fb fb fb fb fb

Tahun baharu: Perkukuh perpaduan demi kesejahteraan rakyat

Gambar hiasan/RTM

ULASAN BERITA

Masih belum terlambat untuk mengucapkan selamat tahun baharu kepada semua. Semoga tahun ini, kita berjaya menggapai impian dan cita-cita yang diidamkan.

Tahun 2026 sedikit unik kerana diraikan sekali dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026). Permulaan kepada usaha memacu momentum awal sektor pelancongan negara ke arah sasaran 43 juta ketibaan pelawat antarabangsa.

Tahun baharu sinonim dengan azam baharu. Untuk berjaya, azam sahaja tak cukup. Kita perlu ada usaha dan tekad barulah berjaya.

Apa pun tahun 2025 sudah melabuhkan tirainya. Pelbagai suka duka diharungi pada tahun itu. Ada orang yang berjaya mencapai matlamat dan ada yang tidak.

Tetapi itu tidak menjadi masalah kerana selagi nyawa dikandung badan, kita boleh berusaha untuk menggapai cita-cita yang diharapkan. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Yang menjadi masalah ialah orang yang tidak mahu jadikan masa silam itu sebagai pengajaran untuk tambah baik kelemahan diri, dan mereka ini tidak akan ke mana, Seperti tajuk sitcom terkenal suatu ketika dulu "Pi Mai Pi Mai tang Tu."

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam titah baginda menyeru rakyat supaya terus memperkukuh perpaduan dan saling menghormati antara satu sama lain demi keharmonian Malaysia.

Seruan sama dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengajak rakyat bersama-sama melangkah ke tahun baharu dengan semangat kebersamaan dan tekad jitu untuk terus memperkukuh perpaduan.

Mesej yang disampaikan itu jelas menjadikan perpaduan sebagai antara fokus. Kerana apa? Kerana perpaduan perkara terpenting yang perlu dijaga dalam sesebuah negara.

Ia menuntut rakyat yang berbeza latar belakang, seperti kaum, agama, budaya, bahasa atau pendapat bersatu padu. Hidup dengan harmoni, saling menghormati dan bekerjasama demi kebaikan bersama.

Perpaduan merupakan asas kepada keamanan, kemajuan, dan kesejahteraan sesebuah negara. Tanpa perpaduan, sukar untuk mencapai keharmonian dan pembangunan yang berterusan.

Sikap mencurah minyak ke dalam api perlu dibenteras habis-habisan. Begitu dengan isu berkait 3R, kaum, agama dan institusi Diraja.

Diharapkan juga tiada lagi gegaran dalam politik negara kerana ia salah satu punca runtuhnya perpaduan, yang turut menjadi punca menguncupnya ekonomi dek kerana pelabur lari.

Apabila sampai waktunya, biar sahaja rakyat memilih dalam gelanggang Pilihan Raya Umum nanti.

Pada 31 Disember 2025, ringgit kekal melakar prestasi sebagai antara mata wang berprestasi terbaik di rantau ini. Penganalisis menjangkakan unit tempatan itu akan terus mengukuh pada tahun 2026, didorong oleh ekonomi domestik yang mantap.

Dari sudut ekonomi, Malaysia berjaya menarik pelaburan diluluskan berjumlah 285.2 bilion ringgit dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025, meningkat 13.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kelulusan itu dijangka mewujudkan 152,766 peluang pekerjaan baharu. Bila pelaburan banyak, kantung negara juga akan bertambah. Jadi sudah tentu kerajaan punyai peruntukan yang lebih untuk membantu rakyat.

Bawah kerajaan MADANI, ia boleh realisasikan. Syaratnya kita pertahan dan mantapkan keharmonian yang dikecapi.

Pengalaman hidup pada era COVID-19 sudah cukup memeritkan. Ramai hilang pekerjaan hingga ada yang jadi gelandangan. Kemudian gelora politik pula menggoncang negara.

Jadi apa kesannya? ekonomi merudum, negara porak peranda. Pelabur lari kerana hilang keyakinan.

Apabila kerajaan MADANI memerintah, negara semakin stabil. Semuanya hasil kestabilan dasar, keberanian reformasi dan kepercayaan rakyat.

Keadaan itu menyaksikan ekonomi kembali melonjak melalui pelaburan berkualiti, penciptaan peluang pekerjaan, dan agenda pertumbuhan yang inklusif.

Tanyalah kepada sesiapa pun, pastinya mereka mahukan sebuah negara yang stabil. Rakyat bersatu padu. Bantuan yang mencurah-curah kepada rakyat.

Sempena tahun baharu, seluruh rakyat wajar menjadikannya sebagai titik permulaan untuk memperkukuh perpaduan, memperbaiki kelemahan dan membina masa depan negara yang lebih sejahtera.

Perbezaan pandangan serta fahaman politik itu sentiasa ada. Namun jangan jadikan ia senjata untuk memecahbelahkan masyarakat. Dengan semangat muafakat, sikap saling menghormati dan tekad untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Malaysia mampu melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara yang aman, bersatu dan berdaya saing.

Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Jalaluddin Baharin.

MAT YUNUS BIN SABRI