fb fb fb fb fb

Banjir di Kg Limau Kasturi surut, penduduk waspada gelombang seterusnya

Foto RTM

GUA MUSANG, 28 November - Banjir di Kampung Limau Kasturi, di sini semakin pulih dengan paras air Sungai Galas dilaporkan semakin surut.

Kebanyakan penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibenarkan pulang selepas Jambatan Sungai Kerak yang menjadi penghubung penduduk kampung sudah boleh dilalui kenderaan.

Penduduk setempat bagaimanapun berada dalam keadaaan waspada kerana kawasan itu masih dilanda hujan dan dijangka berdepan gelombang kedua banjir.

"Lumpur tidak begitu tebal, tapi memerlukan dua kali cucian. Sebelum ini, kita bersihkan hari ini, esok banjir datang lagi. Sudah terbiasa dengan keadaan macam ini," kongsi Che Jah Hussin.

Sementara itu, Harman Seman yang juga terbiasa dengan kejadian banjir berulang di kawasan itu meminta penduduk setempat mematuhi arahan jika diminta berpindah.

"Permudahkanlah urusan pihak berkuasa. Berpindah jika diarah sedemikian dan beri kerjasama," katanya.

Setakat pukul 10 malam (Jumaat), hanya sebuah PPS yang beroperasi di Gua Musang, iaitu PPS SK Limau Kasturi 1 yang menempatkan 21 penduduk.

Secara keseluruhan, ketika ini penduduk terkesan banjir di Kelantan menunjukkan penurunan apabila hanya 3,006 orang masih berlindung di 18 PPS seluruh negeri.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN