JOHANNESBURG, 23 Ogos- Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva mempertahankan dagangan mata wang ahli-ahli BRICS.
Ketika berucap di Forum Kewangan BRICS, beliau menegaskan kebergantungan kepada Dolar Amerika sebelum ini telah merencatkan ekonomi banyak negara membangun.
Tambah beliau, dengan usaha yang dipelopori Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan itu dapat memberi pelbagai faedah kepada sistem kewangan global.
"BRICS adalah unik untuk membentuk trajektori pembangunan global. Ahli perniagaan adalah sebahagian daripada usaha ini. Negara kita bersatu mewakili satu pertiga daripada ekonomi global.
Ia akan berkembang dengan kemasukan ahli dan rakan kongsi baharu. Usaha antara sektor awam dan swasta adalah penting untuk memanfaatkan potensi ini sepenuhnya dan mencapai hasil yang berkekalan," kata Lula dalam ucapannya.
Pada masa sama, beliau turut memuji potensi pertumbuhan Afrika sebagai rakan dagangan dan berikrar untuk terus memperkukuh hubungan sedia ada pada masa akan datang.
(FOTO AFP)
Sementara itu, China mempersoalkan tindakan sesetengah negara yang dilihat dengan sengaja menghalang usaha bagi menerbitkan pasaran baharu yang lebih mesra negara membangun.
Dalam kenyataan Presiden Xi Jinping yang dibacakan Menteri Perdagangan China, Wang Wentao, forum kewangan BRICS perlu dilihat dari sudut positif dan bukan ancaman terhadap mana-mana pihak.
"BRICS bersama lebih 50 negara lain, berkumpul di Afrika Selatan, bukan untuk menarik sesiapa atau memilih sesiapa, untuk memilih siapa atau untuk terlibat dalam konfrontasi. Namun, sebaliknya untuk mencipta corak besar pembangunan yang aman," kata Wentao dalam persidangan itu.
Sidang kemuncak tersebut bermula semalam sehingga Khamis.
Ia dijangka memberi tumpuan kepada mekanisme pertambahan ahli, setakat ini telah menarik minat sekurang-kurangnya 40 buah negara serata dunia. - REUTERS