ULASAN BERITA
"Jangan sekali-kali mencetuskan api perselisihan dengan membangkitkan perkara yang boleh menggugat dan meruntuhkan keharmonian negara. Perpaduan dan keharmonian rakyat, adalah tiang seri dan kekuatan negara."
Demikian pesanan keramat Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Pesanan disampaikan di Majlis Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda pada 30 Julai 2019.
Hampir genap lima tahun lalu. Patah tumbuh, hilang berganti. Selepas tamat tempoh pemerintahan Al-Sultan Abdullah, tiba giliran Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim menaiki takhta.
Pada 31 Januari tahun ini, baginda melafazkan sumpah memegang jawatan, disusuli istiadat pertabalan pada Sabtu lepas, bersamaan 20 Julai.
Bersempena istiadat pertabalan, Seri Paduka Baginda menitahkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya terus menggiatkan usaha meringankan beban rakyat serta membangunkan negara dengan lebih maju dan makmur.
Jika diamati dengan cermat, kepentingan rakyat dan negara terus diangkat sebagai keutamaan. Ini jelas menzahirkan kecaknaan Yang di-Pertuan Agong selaku payung mahkota yang menaungi rakyat dan negara.
Setiap Agong cukup prihatin. Jika zaman pemerintahan Agong ke-16, negara berhadapan kemelut politik "empat Perdana Menteri sepenggal", Agong ke-17 pula ditabalkan ketika rakyat berhadapan isu kos sara hidup yang semakin meningkat.
Selain mengambil berat beban yang ditanggung rakyat, baginda juga bertekad menghentikan gejala rasuah.
Menurut penganalisis, antara punca kenaikan kos sara hidup adalah faktor global seperti perang di Ukraine dan perubahan iklim.
Tahun lepas, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan inflasi dalam kalangan ekonomi sedang pesat membangun seperti Malaysia boleh melonjak kepada lapan peratus. Alhamdulillah, kadar inflasi di Malaysia pada 2023 mencatat peningkatan perlahan, 2.5 peratus berbanding 3.3 peratus pada 2022.
Bagi tahun ini, inflasi kekal stabil pada kadar dua peratus dalam tempoh dua bulan berturut-turut pada Jun, lebih rendah berbanding jangkaan awal 2.2 peratus. Diharapkan usaha kerajaan mengawal kadar inflasi terus membuahkan hasil.
Seperti kita sedia maklum, kos sara hidup menjadi fokus utama kerajaan dalam usaha membantu mengurangkan beban rakyat. Malah ia merupakan agenda tetap dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
Walaupun berdepan kenaikan kos pelbagai barangan, kadar kenaikan berjaya dikawal oleh setiap kementerian berkaitan. Macam-macam inisiatif dilaksanakan.
Sehingga kini, Malaysia masih terbaik dari segi kawalan berbanding negara jiran seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina. Syukurlah, negara kita terus dinaungi institusi Yang di-Pertuan Agong sejak 1957.
Pada awal kurun ke-19, terdapat lebih 900 kerajaan mengamalkan sistem pemerintahan beraja di seluruh dunia. Namun, ketika ini hanya tinggal 43 negara.
Daripada jumlah itu, 36 negara mengamalkan sistem raja berperlembagaan manakala lima yang lain mengamalkan sistem beraja kuasa mutlak. Sementara itu, dua negara mengamalkan sistem beraja campuran mutlak dan berperlembagaan.
Malaysia satu-satunya negara mengamalkan sistem penggiliran dalam kalangan sembilan raja Melayu. Amalan itu yang memberi pengiktirafan selayaknya kepada setiap raja, melambangkan kestabilan sistem pentadbiran yang diguna pakai di Malaysia.
Sebagai rakyat Malaysia, sewajarnya setiap daripada kita berusaha mendalami pengetahuan tentang Institusi Yang di-Pertuan Agong, tonggak kekuatan kita yang tidak ada di negara-negara lain.
Bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Pameran Raja Kita akan diadakan di Muzium Negara bermula hari ini (26 Julai 2024) hingga 29 September 2024.
Lebih 272 koleksi dan item berkaitan Institusi Yang di-Pertuan Agong serta koleksi peribadi Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah akan dipamerkan termasuk kertas undi semasa pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Terdapat juga koleksi bersejarah seperti manuskrip dan dokumen perjanjian berkaitan Institusi Raja.
Jom sama-sama hayati Institusi Yang di-Pertuan Agong di samping mengenali dengan lebih dekat keperibadian Seri Paduka Baginda sekali gus menyemarakkan slogan ‘raja dan rakyat berpisah tiada'.
Ulasan berita ini disediakan oleh Bakhtiar Effendy Mohd Dom, editor Berita Radio RTM.