ULASAN BERITA
Cerita mengenai minyak memang dekat dengan kita semua. Soal minyak ini bukan sekadar angka di papan tanda stesen minyak, tapi soal kos hidup rakyat. Petrol, bahan api, inilah keperluan asas rakyat, daripada tentera, polis, nelayan, pemandu e-hailing sampai ke mahasiswa.
Apatah lagi selepas seminggu pelaksanaan Budi MADANI RON95 (BUDI95) . BUDI95 buat rakyat senyum, ada rasa bersyukur, ada juga yang garu kepala. Pening! Macam-macam ragam boleh dilihat melalui perkongsian rakyat di media sosial dan hasil tinjauan orang awam.
Ada yang kata renyah nak keluarkan kad pengenalan di stesen minyak. Tapi renyahkah kalau prosesnya pula tak sampai seminit? Petugas di stesen pun bukannya duduk saja, mereka bantu, sama ada di pam atau di kaunter, pastikan transaksi guna MyKad berjalan dengan lancar dan cepat.
Kalau susah, gunakan aplikasi dan akaun e-dompet yang disediakan. Tak payah dah merungut, mengeluh cip MyKad ada masalah. Cip MyKad bermasalah? Jangan risau! Kerajaan kan bagi peluang untuk ganti cip MyKad rosak secara percuma di semua kaunter Jabatan Pendaftaran Negara hingga 7 Oktober depan.
Dengan BUDI95, rakyat Malaysia hanya bayar RM1.99 seliter, lebih rendah daripada purata harga serantau, malah jauh lebih murah berbanding Singapura, Thailand, Laos, dan Filipina. Singapura hampir RM8.90 seliter, Thailand dan Laos sekitar RM5.60, Vietnam dan Indonesia pula atas RM3.20 seliter.
Jadi di mana kita berdiri? Malaysia masih antara termurah di rantau ini. Kerajaan tak pernah nafikan ada masalah terpencil. Ada rungutan, ada keluhan. Ada yang keliru beza 300 liter dengan 300 kilometer, ada yang fikir BUDI95 PERCUMA macam bantuan SARA MYKASIH sekali bayar.
Malah ada juga suara yang kata susah. Tetapi realitinya kerajaan mendengar, kerajaan tangani isu berbangkit. Menteri Pengangkutan Anthony Loke sudah menjelaskan, rakyat Malaysia yang menggunakan lesen memandu Singapura pun tetap layak menerima manfaat BUDI95, asalkan ada kad pengenalan sah.
Malah kerajaan sedang membangunkan mekanisme khas supaya tiada siapa yang tercicir. Hakikatnya, sejak 27 September hingga 1 Oktober, lebih 3 juta pengguna sudah pun menikmati manfaat ini.
Transaksi petrol subsidi mencecah RM255.6 juta, bersamaan 128.4 juta liter petrol, dengan kerajaan menanggung subsidi RM67 juta. Itu bukti nyata bahawa rakyat benar-benar mendapat manfaat.
Ya, pelaksanaannya mungkin belum sempurna. Tetapi kerajaan memperbaiki, dari masa ke masa, agar sistem lebih lancar. Matlamat kerajaan jelas, supaya kos rakyat tidak terbeban, kewangan negara lebih kukuh.
BUDI95 bukan program politik. Ia dasar nasional untuk lindungi rakyat, hentikan ketirisan, kukuhkan kewangan negara. Malah hampir 900 ribu warga asing tidak lagi dapat menikmati subsidi petrol, dan suara rakyat di media sosial jelas, ada yang memuji, ada yang berseloroh. Katanya, sejak pelaksanaan BUDI95, makin ramai beratur memperbaharu lesen memandu.
Jadi⦠jangan berlengah! Lesen mati lebih tiga tahun tidak layak menerima subsidi petrol RON95. Jangan marah kalau tak dapat manfaat sama macam orang lain, kalau sendiri 'liat' nak memperbaharui lesen sendiri.
Ada juga yang menyifatkan langkah ini sebagai inisiatif bijak kerajaan untuk pastikan subsidi sah milik rakyat. Kalau ada yang masih bising kata susah, itu pilihan mereka. Pelaksanaan mudah hanya penggunaan MyKad maka dapatlah harga RM1.99.
Kalau rasa susah dan renyah bayar sahaja harga pasaran RM2.60 seliter. Setiap sen boleh disalur semula kepada pembangunan infrastruktur, jalan raya, sekolah, hospital, yang rakyat sendiri akan nikmati nanti.
Kesimpulannya mudah. Kerajaan sudah buktikan, subsidi minyak ini hak rakyat Malaysia, bukan untuk warga asing. Jangan pula rakyat dikelirukan dengan suara sumbang berbaur politik. Fokus kita adalah melindungi hak rakyat Malaysia.
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Grace Aisyah Kedayan.