fb fb fb fb fb

Belanjawan 2023: Perlu perkukuh ekosistem perniagaan & percukaian

Foto hiasan

ULASAN BERITA

Hutang negara termasuk liabiliti telah mencecah sehingga RM1.5 trilion. Permasalahan ini perlu ditangani segera.

Sengaja penulis menimbulkan hal ini dahulu, ketika banyak mata akan tertumpu kepada Belanjawan 2023.

Penganalisis ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berharap agar kerajaan dapat menawarkan penstrukturan semula ekonomi yang lebih berkesan.

Ada ahli akademik lain berpandangan supaya sokongan lebih baik dapat diberikan kepada golongan pertengahan.

Rancangan ekonomi tahunan itu akan diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun Perdana Menteri sendiri pernah mengakui cabaran besar perlu ditempuhnya, tatkala diberi mandat memimpin, dengan hutang yang melepasi pertumbuhan negara.

Selaku Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar akan mencadangkan satu jumlah peruntukan bagi perbelanjaan kerajaan untuk tahun ini kepada Dewan Rakyat.

Lazimnya pada saban tahun, rang undang-undang perbekalan turut menggariskan inisiatif-inisiatif baharu yang sangat dinantikan masyarakat.

Selain ke arah memperkasa agenda semasa bagi menambah baik taraf hidup penduduk negara.

Namun dalam menduga intipati bajet kali ini yang dibentangkan kali kedua, banyak pihak juga saling berharap agar kerajaan meneruskan kesinambungan dasar-dasar baik.

Ini terutama dalam membantu rakyat mendepani cabaran pada era peralihan ke endemik.

Tidak kurang juga yang menuntut supaya langkah-langkah lebih berani diperkenalkan, bagi meningkatkan hasil dan mengekang ketirisan perbelanjaan.

Isu ketirisan hasil dan pengurusan lemah tidak boleh berulang kerana ia menjadi punca berbilion-bilion ringgit wang negara hilang.

Oleh itu adalah wajar untuk kerajaan menterjemahkan lebih banyak usaha lain bagi mengekang masalah berkenaan.

Selaras ikrar Perdana Menteri yang bertegas akan memastikan tidak ada lagi ketirisan dan rasuah dalam apa jua urusan kerajaan.

Sesungguhnya rakyat boleh bersangka baik dengan kerajaan perpaduan ini yang mendokong konsep Malaysia Madani.

Konsep berkenaan berteraskan kepada enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Perlu tahu, belanjawan 2023 juga mengangkat tema Membangun Malaysia Madani.

Ini sekali gus memperlihatkan matlamat kerajaan adalah jelas iaitu ke arah memacu pertumbuhan ekonomi berhemat.

Pada masa sama mengambil pendekatan pembangunan saksama berpaksikan keadilan sosial untuk rakyat.

Taraf hidup rakyat tidak sama.

Bahkan di Malaysia, ia juga diberikan pengkelasan bagi membezakan golongan memerlukan dengan yang kaya.

B40, M40 dan T20 adalah takrifan mudah yang diguna untuk mengkategorikan penduduk mengikut pendapatan isi rumah mereka.

Pada masa ini pula dilaporkan jurang pendapatan miskin kaya masih melebar.

Malah ada pakar juga berpendapat yang keadaan itu kini semakin besar.

Namun ahli ekonomi turut percaya kesejahteraan penduduk akan tetap diberi keutamaan dalam bajet tahun ini yang disemak semula.

Dalam hal ini, kemungkinan-kemungkinan yang diberi ada asasnya kerana negara perlu mengawal tekanan inflasi dan meringankan beban rakyat daripada kos sara hidup tinggi.

Masalah kos sara hidup dan kemiskinan merupakan isu besar yang menyukarkan penduduk untuk mengubah taraf hidup.

Kadar kemiskinan tinggi masih lagi mencengkam negeri seperti Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Selain kemungkinan bilangan mereka yang terjerumus dalam kelompok miskin bandar juga semakin banyak.

Bukannya masyarakat tidak mengimpikan atau berusaha untuk kehidupan lebih baik tetapi ia perlu kepada campur tangan berterusan kerajaan di tengah-tengah proses pemulihan negara pasca pandemik.

Apa lagi dengan faktor-faktor luaran yang turut mengancam sekuriti makanan negara.

Keadaan itu juga memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada rantaian perniagaan dan pengguna.

Sesungguhnya banyak pihak sangat berharap bajet 2023 dapat memberi suatu kelegaan kepada setiap lapisan masyarakat dalam setiap aspek kehidupan.

Sekali gus memperkukuh ekosistem perniagaan dan percukaian demi menarik lebih banyak pelaburan.

PENULIS AFFENDI ABDUL KARIM ialah Editor Kanan Berita Radio RTM.

Ulasan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Media Baharu