fb fb fb fb fb

Gong Tok Nasek dinaiki air, hujan lebat bertembung air pasang besar

Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 28 November - Hujan lebat melebihi 100 milimeter di daerah ini yang bertembung fenomena air pasang besar menyebabkan banyak kawasan terjejas banjir.

Tinjauan dilakukan RTM sekitar kawasan Gong Tok Nasek, di sini mendapati banyak rumah rumah terjejas dan dinaiki air secara mendadak sejak pukul 3 pagi tadi termasuk di Kampung Gong Datuk.

Bagaimanapun menurut Timbalan Pengerusi Komuniti Kampung Baru, Muhammad Rasyid Ibrahim terdapat segelintir penduduk yang enggan berpindah ke lokasi lebih selamat.

"Ada yang tidak mahu berpindah, mahu tengok keadaan air dulu. Kalau ikutkan taklimat sebelum ini sudah dimaklumkan supaya berpindah terus, jangan tunggu sehingga malam.

"Kalau tidak berpindah terus, akan menyukarkan proses menyelamat oleh pihak berkuasa. Kita mohon supaya penduduk terlibat supaya mengutamakan keselamatan dan tidak menunggu sehingga keadaan makin parah baru mahu berpindah," ujarnya.

Salah seorang penduduk kampung, Datuk Ibrahim Muda berkata biasanya banjir besar berlaku jika bertembung dengan air pasang.

"Selepas dua atau tiga jam akan surut apabila air laut surut. Tapi sekarang air makin naik. Situasi seakan banjir besar yang berlaku pada 2023," katanya.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN