fb fb fb fb fb

Hentikan buli, lindungi pewaris generasi masa depan

Foto/RTM

ULASAN BERITA

“Anak saya dipaksa berbogel, ditendang, dihentak kepala hingga alami gegaran otak. Tak tahu nak rasa apa bila hari-hari dipukul”. “Kepada pembenci-pembenci anak saya, mungkin kamu sudah berpuas hati melihat keadaan ini”.

Itu antara rintihan keluarga dan mangsa buli yang dilaporkan media. Kes-kes buli, terutama yang mangsanya kanak-kanak atau pelajar pastinya meruntun jiwa sesiapa sahaja bergelar manusia.

Sebagai insan berfikiran waras, kita dikurniakan Tuhan mempunyai akal yang mampu membezakan mana yang baik dengan yang buruk. Tetapi jika dilihat daripada kes buli yang semakin menjadi-jadi, timbul persoalan, apa sudah jadi dengan manusia zaman sekarang? Seolah-olah tiada perikemanusiaan.

Lebih membimbangkan apabila gejala buli ini tidak terkawal sehingga bertukar menjadi keganasan berkumpulan yang membawa kepada kecederaan atau pembunuhan tidak sengaja.

Sebagai contoh, kes kematian penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang masih segar dalam ingatan, meskipun kejadian itu berlaku pada 2017.

Terbaharu, negara dikejutkan dengan kes Zara Qairina Mahathir yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di Papar, Sabah pada 16 Julai, sebelum disahkan meninggal dunia di hospital keesokan hari.

Dan pada Rabu lepas, lima remaja perempuan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak di Kota Kinabalu atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarham.

Kes ini merupakan kes pertama didakwa bawah Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 yang memperuntukkan kesalahan bagi perbuatan buli. Tindakan pihak berkuasa ini sedikit sebanyak meredakan keresahan rakyat.

Apa pun dalam kita bersolidariti, jangan buat sebarang spekulasi. Jika andaian yang dibuat berunsur fitnah, individu terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Lihat sahaja tindakan yang telah diambil terhadap seorang guru Bahasa Inggeris yang didakwa di mahkamah atas pertuduhan menimbulkan kegentaran awam apabila mendakwa Zara Qairina dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Dakwaan ini agak melampau, lebih-lebih lagi jika untuk dijadikan kandungan media sosial. Ketika kes allahyarham hangat diperkatakan, ada lagi insiden buli dilaporkan di Johor, Melaka dan Kelantan. Dakwaan sebegini tidak harus dipandang ringan.

Rentetan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said akan membawa cadangan penubuhan tribunal khas bagi kes buli membabitkan pelajar dan kanak-kanak ke mesyuarat Kabinet.

Sebelum ini, beliau memaklumkan, kerajaan sedang meneliti keperluan untuk menggubal Akta Antibuli memandangkan ketika ini, tiada definisi khusus atau hukuman jelas berkaitan kesalahan buli dalam mana-mana peruntukan undang-undang, sekali gus menyukarkan penguatkuasaan.

Cadangan penubuhan tribunal khas ini dilihat wajar kerana realitinya gejala buli adalah ancaman nyata yang tidak lagi boleh dianggap masalah disiplin, tetapi jenayah berat.

Sama-samalah kita menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar gejala buli dibendung sejak dari peringkat sekolah rendah. Titah Seri Paduka Baginda, gejala buli jika tidak dibendung dari peringkat awal berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat dan kasih sayang sesama insan.

Sebagai masyarakat yang prihatin, kita mengalu-alukan langkah tegas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang tidak berkompromi dalam soal buli.

Menerusi tanda pagar “YouTouchYouGo” yang diangkat beliau menunjukkan betapa serius pihak MARA dalam membendung gejala buli di institusi pendidikan itu. Inisiatif MRSM memulakan projek rintis menempatkan warden bekas tentera di asrama pelajar, turut disokong.

Kepada masyarakat, laporkan terus sebarang insiden buli di sekolah kepada Kementerian Pendidikan menerusi Portal Aduan Buli.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut mengalu-alukan pandangan dan cadangan semua pihak, bagi memperkukuh aspek keselamatan serta menangani gejala buli di semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan. Beliau bersedia meneliti segala cadangan, termasuk pelan antibuli dalam usaha menangani isu tersebut.

Kepada pihak sekolah, janganlah ‘menutup mata’ terhadap sebarang kejadian buli. Ini akan menyukarkan gejala buli dibendung dan mangsa terus menanggung penderitaan mental dan emosi.

Kepada ibu bapa pula, sentiasa peka dengan perubahan diri dan emosi anak-anak. Jadilah pendengar yang baik, luangkan masa berkualiti bersama mereka. Didiklah anak-anak dengan nilai-nilai murni, serta tunjukkan teladan yang baik. Hakikatnya, ibu bapalah yang memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi anak-anak.

Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Masniza Awang Kechik.

MAT YUNUS BIN SABRI