ULASAN BERITA
Tanggal 31 Ogos tahun ini menjadi hari bersejarah kepada seluruh rakyat Malaysia.
Kita bukan sahaja menyambut Hari Kebangsaan ke-68 dengan penuh semangat patriotik, tetapi hari Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 dikreditkan kepada rakyat. SARA boleh ditebus di lebih 7,300 premis berdaftar seluruh negara.
Ini merupakan ikhtiar segera kerajaan untuk meringankan beban sara hidup dan sebagai penghargaan kepada rakyat. Kira-kira 22 juta penduduk mendapat manfaat dengan jumlah peruntukan RM2 bilion.
Yang kaya dapat, yang miskin pun dapat asalkan anda rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas. Ramai yang melahirkan rasa syukur, tidak kurang juga yang memandang sinis.
Apa pun orang kaya yang menganggap ia nilai kecil boleh menolak pemberian itu dengan tidak menggunakannya sehingga tarikh luput 31 Disember 2025. Namun bagi golongan pertengahan dan miskin, ia satu pemberian penuh makna yang disyukuri.
“Kebahagiaan itu bukan pada banyaknya harta, tetapi pada rasa cukup dan dihargai," itu kata Buya Hamka seorang ulama terkenal.
Hakikatnya, penghargaan kerajaan itu menggambarkan kepedulian dan penghormatan kepada rakyat. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengingatkan semua pihak agar tidak memandang remeh kepada nilai bantuan tunai itu.
Jumlah itu mungkin dianggap kecil bagi golongan berpendapatan tinggi, namun ia amat bermakna kepada rakyat di luar bandar serta golongan berpendapatan rendah.
Perdana Menteri menjelaskan, bagi sebuah keluarga miskin yang mempunyai dua anak dewasa dan pasangan suami isteri, bantuan tunai itu boleh mencecah RM400. Jika ditambah dengan Sumbangan Tunai Rahmah sedia ada, jumlahnya boleh meningkat hingga RM700.
Nilai tersebut memberi makna besar untuk sebuah keluarga yang tidak berkemampuan. Apabila menjengah komen dalam laman sosial, ramai juga golongan profesional meluahkan rasa dihargai dan syukur. Ini kerana itulah kali pertama mereka mendapat pemberian sedemikian.
Kita sering melihat penyataan sarkastik RM100 tidak boleh memenuhkan barang dalam sebuah troli, tetapi RM100 cukup untuk membeli barangan asas penting. Beras, telur, minyak masak, tepung, bahan perasa, produk kebersihan diri yang dibeli memadai untuk keperluan seminggu dua.
Itu jumlah untuk seorang yang layak. Jika ada isteri dan dua anak berumur 18 tahun ke atas? anda masih ada baki RM300 yang boleh dibelanjakan sepanjang tahun ini.
Selain menghargai dan mengurangkan kos sara hidup. Pemberian ini sebenarnya bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi domestik.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan, Datuk Zamzuri Abdul Aziz, setiap seringgit yang dibelanjakan boleh menghasilkan nilai sehingga RM2.43 sen apabila dikongsi dalam rantaian perniagaan, bermula daripada pekedai kecil hingga pengeluar tempatan.
Apabila stok bergerak laju, peniaga kecil mendapat pusingan modal lebih pantas, pembekal tempatan pula mendapat tempahan baharu dan membolehkan ekonomi komuniti setempat bergerak serentak.
Pendek kata RM100 itu berperanan merangsang ekonomi tempatan dan manfaatnya bukan hanya kepada penerima, sebaliknya turut menyumbang kepada kitaran ekonomi negara.
Tidak ketinggalan juga yang mempersoalkan mengenai mekanisme pengagihan. Mengapa tidak diberi secara tunai? mengapa perlu melalui MyKad?
Selain mengelak ketirisan, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan, pengagihan melalui MyKad adalah bagi memastikan bantuan benar-benar digunakan untuk membeli barangan keperluan asas. Jika diberi tunai, ada pula yang ambil kesempatan beli rokok atau seumpamanya.
Hari pertama penebusan penghargaan SARA menyaksikan sistem penebusan melalui MyKasih tergendala selepas jutaan transaksi masuk serentak.
Bagi menyelesaikan isu itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican berkata, kapasiti asas kini ditingkatkan hingga 15-ribu transaksi seminit.
Penambahbaikan harian juga akan terus dilakukan bagi memastikan sistem SARA dapat menampung peningkatan jumlah pengguna.
Memasuki hari keempat, sistem tersebut berjalan lancar dengan rekod jualan sebanyak RM117.1 juta, melibatkan 1.8 juta penerima di seluruh negara. Kadar transaksi juga meningkat kepada 99.7 peratus berbanding 95 peratus pada 2 September.
Pada masa hadapan jika hadiah seperti ini diteruskan, usah panik memborong barang di pasar raya. Tempoh penebusan bukan tamat dalam seminggu.
Akhir kalam, Penghargaan SARA dinilai bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi keprihatinan kerajaan yang mengiktiraf setiap rakyat sebagai aset negara yang harus dihargai.
Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Jalaluddin Baharin.