memikul beban beserta misi yang berat. Jadi, rakyat jangan putus harapan!
PENULIS EMMI NORALIZA ADNAN ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.