ULASAN BERITA
Beberapa kejadian tragis melibatkan pelajar sekolah sejak kebelakangan ini, membuktikan betapa seriusnya masalah psikososial dalam kalangan anak-anak kita. Keganasan dalam kalangan pelajar kini bukan sekadar buli, sebaliknya sudah membarah hingga menjadi kes rogol dan bunuh.
Yang mengejutkan adalah kesemuanya berlaku di sekolah. Belum reda dengan isu pelajar tingkatan tiga dirogol bergilir-gilir oleh senior di Melaka, negara digemparkan pula dengan kes pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut ditikam pelajar lelaki berusia 14 tahun di Selangor.
Semalam pula tular satu lagi kes rogol pelajar bawah umur di sebuah sekolah di Kedah. Makin menjadi-menjadi, kes yang berlaku bukan setakat meruntun emosi masyarakat. Malah, mula menggugat keyakinan masyarakat terhadap persekitaran sekolah sebagai tempat paling selamat untuk anak-anak.
Ambil contoh kes rogol yang berlaku dalam bilik darjah dan dirakam pula video; kejadian jijik itu. Tidak tercapai dek akal, bagaimana sebuah ruang pembelajaran, boleh bertukar menjadi lokasi perlakuan jenayah seksual yang kejam. Belum sempat trauma masyarakat memulih, selang beberapa hari, kes pelajar tikam pelajar menggunakan pisau.
Timbul pertanyaan, bagaimana seorang pelajar lepas membawa senjata ke sekolah? Jangan terburu-buru menuding jari kepada mana-mana pihak. Sabar.. kita tunggu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau berjanji isu dan permasalahan pelajar akan diselesaikan segera.
Hari ini, kabinet akan membuat keputusan mengenai isu disiplin dan keselamatan membabitkan pelajar sekolah. Kita menanti dalam tenang...jangan gelabah. Dalam masa sama, Kementerian Pendidikan, (KPM) sudah menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti isu keselamatan sekolah.
Semalam, Menteri berkenaan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat memaklumkan, lima komponen utama reformasi serta-merta pendidikan negara akan dilaksanakan dalam usaha memastikan sekolah menjadi premis lebih selamat untuk semua termasuk aspek kesihatan mental dan larangan keras membawa bahan terlarang dan berbahaya.
Aspek lain yang diberi penekanan ialah pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, Polisi Perlindungan Kanak-kanak dan bimbingan serta sokongan daripada guru. Kesemua Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah dikerah melaksanakan reformasi itu secara praktikal dan efisien di semua 10 ribu 243 sekolah di seluruh negara.
Manakala, penilaian pelaksanaannya akan dipantau serta dinilai setiap 15 hari. Kerajaan negeri juga telah menyatakan ikrar masing-masing untuk mempertingkat kawalan di semua sekolah.
Namun, meletakkan tanggungjawab kepada kerajaan, institusi pendidikan dan warga pendidik semata-semata tidak wajar. Dalam hal ini, jalinan kerjasama antara guru dan ibu bapa adalah teras utama.Ibu bapa adalah golongan yang menjadi tunjang dalam proses pendidikan pelajar.
Pendidikan untuk memanusiakan seorang anak dengan perasaan nilai, empati dan kasih sayang, seharusnya bermula dari rumah. Ia seharusnya berlaku daripada usia yang masih muda dan berterusan dalam bentuk hubungan serta didikan menerusi amalan teladan, teguran dan nasihat.
Mungkin sudah masanya kita renung kembali erti berkeluarga, terutama dalam era moden dan serba canggih ini. Di mana, sewajarnya ibu bapa mencipta semula ruang untuk berhubung dengan anak-anak walau sesibuk mana sekali pun.
Jika kita imbau kehidupan kanak-kanak zaman dahulu, meski hidup sederhana tetapi sarat dengan kasih sayang, adab dan interaksi bersemuka sebenar. Dulu, semua aktiviti dibuat bersama. Kitaran hidup penuh dengan anak-anak, ibu bapa dan kawan-kawan.
Dulu rumahlah tempat kita berkongsi cerita, meluah perasaan tetapi hari ini walaupun seisi keluarga berada di rumah, terasa kosong. Kadang anak berada di depan mata sahaja...tetapi terasa seperti jauh beribu-ribu batu.
Gajet telah mengambil alih peranan kita, baik sebagai ibu bapa ataupun anak-anak. Komunikasi semakin berkurangan, duduk makan semeja juga semakin jarang. Ya, memang kita tidak boleh putar ke zaman dahulu, tetapi semangatnya masih boleh kita bawa ke masa ini dan masa hadapan.
Kita faham situasi sekarang tidak sama seperti dahulu, tidak kira ibu bapa atau pun anak-anak lebih banyak masa berada di tempat kerja mahu pun sekolah. Jadi masa bersama di rumah semakin kurang.
Faham penat, tetapi bukan bermakna perlu mengabaikan. Ambillah masa, walaupun sekejap untuk duduk bersama anak-anak. Tanya bagaimana hari mereka. Kadang mereka tidak perlukan nasihat panjang lebar pun. Cukup sekadar seseorang yang boleh mendengar masalah dan menenangkan emosi mereka.
Penggunaan gajet itu juga tidak salah, tetapi perlukan kawalan, pemantauan dan disiplin. Sewajarnya ada waktu ditetapkan untuk anak-anak menggunakan gajet dan penting untuk ibu bapa pantau apa yang dilayari atau permainan yang dimainkan mereka kerana jika tersilap langkah, anak-anak mungkin akan terjerumus dalam imaginasi terlampau, tanpa dapat membuat pertimbangan mana yang betul, mana yang salah dalam setiap tindakan dan perlakuan mereka.
Secara tuntasnya, tugasan mendidik pelajar hendaklah dilakukan secara kolektif, iaitu secara kerjasama antara guru, ibu bapa serta masyarakat setempat. Jika nilai, empati dan disiplin tidak dipupuk dengan konsisten, tragedi seperti itu akan terus berulang. Sekarang adalah masa untuk kita bertindak, sebelum lebih banyak lagi nyawa melayang.
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Emmi Noraliza Adnan.