fb fb fb fb fb

HASiL perkenal e-invois fasa keempat untuk perkasa pendigitalan PMKS

Foto fail/RTM

KUALA LUMPUR, 30 Disember -Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) melaksanakan fasa keempat inisiatif e-Invois kepada hampir 130,000pemain industri Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Inisiatif nasional itu bertujuan mentransformasikan sistem manual kepada digital, sekali gus memperkasakan penggunaan teknologi pendigitalan dalam sektor berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin menjelaskan, e-Invois akan membantu PMKS menyimpan rekod perniagaan dengan lebih baik dan menilai sendiri potensi perniagaan berdasarkan data yang tersedia.

"Apabila kita menyentuh mengenai pendigitalan ini, ia melibatkan perubahan daripada sistem manual yang sebelum ini banyak memberi fokus kepada resit bercetak.

"Dengan digitalisasi, kita mengharapkan manfaat besar kepada PMKS, terutamanya dalam menyimpan rekod perniagaan dengan lebih baik. Data yang tersimpan ini bukan sahaja membolehkan mereka menilai dan memajukan perniagaan, tetapi juga penting untuk pelaporan audit dan percukaian," katanya kepada pemberita
selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia, di Angkasapuri.

Tambah Datuk Dr. Abu Tariq, semua data invois akan melalui proses validasi oleh HASiL sebelum diberikan kepada pembeli, sekali gus memudahkan urusan percukaian dan pelaporan bagi pembayar cukai.

Data-data tersebut secara automatik disimpan untuk menilai keupayaan peniaga dari segi percukaian, sekali gus membantu meningkatkan kecekapan mereka dalam merekod semua transaksi dengan baik.

"Kita berharap ia dapat meningkatkan kecekapan peniaga dengan merekod semua data dengan baik. Isu kehilangan data atau bukti tidak timbul kerana ia boleh disemak dengan pihak Lembaga Hasil. Malahan, e-Invois juga memberi manfaat kepada pembeli, yang boleh menyemak pembelian mereka melalui Portal MyInvois. Masalah seperti resit hilang dapat diatasi kerana apabila e-Invois dikeluarkan, Lembaga Hasil juga mengetahui pembelian tersebut, sekali gus menghapuskan keperluan menyimpan rekod atau resit manual," katanya.

Datuk Dr. Abu Tariq turut menekankan dua sistem utama untuk PMKS iaitu Portal MyInvois dan Sistem MyInvois e-POS yang membolehkan pengeluaran e-Invois secara digital dan percuma.

"Dua sistem ini sangat penting bagi PMKS untuk menyertai pelaksanaan e-Invois. Mereka perlu mengambil maklum tentang kedua-dua sistem yang diberikan secara percuma untuk digunakan. Kita menjangkakan PMKS akan memberi tumpuan kepada sistem ini, dan di peringkat Lembaga Hasil, kami sentiasa bersedia membantu mereka menggunakannya. Kami juga telah bersedia menerima sebarang pertanyaan berhubung kedua-dua sistem ini," katanya lagi.

Selain menegaskan pelaksanaan e-Invois adalah satu perubahan penting dalam era digital, beliau optimis pihaknya sentiasa bersedia memberi bantuan agar PMKS dapat melaksanakan sistem ini dengan mudah.

"Apabila perubahan ini dilaksanakan, peniaga perlu berusaha memahami sistem ini. Kita berharap pihak PMKS turut serta dalam perubahan ini, dan kami sentiasa bersedia memberikan bantuan terbaik supaya mereka dapat menyertai pelaksanaan e-Invois dengan lancar," tambah Datuk Dr. Abu Tariq.

TETITIA YUSOFF