fb fb fb fb fb

Pengundi bijak, penentu masa depan negara

Foto Bernama

ULASAN BERITA

Sebut saja pilihan raya, semua pihak sudah cakna mengenainya. Tak kira lah di peringkat negeri mahupun parlimen.

Yang Berhormat terpilih akan diberi mandat dan kepercayaan memegang jawatan tidak terhad kepada Kuasa Legislatif, malah Kuasa Eksekutif.

Di Malaysia, kita mempunyai dua jenis pilihan raya, iaitu Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PRU diadakan apabila Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan atau terbubar sendiri selepas tamat tempoh lima tahun.

PRK pula terjadi untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri di luar jangka disebabkan kematian, perletakan jawatan, hilang kelayakan, atau pembatalan keputusan pilihan raya oleh Mahkamah Pilihan Raya.

Paling terdekat untuk kita ikuti kehangatannya adalah PRK Sungai Bakap, ESOK.

Bagi Pengerusi Barisan Nasional (BN), kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) amat penting kepada Kerajaan Perpaduan.

PRK Sungai Bakap nanti dikatakan medan latihan untuk menguji keserasian pelbagai parti. Meliputi kerjasama dan sokongan untuk memenangkan calon yang dipertandingkan. Ia sebenarnya telah diterjemahkan di beberapa siri PRK sebelum ini.

Kemenangan di Pulau Pinang untuk kerajaan perpaduan akan memberi imej baik kepada kerjasama antara PH dengan BN.

BN komited mengekalkan kerjasama baik kerana PH sebelum ini membantu parti tersebut dalam beberapa PRK dan Pilihan Raya Umum Negeri.

Kemenangan di Sungai Bakap juga, dianggap sungguh penting bagi Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang.

Undi Melayu dan pengundi atas pagar dijangka memainkan peranan signifikan untuk memastikan sama ada kerusi Sungai Bakap kekal ataupun menjadi milik kerajaan.

Berdasarkan kajian Institut Darul Ehsan, kira-kira 60 hingga 65 peratus pengundi dijangka keluar menunaikan tanggungjawab pada 6 Julai ini.

Pengerusi Eksekutifnya, Prof Dato Dr Mohammad Redzuan Othman menjelaskan, sokongan bukan penentu kemenangan calon atau parti dalam pilihan raya. Sebaliknya bergantung kepada jumlah undi.

Walaupun sesebuah parti mempunyai sokongan lebih baik berdasarkan kajian, namun pengundi boleh berubah dalam tempoh 24 jam sebelum hari pengundian.

Apa pun, keputusannya di tangan lebih 38,000 pengundi nanti. Tunaikan tanggungjawab anda. Keluarlah mengundi. Buat keputusan bijak. 17 Ogos nanti, PRK Nenggiri, Gua Musang pula menanti.

Keharmonian masyarakat berbilang kaum, perlu dikekalkan. Tidak dinafikan lagi. Kestabilan politik dapat mengukuhkan ekonomi negara. Juga sokongan pelabur terhadap Malaysia.

Pakar-pakar ekonomi juga punyai pandangan sama. Masyarakat pula, perlu elakkan politik kebencian. Tiada guna kita nak bertikam lidah. Usah sentuh isu berbaur provokasi 3R melibatkan raja, agama dan kaum.

Kerajaan bukanlah tidak menerima teguran. Tetapi biarlah bermakna. Bukan bersikap serkap jarang atau membuta tuli tanpa selidik fakta.

Misalnya harga barang. Ramai mengeluh wujudnya peningkatan harga barangan. Namun, usaha mengatasinya dilakukan menerusi operasi berterusan pihak berkuasa.

Jemaah Menteri turut diarah meluangkan lebih masa turun padang meninjau isu harga dan kuantiti barangan di pasaran. Dasar Gaji Progresif juga dijangka beri kehidupan lebih baik kepada masyarakat.

Selain kadar baharu kenaikan gaji bagi penjawat awam, yang bakal dikuatkuasa pada Disember. Kerajaan juga mahu projek pemuliharaan Sungai Perak dan pembekalan air terawat ke Pulau Pinang, dimulakan tahun ini.

Syukurlah, apabila tarif elektrik kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung juga, tidak dinaikkan bermula awal bulan ini hingga 31 Disember depan.

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, secara keseluruhan jumlah subsidi elektrik secara bersasar sepanjang tempoh itu akan dibiayai kerajaan sebanyak RM2.192 bilion.

Kerajaan juga bersetuju menurunkan surcaj sebanyak 1 sen/kWj kepada kategori lampu jalan bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan. Selain itu, kerajaan MADANI sibuk menarik pelabur untuk Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, rekod pelaburan negara dijangka melonjak lagi, tahun ini. Berbanding angka dicatatkan pada 2023.

Dibuktikan dengan potensi pelaburan asing berjumlah RM76.1 bilion, yang berjaya ditarik setakat Mac lalu. Pelaburan itu akan memberi jaminan pekerjaan dan keselesaan kepada rakyat. Bersyukurlah kita dilahirkan di Malaysia.

Ulasan berita ini disediakan oleh Mohd Khairie Khalid, editor Berita Radio RTM.

MAT YUNUS BIN SABRI