fb fb fb fb fb

Global Sumud Flotilla: Solidariti dunia hadapi tentangan Israel

Sekumpulan aktivis kemanusiaan berlepas dari pelabuhan Tunisia pada 14 September 2025 untuk menyertai Global Sumud Flotilla, dalam misi menyekat sekatan kemanusiaan Israel di Gaza/AFP

ULASAN BERITA

Saudara, tiada kata-kata boleh digambarkan terhadap nasib dan derita dihadapi rakyat Gaza. Pengeboman demi pengeboman berlaku. Pencerobohan dan kepungan terus diperhebat. Malah, kempen pembunuhan beramai-ramai atau ‘genocide’ rakus digerakkan rejim apartheid Zionis Israel.

Jumlah kematian sudah tidak terbilang. Angka yang cedera mencecah ratusan ribu orang. Rakyat Palestin kini dibiarkan hidup dalam 1,001 kesulitan. Lebih memilukan, sengaja dibiarkan hidup dalam kelaparan.

Tiada lagi tempat untuk mereka melarikan diri. Tiada lagi kediaman untuk dijadikan perlindungan sementara. Tiada makanan, minuman yang dapat dijamah bagi menghilangkan rasa lapar dahaga. Wajah Gaza kini berubah sekelip mata. Segalanya hancur, musnah dan berantakan.

Yang tinggal hanyalah sisa-sisa, debu dan struktur bangunan rebah menyembah bumi. Kecaman demi kecaman tidak mendatangkan sebarang reaksi kepada Israel. Sebaliknya, kecaman dibalas dengan bom dan peluru bertali arus.

Justeru, masihkah ada esok buat rakyat Palestin di Gaza? Di mana lagi tempat mereka bergantung harap selain Tuhan Yang Esa? Bagaimana dunia boleh membela nasib mereka?

Saudara, ketahuilah rakyat Gaza tidak keseorangan. Suara kepedulian insan terhadap nasib mereka sebenarnya bergema di serata dunia. Di sebalik kekejaman rejim Zionis Israel, dunia bersolidariti dengan Gaza.

Pelbagai pelan dirangka untuk memastikan bantuan mendesak terus disampaikan tanpa halangan. Ini temasuk misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla, yang digerakkan ketika ini.

Global Sumud Flotilla adalah misi kemanusiaan antarabangsa terbesar. Ia gerakan simbolik, digerakkan oleh masyarakat dunia untuk memecahkan sekatan haram Israel.

Misi ini menghimpunkan lebih 800 aktivis, doktor, agamawan, artis, seniman dan sukarelawan dari lebih 50 negara. Bersatu menyuarakan solidariti dunia untuk menamatkan penderitaan rakyat Palestin.

Global Sumud Flotilla adalah sebuah gerakan kemanusiaan global berbentuk konvoi damai yang menghimpunkan armada kapal awam. Misi ini membawa lebih 50 tan bantuan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan ubat-ubatan.

Penganjur menegaskan Global Sumud Flotilla kali ini adalah simbol solidariti rakyat antarabangsa. Menuntut sekatan ke atas Gaza dihentikan serta menamatkan penderitaan berjuta penduduk Palestin. Ia merupakan misi maritim terbesar ke Gaza, merentasi enam benua termasuk Australia, Brazil, Afrika Selatan dan beberapa negara Eropah.

Malaysia tidak terkecuali apabila 12 orang sukarelawan negara turut menyertainya dengan mula belayar ke Catania Sicily, Itali. Selain membawa bantuan kemanusiaan, misi ini turut mengangkat mesej perpaduan umat manusia dan memperkukuh suara global. Dalam masa sama, menegaskan perjuangan rakyat Palestin adalah perjuangan kemanusiaan sejagat.

Namun hakikatnya, misi ini tidak mudah. Pelbagai cabaran ditempuh termasuk ugutan dan serangan awal oleh Israel di Tunisia. Serangan itu mendapat kecaman pemimpin dunia termasuk PMX.

Semasa berucap pada Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam baru-baru ini, beliau menegaskan, Global Sumud Flotilla perlu disokong padu oleh puluhan negara Islam.

Kapal itu membawa janji dan bantuan kemanusiaan untuk mereka yang terkepung di tanah air sendiri. Bahkan tegas PMX, menghalang kapal itu tiba di Gaza adalah satu pengkhianatan terhadap nilai kemanusiaan sejagat.

Sehubungan itu, dunia perlu menggunakan segala kudrat untuk memastikan misi sampai ke destinasi. Membiarkan kapal berlayar berpatah balik dengan keganasan mengkhianati tuntutan nurani untuk mempertahankan yang lemah dan memberi perlindungan kepada yang tertindas.

Malah, kecaman dan pengisytiharan semata-mata tidak akan membebaskan Palestin. Sebaliknya tindakan lebih tegas perlu digerakkan.

"Hentikan hubungan diplomatik dan tamatkan hubungan perdagangan dengan negara haram Israel." Ini ditegaskan oleh PMX.

Sehingga saat ini, kapal ini masih meneruskan pelayarannya menempuh perjalanan sejauh kira-kira 3,000 kilometer. Perjalanannya diteruskan dari pelbagai titik berangkatan dan akan berkumpul di laut Mediteranean untuk berkonvoi bersama menuju Gaza.

Dijangkakan, dalam masa beberapa hari lagi, Armada akan sampai ke wilayah terkepung Gaza. Marilah kita bersama mendoakan agar Global Sumud Flotilla mencapi tujuannya.

Doa-doa inilah yang mengiringi perjuangan para aktivis menghadapi tentangan besar di laut. Biar kita menjadi saksi terhadap sejarah perjuangan mereka. Ia hadiah tidak ternilai kepada sebuah pengorbanan menentang kezaliman.

Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Nik Hafizul Baharuddin.

MAT YUNUS BIN SABRI