fb fb fb fb fb

Banjir: Kesiapsiagaan anggota penyelamat perlu menyeluruh, tidak hanya lokasi berisiko

Foto hiasan

ULASAN BERITA

Beberapa negeri ketika ini mula dilanda banjir susulan hujan berterusan. Sejak beberapa tahun ini, keadaan cuaca kian tidak menentu dan sukar dijangka.

Kebiasaannya, menjelang Mac dan April, negara mula memasuki musim panas terutama apabila menjelang bulan Ramadan, namun kini tidak lagi.

Kejadian banjir di Johor, Pahang dan Sarawak semalam telah menjejaskan 431 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2022.

Mereka kini tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan yang dijadulkan dan pusat peperiksaan berhampiran. Sudahlah sesi persekolahan dianjak hingga Mac akibat pandemik COVID-19, kini banjir pula melanda.

Pasti sangat mencabar emosi, sedikit sebanyak persediaan mental untuk menghadapi antara peperiksaan besar, tercalar. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, Lembaga Peperiksaan Malaysia sedang mengumpulkan maklumat terperinci mengenai calon terlibat.

Penjadualan semula peperiksaan akan dilaksanakan setelah mendapat pengesahan Pengarah Pendidikan Negeri. Berikutan hujan lebat berterusan, sebanyak 17 pusat peperiksaan di Johor, Pahang dan Sarawak terjejas dimana tujuh daripada pusat peperiksaan terbabit tidak dapat dibuka disebabkan terputus hubungan.

Bagaimanapun, seramai 195 calon berjaya juga digerakkan ke pusat-pusat peperiksaan berhampiran.

Nampak gayanya, KPM perlu mengusahakan inisiatif lebih baik bagi memudahkan calon-calon SPM menduduki peperiksaan tersebut jika berlakunya sebarang bencana yang menjejaskan mereka.

Boleh dikatakan, kejadian banjir ketika ini boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja ekoran cuaca tidak lagi seperti dahulu.

Di Chaah, Segamat, antara kawasan paling teruk terjejas di Johor, didakwa terburuk sejak 20 tahun lalu telah menyebabkan hampir keseluruhan pekan tersebut ditenggelami air.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan banjir yang melanda negeri ketika ini agak kritikal.

Lebih 29,000 penduduk terjejas, jumlah tertinggi antara negeri dicatat setakat ini dengan lebih 200 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka.

Agensi dan pihak terbabit yang mengelolakan bantuan dan operasi ketika banjir kini tidak lagi boleh tertumpu kepada lokasi berisiko semata-mata sebaliknya, perlu sentiasa bersedia untuk diatur gerak ke seluruh negara.

Ini kerana kawasan tanggungjawab pihak berkenaan, semakin bertambah. Bahkan, pada masa kini, bencana banjir boleh berlaku pada bila-bila masa.

Banyak negeri telah mengambil inisiatif membina tebatan banjir dan mempertingkatkan kemudahan untuk orang ramai berlindung ketika bencana tersebut melanda terutama negeri-negeri yang sering dilanda banjir besar setiap tahun.

Sarawak contohnya mahu mengadaptasikan sistem saliran terbaik dunia termasuk dari Belanda bagi menangani banjir di negeri itu.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, buat masa ini kerajaan negeri sedang membuat kajian menyeluruh bagi memperbaiki sistem saliran sedia ada.

Sistem baharu akan dilaksana secara berperingkat, bergantung kepada dana kerajaan negeri.

Pastinya, selepas beberapa kali negara dilanda banjir besar yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit dan ada nyawa yang terkorban, persediaan bagi menghadapinya di masa-masa akan datang akan terus diperbaiki.

Sebagai contoh, lebih banyak aset-aset berkaitan mula memenuhi inventori pasukan penyelamatan dan pihak berkuasa.

Walaupun Malaysia tidak mengalami kejadian bencana alam yang lebih besar seperti gempa bumi, taufan, ancaman tsunami mahupun letusan gunung berapi seperti di luar negara, persediaan lengkap tetap perlu.

Tambahan, bencana banjir kini semakin kerap terjadi. Bencana alam tidak dapat ditahan, namun kesannya dapat dikurangkan menerusi persediaan rapi agensi terlibat, pendidikan, kesedaran dan kerjasama daripada orang ramai.

Bagi mereka yang terjejas banjir, sentiasalah berwaspada dengan sebarang kemungkinan dan beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

Jauhi infrastruktur berbahaya seperti pencawang atau wayar elektrik yang terdedah agar insiden terkena renjatan elektrik sehingga membawa maut tidak lagi berulang.

Elakkan juga bermain banjir terutama kanak-kanak, dan pastikan minum air yang bersih bagi mengelak penyakit bawaan air.

Bagi mereka yang terpaksa berpindah ke (PPS), bawa bersama barangan yang perlu sahaja, terutama dokumen penting.

PENULIS ASHRIQ FAHMY AHMAD ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu