PUTRAJAYA, 28 November— Keseimbangan antara pembangunan duniawi dan kekuatan rohani mesti terus menjadi tunjang kepada agenda Malaysia MADANI bagi memastikan negara bukan sahaja maju dari segi teknologi, tetapi turut unggul dalam aspek akhlak, keinsanan dan nilai.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembangunan yang berteraskan nilai dan keinsanan amat penting dalam membentuk masyarakat sejahtera serta negara yang stabil dan berdaya tahan.
Tambah beliau, kerangka berkenaan bukan sekadar dasar pentadbiran, sebaliknya sebuah landasan untuk menghimpunkan para ulama dan sarjana agar dapat menjadi rakan dalam usaha memperkukuh nilai, akhlak serta kekuatan insaniah negara.
“Negara lain membicarakan kemajuan ekonomi yang pesat, tetapi nilai kemanusiaan semakin luntur. Dalam negara Madani, teras kita tetap nilai dan akhlak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada ke Majlis Perasmian Khatam Sama’ Hadis Sahih Muslim Antarabangsa 2025 di Masjid Putra.
Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, tokoh-tokoh ulama antarabangsa serta sarjana terkemuka yang bersama menjayakan tradisi ilmiah tersebut.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa meskipun dunia kini memberi tumpuan kepada kemampanan, transformasi digital, tenaga baharu dan kecerdasan buatan (AI), kerajaan Madani membawa kelainan kerana tetap meletakkan akhlak dan nilai sebagai teras utama pembangunan.
Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam bidang baharu seperti AI dan teknologi digital, namun usaha memperkukuh akidah, membina kekuatan insaniah dan memartabatkan nilai tidak boleh diketepikan.
“Nilai dan akhlak mesti diletakkan dalam seluruh kerangka pendidikan, ekonomi, teknologi dan tadbir urus negara,” katanya.
Datuk Anwar turut menyatakan kesyukuran apabila kerajaan berjaya memperluas pengajian al-Quran dan ilmu Islam, meliputi sekolah konvensional, sekolah agama serta institusi pondok, selain usaha mengimarahkan masjid melalui program seumpama ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ulama dalam dan luar negara yang menyertai majlis berkenaan, termasuk Mufti Besar India, Sheikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari, yang mencetuskan inisiatif tersebut.
“Tradisi ilmu ini pernah menjadi amalan dalam tamadun Islam, namun banyak ditinggalkan. Justeru kerajaan mengambil tanggungjawab menghidupkannya kembali sebagai sebahagian daripada pengukuhan akhlak dan nilai,” katanya.
Perdana Menteri menutup ucapannya dengan menzahirkan doa agar usaha ini menjadi kekuatan kepada umat Islam serta seluruh rakyat Malaysia dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan negara.
“Semoga kita dapat terus memberi tumpuan memimpin negara, meningkatkan kesejahteraan ummah, Malaysia dan insya-Allah, kemanusiaan seluruhnya,” katanya.