fb fb fb fb fb

Bulan Kebangsaan, ayuh kita semai dan pupuk patriotisme

Foto hiasan/RTM

ULASAN BERITA

“Tanah ini adalah maruah, jiwa, dan darah yang mengikat kita bersama!”

"Hidup mati kita, biarlah jadi saksi cinta yang tak pernah padam untuk negara tercinta!”

Patriotik. Boleh jadi kuat atau melemah. Bergantung bagaimana nilai-nilai ini disemai dalam masyarakat, atau sudah tersemat dari jiwa.

Sejak lahir sudah rasa ikatan emosional dengan tanah air, bahasa, adat, warisan dan budaya yang mengikat jiwa kepada negara. Sudah sebati dalam sanubari.

Persoalannya, realiti sosial hari ini. Pengaruh platform media sosial seperti Facebook, Instagram, X, Threads,TikTok, Snapchat dan LinkedIn sedikit sebanyak melunturkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat.

Mengapa? Komen-komen tidak bertanggungjawab, emosi, provokasi, dan batu api akan menjarah rukun kedamaian. Yang terpengaruh akan mengalami lambungan perasaan.

Orang marah, kita pun marah, orang benci kita turut benci. Tiada asas, berani berbahas kononya tiada orang kenal atau akaun palsu.

Hakikatnya, apa yang diperkatakan itu hanyalah cerita rekaan semata-mata, untuk mempengaruhi dan meraih kepentingan peribadi. Merdekakah kita?

Pempengaruh dan pencipta kandungan batu api seperti ini perlu diawasi, apa yang dicanang boleh membenihkan sengketa dan rasa benci. Maka lunturlah jiwa patriot dan jati diri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam sekali lagi menegaskan kerajaan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba meniupkan api kebencian di negara ini. Tindakan tegas akan dikenakan.

Jadi nilailah kembali. Semailah semangat cintakan negara, cintakan sesama rakyat dan pupuklah jiwa “bersatu dalam kepelbagaian.”

Kekalkan DNA Malaysia, elak diwarnai walau sekelumit DNA asing yang kita tahu lebih banyak kerosakan. Rukun Negara menyatukan kita.

Didiklah anak-anak bermula dari rumah, dari tadika, sekolah, mahu pun di peringkat institusi pendidikan tinggi, sebab, kecil-kecil anak kalau sudah besar onak. Jangan dipaksa, tapi pupuklah secara organik.

Sesungguhnya kelakuan, perangai, emosi anak banyak dipengaruhi oleh kelakuan, perangai dan emosi ibu bapa mereka. Apa yang mereka nampak, dengar dan rasa, itulah juga apa yang mereka buat.

Anak suka marah? Tengok balik siapa di rumah yang suka beremosi, suka mengherdik, tidak sensitif dan sebagainya.

Ibarat melentur buluh biarlah dari rebung, generasi muda hari ini perlu diasuh dan diperkasa, kerana golongan ini bakal mencorakkan hala tuju negara.

Seperti kata penerima Hadiah Nobel Keamanan 2014 yang juga pejuang hak pendidikan wanita dan kanak-kanak di Pakistan, Malala Yousafzai.

“Seorang kanak-kanak, seorang guru, sebuah buku dan sebatang pena boleh mengubah dunia.”

Jadi ubah tabiat bangun pagi menatal Tik Tok, Intagram, X, Facebook, Telegram dan ulang. Kena ada algoritma.

Dalam pada itu, baru-baru ini negara dikejutkan dengan insiden salah laku melibatkan pasukan beruniform.

Beberapa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan, disyaki membocorkan maklumat operasi ketenteraan dan bersekongkol dengan sindiket.

Jika benar terbukti bersalah, mereka ini patut dihukum dengan hukuman setimpal. Biar jadi pengajaran, biar jadi pemula tindakan tegas terhadap pengkhianat bangsa.

Meskipun begitu, kes ini tidak mencerminkan keseluruhan institusi pertahanan negara, ATM masih hebat, disegani dan diyakini rakyat untuk memelihara kedaulatan negara. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Sebab di sebalik segelintir yang tidak sayangkan negara, jutaan yang lain berbilang bangsa tidak sekelumit meragui sesama sendiri. Seperti peribahasa ini:

Mulia suku adatnya kukuh,
Zaman beralih tetap dipakai,
Bila bersatu umat dan teguh,
Hilang selisih hidup pun damai.

Patriotisme... tiang seri kekuatan negara. Jika luntur, negara boleh hilang maruah, lemah dan akhirnya runtuh dari dalam. Tanpa patriotisme, bangsa mudah goyah. Yang "putih" pun boleh jadi "hitam".

Bersempena Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Putrajaya, Ahad ini, marilah kita seluruh rakyat Malaysia, bersatu hati memeriahkan perhimpunan penuh bersejarah ini.

Kibarkan Jalur Gemilang dengan rasa bangga, laungkan “Merdeka!” dengan penuh semangat, dan zahirkan rasa cinta kita kepada tanah air tercinta.

Detik bersejarah ini juga boleh disaksikan secara langsung menerusi RTMKlik, media sosial rasmi, saluran televisyen dan radio RTM.

Ayuh Malaysia, kita raikan Hari Kebangsaan dengan jiwa yang merdeka dan semangat yang membara!

Malaysia Madani, Rakyat Disantuni.

Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Zamzuri Zawawi.

MAT YUNUS BIN SABRI