KEMAMAN, 28 November - Dua keluarga berdepan detik cemas selepas bahagian dapur rumah mereka dihempap tanah runtuh dalam kejadian di Perumahan Felcra Seri Bandi, di sini sekitar 9.30 pagi tadi, susulan hujan lebat sejak dua hari lalu.
Salah seorang mangsa, Zainon Awang memberitahu dia yang ketika itu sedang menyediakan sarapan untuk keluarga terdengar bunyi dentuman yang kuat di bahagian belakang rumahnya.
"Saya mendengar bunyi dentuman yang kuat. Bahagian dapur rumah telah dihempap pokok dan tanah," kongsinya yang memaklumkan dia sekeluarga akan berpindah sementara ke rumah saudara.
Seorang lagi mangsa, Hajrah Said yang sedang bersarapan bersama keluarga turut terdengar bunyi seakan hentaman kuat di belakang rumah.
Menurut Hajrah, mereka sekeluarga terkejut dan bertindak keluar rumah untuk menyelamatkan diri.
"Selepas terdengar bunyi tersebut, saya telah memanggil anak yang sedang tidur dan berlari keluar untuk menyelamatkan diri," katanya.
Hajrah sekeluarga terkejut melihat keseluruhan bahagian dapur rumah mereka runtuh dihempap pokok dan tanah.
Sementara itu, ADUN Kijal, Razali Idris berkata, dua keluarga terbabit akan dipindahkan sementara ke tempat lain sementara pihaknya membuat penilaian sebelum melakukan kerja pembaikian cerun yang runtuh.
Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kijal yang tiba di lokasi sejurus selepas kejadian turut menasihati penduduk terlibat supaya berwaspada bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.