fb fb fb fb fb

Jualan diesel: Runcit turun 8 juta liter, komersial meningkat 4 juta liter sehari

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika sesi soal jawab Persidangan Dewan Rakyat pada 24 Jun 2024/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Pelaksanaan penyasaran subsisi diesel sejak 10 Jun lalu membuktikan berlaku salah guna penggunaan diesel bersubsidi dalam sektor industri. 

Menurut  Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berdasarkan rekod, jumlah jualan runcit diesel di stesen minyak telah berkurangan hampir 8 juta liter sehari atau 30% untuk minggu pertama selepas pengumuman penetapan semula harga diesel berbanding minggu sebelum pengumuman.

Selain itu, bagi tempoh sama, jualan diesel komersial pula meningkat sebanyak 4 juta liter sehari.

“Ini memberi isyarat bahawa sebahagian penggunaan diesel runcit bersubsidi selama ini, telah digunakan oleh sektor industri yang sepatutnya membeli diesel pada harga pasaran".

"Ini bermakna trend peningkatan jualan diesel komersial menggambarkan tanda positif bahawa ketirisan diesel bersubsidi telah berkurang,” jelas Amir Hamzah di Dewan Rakyat ketika sesi penerangan menteri pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel.

Selain itu jualan diesel di sempadan juga menunjukkan penurunan sebanyak 40%.

“Antara maklumat yang diterima daripada salah satu syarikat minyak, jualan diesel di sempadan menunjukkan penurunan 40%. Ini mengesahkan bahawa sebelum ini memang wujud aktiviti penyeludupan diesel ke negara sempadan kita,” tambah Amir Hamzah.

Ketika ini badan-badan penguat kuasa giat bekerjasama dan mengatur gerak pelbagai operasi bagi membendung aktiviti penyeludupan termasuk sebarang unsur yang menjejaskan kestabilan bekalan barangan dan perkhidmatan serta mengekang elemen pencatutan harga di pasaran.

Ini termasuk OPS TIRIS yang telah dilaksanakan KPDN sejak 1 Mac 2023 dan diteruskan pada tahun ini melibatkan OPS TIRIS 3.0 bagi mengekang aktiviti ketirisan subsidi diesel.

Menerusi OPS TIRIS 3.0 yang diteruskan sejak 1 Januari 2024, setakat 22 Jun lalu, sebanyak 570 kes telah dikendalikan. Ia melibatkan sitaan minyak diesel lebih 5.1 juta liter yang bernilai hampir RM12 juta dan RM46 juta nilai rampasan aset dan peralatan serta 275 tangkapan telah dilaksanakan ke atas individu terlibat.

Selain itu KPDN juga telah menggerakkan OPS KESAN 2.0 seawal 2 Mei lalu bagi memantau impak pelaksanaan serta memastikan tiada elemen pencatutan berlaku selaras undang-udang bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Setakat 20 Jun 2024, sebanyak 2,100 premis telah diperiksa di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, 210 Notis Bertulis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga di seluruh negara.

“Sehingga kini sebanyak 7 kes telah dikenal pasti hasil pelaksanaan OPS KESAN 2.0. Analisis pencatutan akan disediakan bagi tujuan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen mencatut terhadap notis-notis,” jelas Amir Hamzah .

Selain itu, bermula pada 20 Januari 2024 juga, para pegawai Penguat Kuasa KPDN di negeri Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan telah menjalankan pemeriksaan di lapan pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) bagi memastikan pematuhan ke atas akta dan perundangan subsidiari yang berkuat kuasa.

Menerusinya hampir 30 ribu pemeriksaan telah dijalankan dan telah mula dikenal pasti kes yang melibatkan kesalahan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki cuba membawa keluar barang kawalan bersubsidi ke negara jiran.

Menerusi pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel, diunjurkan bahawa, kerajaan mampu meraih penjimatan tahunan sebanyak RM4 bilion.

Penjimatan ini tentunya dapat dimanfaat untuk menambah baik mutu hidup rakyat melalui penyediaan infrastruktur awam berkualiti serta perlindungan sosial yang lebih menyeluruh.

“Perlu juga untuk ditekankan bahawa, berbanding dengan kos subsidi diesel RM14 bilion tahun 2023, penjimatan RM4 bilion setahun bermakna Kerajaan masih menanggung subsidi diesel sehingga RM10 bilion, antaranya untuk menampung subsidi di Sabah dan Sarawak (RM3 bilion), subsidi untuk sektor pengangkutan awam dan sektor logistik Semenanjung Malaysia (RM4 bilion), bantuan tunai untuk pemilik kenderaan individu dan pengusaha kecil agri-komoditi (RM2 bilion) serta subsidi diesel nelayan (RM1 bilion),” tambahnya.

OPS TIRIS turut melibatkan pasukan petugas badan penguat kuasa seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bermula 10 jun lalu, kerajaan telah menetapkan semula harga runcit bahan api diesel di Semenanjung Malaysia pada RM3.35 seliter manakala, harga runcit di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

MAT YUNUS BIN SABRI