ULASAN BERITA
Kalau sebut minyak, semua rakyat Malaysia pasang telinga, sebab minyak bukan sekadar bahan bakar, tapi urat nadi perjalanan harian kita. Harga di pam petrol itulah menjadi penentu lega atau sempit poket hujung bulan.
Menyedari hakikat itu, Kerajaan MADANI memperkenalkan BUDI MADANI RON95, atau BUDI95. Inisiatif baharu subsidi petrol RON95 yang akan mula dilaksanakan pada 30 September ini sebagai langkah penyelesaian lebih adil dan tersasar.
Apa itu BUDI95? Ia skim subsidi petrol baharu yang membolehkan setiap warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu sah menikmati harga RON95 pada RM1.99 sen seliter. Harga ini lebih rendah daripada kadar subsidi pukal sedia ada iaitu RM2. 05 seliter.
Melalui inisiatif ini, setiap rakyat diberi kelayakan penggunaan sebanyak 300 liter sebulan. Jumlah yang menurut Jabatan Perangkaan Malaysia mencukupi berdasarkan purata penggunaan petrol untuk lebih 99 peratus pemandu kenderaan persendirian yang mencecah hanya sekitar 80 liter sebulan.
Bagi bukan warganegara, mereka perlu membayar harga pasaran sekitar RM2.60 seliter. Mulai semalam, rakyat boleh menyemak kelayakan masing-masing di portal rasmi www.budimadani.gov.my
Langkah ini diambil selepas subsidi pukal lama tidak lagi mampan, menelan belanja negara kira-kira RM20 bilion setahun pada 2023 dan 2024. Lebih 20 peratus pula bocor ke tangan pihak tidak layak termasuk warga asing dan sektor perniagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, inisiatif ini dilaksanakan untuk memastikan subsidi diagih secara lebih adil, telus dan tanpa ketirisan. Pengesahan boleh dibuat menggunakan MyKad dan rekod JPJ, supaya hanya rakyat yang memiliki lesen sah dan aktif sahaja layak menikmatinya.
Di sinilah muncul langkah penting. Penggunaan MyKad akan menjadi lebih intensif apabila BUDI95 dilaksanakan. Orang ramai mesti menyemak cip MyKad masing-masing, kerana setiap pembelian minyak selepas ini memerlukan pengesahan kad pengenalan.
Untuk itu, kerajaan menawarkan penggantian cip MyKad rosak secara percuma di semua kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sehingga 7 Oktober depan. Pada masa sama, status lesen juga diperketat.
Pemegang lesen memandu kompeten yang tamat tempoh lebih tiga tahun dikira tidak aktif dan secara automatik hilang kelayakan subsidi. Ini bermakna MyKad bukan sahaja pengesahan identiti, tetapi juga pintu masuk untuk semakan status lesen dalam sistem.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah pula memberi jaminan bahawa pendekatan ini mudah, tidak kompleks dan mesra pengguna. Tiada sekatan harian. Rakyat bebas mengisi minyak pada bila-bila masa asalkan tiada aktiviti mencurigakan.
Tambah beliau, dengan pemansuhan subsidi pukal, Kerajaan MADANI mengunjurkan BUDI95 akan menjana penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun. Penjimatan ini akan digunakan untuk memperluas bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Dari sudut rakyat, manfaatnya jelas. Dengan kelayakan 300 liter sebulan, pengguna biasa boleh jimat sehingga RM200 sebulan. Pemandu e-hailing pula boleh memohon tambahan kelayakan kerana penggunaan mereka lebih tinggi bagi menampung keperluan perjalanan.
Bagi polis dan tentera kemudahan ini disalurkan lebih awal bermula 27 September 2025, manakala penerima STR pada hari berikutnya.
Di sebalik manfaat ini, ada juga kebimbangan yang dibangkitkan. Ada suara kritis yang melihat BUDI95 sebagai langkah populis, kerana subsidi ini masih dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi. Ada juga yang bimbang kelayakan 300 liter tidak cukup untuk mereka yang ulang-alik jauh setiap hari.
Selepas kelayakan habis, baki minyak perlu dibayar pada harga pasaran, iaitu RM2.60 seliter. Ada juga kebimbangan tentang risiko penyalahgunaan MyKad, contohnya dipinjamkan kepada orang lain. Kerajaan menjawab dengan tegas, sistem MyKad dan data JPJ dipilih kerana ia lebih selamat dan telus.
Dengan MyKad menjadi kunci pengesahan, subsidi ini tidak boleh sewenang-wenangnya dipinjam atau dimanipulasi. Setiap liter yang dinikmati terikat pada identiti pemilik sah. Proses di stesen minyak juga tidak membebankan. Rakyat hanya perlu masukkan MyKad ke mesin pembaca, sama ada di kaunter atau di pam.
Bagi pengguna digital, pengesahan eKYC sekali sahaja boleh dibuat dalam aplikasi seperti Touch ’n Go eWallet, Setel atau CaltexGO. Selepas itu, mereka terus menikmati harga subsidi tanpa perlu guna MyKad.
Kaedah pembayaran kekal fleksibel --- tunai, kad kredit, debit atau e-dompet dan resit pembayaran akan memaparkan dengan telus jumlah asal di pam. Termasuk jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan, serta jumlah sebenar yang dibayar pengguna pada harga RM1.99 seliter.
Akhirnya, mesej kerajaan jelas; BUDI95 ialah kompromi yang seimbang. Rakyat masih menikmati harga petrol murah, sementara negara tidak lagi terbeban dengan subsidi bocor. Dalam bahasa mudah...rakyat isi minyak dengan harga “manis”, dan poket negara masih bernyawa untuk disalurkan semula ke sektor lain yang lebih penting.
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Nur Sharida Shahabuddin.