ULASAN BERITA
Kerajaan MADANI akhirnya menunaikan janji yang dinanti-nantikan rakyat, apabila selepas hampir tiga tahun menunggu, pengasingan kuasa antara Peguam Negara dengan Pendakwa Raya dimuktamadkan secara prinsip.
Langkah ini dianggap antara agenda reformasi undang-undang paling penting dalam sejarah negara.
Malah, Majlis Peguam Malaysia menyokong penuh terhadap keputusan kerajaan memisahkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Presidennya, Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab, menyifatkan pelaksanaan itu sebagai satu pembaharuan institusi penting yang telah lama dinantikan.
Namun, prosesnya bukan mudah.
Disember tahun lalu, Perdana Menteri sendiri mengakui kerumitan kerana membabitkan pindaan besar terhadap Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tatacara Jenayah serta beberapa akta lain.
Persoalan di sini, apa yang berlaku sekiranya pengasingan ini tidak dilaksanakan dengan segera?
Jawapannya, sistem perundangan kita terus dipersoalkan.
Situasinya mudah, apabila seorang Peguam Negara menjadi penasihat kerajaan dan pada masa sama mengawal pendakwaan, maka timbul kemungkinan konflik kepentingan.
Masyarakat awam tidak berhenti dengan spekulasi dan memberi persepsi mengenai sistem keadilan negara.
Keadaan ini boleh menimbulkan dilema Peguam Negara terutama apabila kes berprofil tinggi melibatkan ahli politik atau tokoh berkepentingan.
Justeru, Datuk Mohamad Ezri berkata pengasingan kuasa itu penting dalam memperkukuh kebebasan pendakwaan.
Namun menegaskan ia bukan jaminan mutlak bahawa semua kes berprofil tinggi akan membawa kepada sabitan.
Keputusan mahkamah tetap bergantung kepada kualiti siasatan, kekuatan bukti, serta proses kehakiman yang berjalan.
Dengan pemisahan kuasa, pendakwaan akan dijalankan oleh pihak bebas tanpa pengaruh kepentingan politik.
Hakikatnya, sejak 2018, beberapa kes berprofil tinggi ditarik balik atau rayuan digugurkan atas alasan teknikal.
Malah kebanyakannya melibatkan tuduhan rasuah berjuta-juta ringgit.
Inilah sebabnya ramai pihak melihat pengasingan kuasa sebagai keperluan mendesak, bukan sekadar janji manifesto.
Bagi mengukuhkan pelaksanaan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan agenda pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilakukan secara berfasa.
Fasa pertama mewujudkan pasukan khas iaitu meneliti dan merangka model perbandingan negara lain.
Fasa kedua menilai aspek teknikal bagi memastikan pengasingan dapat dilaksana secara telus tanpa sebarang pengaruh politik.
Fasa ketiga membabitkan sesi libat urus bersama dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak serta pihak berkepentingan lain termasuk agensi penguatkuasaan.
Proses itu perlu dilakukan berperingkat supaya tidak mengganggu kelancaran sistem perundangan sedia ada.
Secara asasnya, matlamat utama adalah membina sistem pendakwaan yang lebih bebas, telus dan diyakini rakyat.
Ia selari dengan prinsip undang-undang Latin, nemo judex in causa sua - bermaksud tiada siapa boleh mengadili kes yang ada kepentingan peribadi.
Namun, adakah pengasingan ini benar-benar akan mengelak konflik berkepentingan dan mengangkat martabat integriti perundangan?
Jika dilaksanakan dengan telus, inilah detik bersejarah Malaysia bergerak selangkah lebih dekat kepada demokrasi matang, berintegriti dan berpihak kepada rakyat.
Kita pula jangan sekadar berkokok lantang dengan suara sumbang dan terperangkap dalam retorik kosong.
Yang lebih utama mengiktiraf usaha kerajaan memperkukuh undang-undang serta institusi kehakiman.
Reformasi ini bukan hanya perlu cantik di atas kertas, tetapi perlu diterjemahkan mencapai objektifnya agar tidak lagi dipalit persepsi konflik kepentingan.
Inilah titik tolak yang akan menentukan hala tuju sistem keadilan negara agar benar-benar menjunjung kedaulatan undang-undang.
Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Grace Aisyah Kedayan.