ULASAN BERITA
Pada 7 Oktober 2025, genap dua tahun bumi Gaza bermandikan darah. Sejak hari pertama konflik, wilayah itu menjadi medan pembunuhan beramai-ramai dan penghapusan etnik sistematik oleh Israel terhadap penduduk Palestin
Serangan udara dan darat menyasarkan kawasan kediaman, hospital, sekolah serta kem pelarian, menyebabkan kemusnahan besar dan penderitaan berpanjangan. Puluhan ribu rakyat Gaza menjadi korban. Kanak-kanak, wanita dan warga emas, mangsa korban teramai direkodkan.
Bukti jelas rejim Zionis tidak mahu generasi masa depan rakyat Palestin wujud lagi di muka bumi. Atau itu helah untuk mereka merampas hak dan tanah Palestin yang pada zaman nenek moyang mereka mengalu-alukan kaum Yahudi untuk menumpang teduh ketika mereka tercari-cari tempat berlindung. Ratusan ribu lagi kehilangan tempat tinggal.
Natijah daripada keserakahan rejim zionis juga menyebabkan lebih 193-ribu bangunan di Gaza musnah atau rosak teruk. Termasuk 213 hospital dan lebih seribu sekolah. Pesakit pula hanya boleh dirawat di atas lantai tanpa bekalan ubat yang mencukupi.
Ramai juga yang terpaksa menjalani pembedahan tanpa ubat bius. Bayangkan betapa sakitnya. Sudahlah dinafikan akses perubatan, mereka juga dibiarkan kebuluran. Israel menyekat akses kemasukan bantuan kemanusiaan dengan alasan kononnya, bantuan itu akan jatuh ke tangan pejuang Hamas.
Terkesan dengan penderitaan rakyat Gaza, membuka mata dunia bergabung menghantar misi bantuan. Antaranya menerusi udara. Namun, kaedah itu dilihat kurang berkesan kerana ramai penduduk Gaza terkorban dalam usaha mendapatkan bantuan yang digugurkan dari udara.
Mereka berdepan risiko ditembak atau dihempap kotak bantuan. Akhirnya, tercetusnya gelombang misi Global Sumud Flotilla (GSF). Misi besar yang bukan sekadar pelayaran. Ia membawa harapan, kasih sayang dan kemanusiaan merentas sempadan. Misi aman yang membawa bekalan makanan, susu formula untuk bayi dan ubat-ubatan ke bumi Gaza.
Disertai kira-kira 500 aktivis dari 44 negara, termasuk 23 dari Malaysia, belayar menuju ke Gaza. Bukan untuk nama, bukan untuk disanjung, bukan untuk pujian, tetapi demi rakyat Palestin yang bergelut antara hidup dan mati di bumi sendiri.
Mereka ini bukan sekadar aktivis. Mereka adalah suara yang mewakili jutaan umat manusia yang tidak sanggup lagi melihat derita warga Gaza, yang saban hari menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis. Mereka juga membawa solidariti dan cinta sesama insan.
Biarpun pelbagai cabaran dan dugaan dilalui, namun semangat mereka terus membara. Biar pun begitu, kita merancang, Allah jua yang menentukan. Dalam keheningan malam Laut Mediterranean, pada 2 Oktober yang lalu, detik hitam menyapa.
Kesemua 45 kapal misi aman itu dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa ketika mereka mula menghampiri pantai Gaza. Kesemua aktivis yang ditahan dibawa ke pelabuhan Ashdod tanpa mereka mengetahui nasib bakal diterima.
Dalam suasana tidak kepastian, seluruh dunia termasuk rakyat Malaysia menanti dengan doa dan air mata. Apa kesudahan mereka yang ditahan tentera negara haram itu? Dan akhirnya, pada 4 Oktober, atas hubungan baik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kerajaan Turkiye, kesemua aktivis Malaysia dibebaskan dalam tempoh 48 jam.
Mereka kembali ke tanah air bukan dengan tangan kosong. Tetapi dengan kisah keberanian yang akan terus membakar semangat perjuangan. Perjuangan GSF menjadi inspirasi di seluruh dunia. Berjuta-juta penduduk membantah penahanan kesemua aktivis dengan protes dilancarkan di beberapa negara. Antaranya di Itali sehingga menjejaskan perkhidmatan kereta api.
Mungkin misi GSF sudah berakhir, tetapi perjuangan masih diteruskan dengan misi yang sama. Diambil alih misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) serta Thousand Madleens to Gaza (TMTG). Pelayaran disertai 150 aktivis dari 25 negara termasuk SEMBILAN aktivis Malaysia.
Namun begitu, mereka juga menerima nasib serupa. Kesemua sembilan kapal dipintas tentera rejim. Sekali lagi Datuk Seri Anwar menggunakan kewibawaan beliau meminta bantuan Turkiye. Semalam, Peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) mengesahkan, kesemua 145 aktivis (FFC) dan (TMTG) dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev, Israel. Proses guaman untuk rakyat Malaysia masih berlangsung.
Dek kerana gelombang solidariti besar-besaran terhadap Palestin sebenarnya memberi tekanan hebat buat Israel. Seperti tiada pilihan, mereka terpaksa tunduk dengan pelan damai Gaza, mengandungi 20 perkara yang dimeterai dengan Hamas, semalam.
Kita mungkin tidak belayar, mungkin juga tidak ditahan tentera Israel, tidak juga dipenjara, tidak dipukul atau diseksa manusia kejam itu. Tetapi kisah mereka perlu dijadikan cerminan kepada nurani kita.
Adakah kita hanya mampu menjadi penonton dalam sejarah yang sedang ditulis? Atau kita juga akan berdiri walau dengan suara, doa, dan sokongan, menyambung misi kemanusiaan ini? Kerana rakyat Gaza tidak perlukan simpati semata. Mereka perlukan tindakan, perlukan kita, umat manusia.
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Siti Noorain Abdullah.