fb fb fb fb fb

Banjir di tiga negeri tidak banyak berubah

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Disember - Keadaan banjir di Melaka, Pahang dan Johor tidak banyak berubah dengan jumlah penduduk yang masih berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri berkenaan meningkat sedikit kepada 292 orang pagi ini, berbanding 256 malam tadi.

Di MELAKA, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan jumlah penduduk terjejas bertambah kepada 36 orang daripada lapan keluarga berbanding 34 orang pada malam tadi, yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu.

Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), situasi sama dilaporkan di PAHANG, apabila jumlah penduduk terjejas di Rompin meningkat sedikit kepada 84 orang daripada 23 keluarga, berbanding 49 orang daripada 13 keluarga malam semalam yang ditempatkan di PPS Kampung Setajam.

Di JOHOR, situasi berbeza direkodkan dengan jumlah penduduk yang dipindahkan sedikit menurun kepada 172 orang daripada 58 keluarga di tujuh PPS di Segamat, berbanding 173 orang yang direkodkan semalam.

Pengerusi JPBN negeri Datuk Asman Shah Abd Rahman dalam kenyataan memaklumkan dua sungai di Segamat turut melepasi paras bahaya, iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap dengan bacaan 8.89 meter (m) dan Jeti Sungai Tekam (4.13m), dengan trend menaik.

Sementara itu, satu jalan masih ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan iaitu Felda Tenggaroh 3, Mersing susulan kejadian cerun runtuh. -BERNAMA

MASNIZA AWANG KECHIK