KANGAR, 28 November -Jumlah penduduk terjejas banjir di Perlis berkurangan kepada 7,116 orang setakat pukul 9.00 malam tadi, berbanding 7,345 pada petang tadi.
Menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud, pusat pemindahan sementara (PPS) di sekitar Kangar masih menempatkan penduduk teramai iaitu 4,251 orang melibatkan 1,257 keluarga di 10 PPS.
"Manakala di Arau dengan 1,653 orang daripada 517 keluarga di enam PPS. Sementara di Padang Besar, jumlah terkini penduduk terjejas banjir ialah 1,212 orang daripada 364 keluarga di lapan PPS," menurut Mohd Izaimi.
Berikutan cuaca cerah hari ini, dijangka lebih ramai penduduk terjejas banjir yang berada di PPS khususnya di Padang Besar dan Arau akan kembali ke kediaman masing-masing esok.
Sementara itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil meluangkan masa melawat PPS Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis yang kini menempatkan seramai 258 penduduk terjejas banjir.