fb fb fb fb fb

Buli siber, sampai bila?

Foto Hiasan

ULASAN BERITA

Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar kerajaan bertindak tegas menangani masalah berkaitan salah guna media sosial, tidak boleh dipandang ringan.

Ini menunjukkan betapa seriusnya masalah itu, sehingga mendapat perhatian Ketua Utama Negara.

Kemuncak kerisauan semua pihak bertitik tolak daripada kes seorang pempengaruh media sosial yang didakwa membunuh diri selepas menjadi mangsa buli siber, baru-baru ini.

A. Rajeswary atau lebih dikenali sebagai Esha ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur pada 5 Julai lalu, sehari selepas membuat laporan polis berhubung buli siber yang dihadapinya.

Mendiang dipercayai mengalami tekanan kerana terganggu dengan komen jelik dan tidak wajar yang dilontarkan beberapa individu yang kebanyakannya menggunakan nama samaran atau akaun palsu.

Kes Esha, hanyalah satu daripada banyak kes buli siber yang dilaporkan.

Banyak lagi kes yang tidak didedahkan.

Data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menunjukkan secara purata sebanyak 10 kes buli siber berlaku setiap hari di negara ini dalam tempoh dua tahun, sejak 2022 hingga 9 Julai lalu.

Dalam tempoh tersebut, sejumlah 9 ribu 483 aduan diterima dengan wanita paling ramai menjadi mangsa.

Persoalannya, sampai bila kita harus membiarkan gejala buli siber ini berlarutan?

Kebimbangan mengenai kes buli siber yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini mendorong pihak berkuasa bertindak tegas, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

Bagi menangani masalah buli siber dengan lebih berkesan, undang-undang khusus perlu digubal.

Ketika ini, pihak polis terpaksa menggunakan peruntukan undang-undang yang berbeza dalam menangani kes berkenaan.

Siasatan mengikut Kanun Keseksaan dilakukan apabila membabitkan kes peras ugut dan ugutan.

Namun, apabila melibatkan kata-kata penghinaan berbentuk kecaman seperti ayat jelik, kes disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, pihaknya sedang berusaha menangani isu buli siber dengan lebih baik agar individu yang dikenakan tindakan undang-undang berkaitan perbuatan itu mendapat hukuman setimpal.

Beliau bersama Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, juga sedang meneliti semula takrifan buli siber, serta hukuman dan denda yang bersesuaian.

Langkah tersebut tepat pada masanya, memandangkan takrifan buli yang diterima pakai pada masa ini masih boleh ditambah baik.

Secara umum, buli siber adalah perbuatan mengancam, memalukan atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik seperti e-mel, laman rangkaian sosial, mesej atau permainan internet.

Perbuatan ini boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental mangsa dalam jangka panjang.

Sehingga mendorong kepada pemikiran atau tingkah laku yang merosakkan diri sendiri, seperti bunuh diri.

Terbaharu, satu trend buli siber dikesan dilakukan sekumpulan individu menggunakan sistem 'troll farm' di aplikasi TikTok, bagi mewujudkan persepsi terhadap seseorang.

Perbuatan itu dikesan oleh pihak TikTok ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan di Parlimen, Selasa lepas.

Tindakan telah diambil dengan menutup sejumlah akaun yang terbabit dengan 'Kelakuan Manipulatif Selaras' itu.

Dalam kes Esha, dua individu telah didakwa di mahkamah.

Individu pertama, pemilik sebuah rumah kebajikan dihukum denda maksimum RM100 mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Wanita berusia 35 tahun itu mengaku bersalah mengeluarkan kata-kata kesat menerusi akaun TikTok dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.

Individu kedua, seorang pemandu lori berusia 44 tahun turut mengaku bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata lucah, serta mengaibkan ibu Esha, juga di aplikasi TikTok.

Kedua-dua kes mendapat perhatian meluas.

Ramai kecewa kerana merasakan denda RM100 yang dikenakan terhadap pelaku pertama, sangat tidak setimpal dengan perbuatan yang dilakukan.

Lantaran itu, terdapat keperluan agar peruntukan undang-undang sedia ada ditambah baik dan diperketat.

Namun perlu diakui, tindakan undang-undang semata-mata tidak akan dapat menangani gejala buli siber secara tuntas.

Masyarakat sendiri perlu ada kesedaran, serta mempunyai sifat ehsan dan empati yang tinggi terhadap orang lain.

Untuk mengelak daripada menjadi mangsa buli di alam maya, ambil langkah pencegahan.

Hakikatnya, buli siber boleh dianggap sebagai risiko ancaman keselamatan masa kini.

Memandangkan ia tidak mempunyai batasan, boleh berlaku tanpa mengira waktu serta boleh dilakukan oleh individu tidak dikenali.

Pengguna media sosial perlu sedar, niat sekadar ingin bergurau, boleh ditafsir sebagai menghina atau mengaibkan sehingga menjatuhkan maruah seseorang.

Oleh itu, sentiasalah mengamalkan etika dan beradab ketika melayari media sosial agar ketenteraman awam terpelihara.

Benarlah kata peribahasa, 'mata pena lebih tajam daripada mata pedang'.

Ulasan berita ini disediakan oleh Masniza Awang Kechik, editor Berita Radio RTM.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM