fb fb fb fb fb

MADTEC perkukuh rantaian eksport durian negara

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu/ BERNAMA

SEPANG, 28 November - Malaysia terus memperkukuh ekosistem pengeksportan buah-buahan tropika negara menerusi pelancaran Malaysia Durian (Tropical Fruit) Trade and Export Centre (MADTEC).

MADTEC yang dibangunkan oleh Tropika Makmur Manufacturing Sdn. Bhd., berperanan membuka akses lebih luas kepada pengusaha termasuk petani kecil untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata MADTEC menyediakan kemudahan pemprosesan dan penyediaan eksport yang lebih tersusun bagi pemain industri.

“Dengan fasiliti pemprosesan bertaraf antarabangsa, petani kini boleh memanfaatkan infrastruktur pemprosesan yang lengkap tanpa perlu menanggung kos besar membina kilang sendiri. Hasil mereka boleh diproses mengikut standard eksport dengan lebih cekap dan teratur,”katanya ketika berucap merasmikan MADTEC di sini hari ini.

Beliau menegaskan, pembangunan MADTEC juga penting bagi memastikan manfaat industri durian dapat dinikmati secara adil oleh semua pemain industri, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Tambah beliau, nilai eksport durian negara terus menunjukkan peningkatan dengan RM1.2 bilion direkodkan pada 2024, melibatkan hampir 44,000 tan metrik ke pelbagai destinasi luar negara, terutamanya China yang kekal sebagai pengimport terbesar.

Menurutnya, permintaan antarabangsa terhadap varieti tempatan seperti Musang King, Duri Hitam dan D24 semakin meningkat, justeru pengusaha perlu mengekalkan kualiti bagi memenuhi standard pasaran luar.

Jelas beliau. lokasi MADTEC yang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta sokongan logistik yang lengkap menjadikannya hab penting dalam melicinkan proses pemprosesan dan penghantaran produk durian ke luar negara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD