fb fb fb fb fb

Keracunan kanak-kanak boleh dicegah

Foto Hiasan

ULASAN BERITA

Kita dikejutkan dengan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang termakan keropok segera, dipercayai mengandungi racun tikus.

Laporan media sebelum ini menyebut, mangsa dan adiknya berusia dua tahun, kritikal setelah termakan keropok disyaki bercampur racun.

Bungkusan jajan itu digantung di pagar dawai besi dekat kebun, tidak jauh dari rumah mereka.

Pemilik kebun dipercayai berbuat demikian bagi menangani masalah kera liar yang berkeliaran dan mengganggu tanaman diusahakan.

Khabarnya ia merupakan amalan biasa di kawasan itu.

Semalam, pemilik kebun terbabit ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta 611 pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan iaitu kelakuan cuai berkenaan benda beracun.

Memandangkan kes kini dalam siasatan polis, tak perlulah kita membuat andaian sendiri.

Jauh sekali, menyebar luas pelbagai spekulasi di media sosial atau pun di kedai kopi.

Biarlah pihak berkuasa melengkapkan siasatan dengan tenang dan penuh dedikasi.

Dengan keberkatan Jumaat sebagai penghulu segala hari, ada baiknya kes ini dijadikan iktibar.

Seperti yang kita sedia maklum, keracunan boleh berlaku di mana-mana atau pada bila-bila masa.

Namun, tahukah anda keracunan adalah penyebab utama penyakit dalam kalangan kanak-kanak?

Kementerian Kesihatan menerusi portal rasmi MyHealth mendedahkan, 90 peratus masalah keracunan berlaku di rumah.

Antara sumber racun yang biasa terdapat di rumah ialah ubat-ubatan.

Menurut Pusat Racun Negara, lebih 26 peratus daripada kes keracunan yang dirujuk dari tahun 1995 hingga Jun 2001 melibatkan kanak-kanak.

Kebanyakannya berusia satu hingga enam tahun.

Golongan ini berisiko tinggi mengalami keracunan disebabkan sifat ingin tahu semula jadi mereka, yang ingin mencuba sesuatu yang baharu.

Hari ini, hampir setiap rumah mempunyai atau menyimpan ubat,

Sama ada dalam bentuk pil dan cecair yang boleh dimakan atau bentuk yang tidak boleh dimakan seperti ubat sedut, krim, losyen dan ubat titis.

Perlu diingat, setiap ubat adalah racun sekiranya tidak digunakan mengikut peraturan disarankan.

Umpamanya, ubat demam.

Ubat demam yang sinonim dengan parasetamol adalah ubat yang paling kerap digunakan untuk kanak-kanak.

Selain demam, ia juga digunakan untuk meredakan atau menghilangkan kesakitan.

Kebanyakan ibu bapa sering menganggap parasetamol adalah 'sangat selamat'.

Tetapi kajian menunjukkan banyak kes keracunan berlaku kerana sebahagian ibu bapa atau penjaga memberikan dos yang tidak betul kepada kanak-kanak.

Kesilapan paling ketara ialah memberi dos dewasa dalam bentuk pil yang tidak sesuai dengan usia anak-anak.

Terjadi juga kesilapan mengira dos yang betul dan kesalahan menyukat dos ubat cecair.

Parasetamol untuk kanak-kanak biasanya didapati dalam warna yang menarik dan mempunyai rasa yang enak.

Oleh itu, kanak-kanak cenderung untuk memakannya sendiri jika diletakkan di tempat yang mudah mereka jumpai.

Lebihan dos parasetamol yang dimakan oleh kanak-kanak berkemungkinan menyebabkan kerosakan hati.

Jika tidak menerima rawatan segara, boleh membawa maut.

Begitu juga dengan ubat selesema dan batuk.

Pada dos yang selamat, kandungan ubat-ubatan ini boleh menyebabkan rasa mengantuk.

Akan tetapi jika dos berlebihan, kanak-kanak akan mengalami tanda-tanda rangsangan sistem saraf pusat,

Seperti pembesaran anak mata, muka merah, mulut kering, demam dan pergerakan otot tidak seragam.

Keracunan juga boleh menyebabkan sawan, tekanan darah meningkat dan perubahan pada fungsi jantung.

Sekiranya tidak diberi rawatan segera, maut mungkin menyusul.

Sangat menyeramkan.

Keracunan ubat-ubatan pada kanak-kanak juga boleh berlaku secara tidak disedari atau tidak sengaja.

Ia biasanya terjadi disebabkan kealpaan kita memastikan ubat-ubatan disimpan di tempat selamat.

Seperti di tempat tinggi yang tidak boleh dicapai anak-anak.

Kabinet berkunci adalah tempat paling selamat.

Selain itu, elak meletakkan atau menyimpan bekas ubat berhampiran bekas makanan kerana ini mungkin mengelirukan kanak-kanak.

Elakkan juga memujuk anak makan ubat dengan mengatakan ubat itu gula-gula.

Tidak kurang penting, buang semua ubat-ubatan yang telah luput atau tidak diperlukan lagi.

Keracunan kanak-kanak boleh dicegah.

Ulasan berita ini disediakan oleh Bakhtiar Effendy Mohd Dom, editor Berita Radio RTM.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM