SEPANG, 28 November - Hujan berterusan sejak petang semalam mengakibatkan beberapa kawasan di daerah ini dinaiki air sehingga memaksa penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut Pegawai Kanan Bahagian Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Bomba Qalam Abdul Halim, pihaknya kini membuat pemantauan berterusan di sekitar daerah itu terutama di kampung-kampung yang terkesan.
"Kita juga memantau paras air sungai dan sentiasa bersiap sedia sekiranya terdapat panggilan-panggilan kecemasan daripada penduduk.
"Kita juga menasihati penduduk supaya mematuhi arahan untuk berpindah ke PPS dan berlindung di sana," jelasnya.
Pagi tadi, pihaknya berjaya memindahkan 22 penduduk di daerah itu selepas kediaman mereka terkesan banjir.
Operasi menyelamat melibatkan 26 anggota dari balai bomba KLIA, Balai Bomba Sepang dan Bomba Sukarela Serdang.