fb fb fb fb fb

Daftar kelahiran anak dalam apa jua keadaan, elak tercicir bantuan

Datuk Badrul Hisham menyerahkan MyKad kepada ayah dua beradik OKU di Kampung Gong Tunga, Bachok, Kelantan

BACHOK, 30 Disember - Ibu bapa terus digesa memastikan kelahiran setiap anak didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), termasuk anak istimewa atau Orang Kurang Upaya (OKU).

Ini bagi membolehkan mereka memiliki Mykad, sekali gus layak menikmati pelbagai bantuan dan inisiatif yang disediakan oleh kerajaan.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, pihaknya sentiasa komited untuk membantu mereka yang layak memiliki MyKad melalui pelbagai program mesra komuniti, termasuk Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR).

Sehingga Disember tahun ini, JPN menerima hampir 100,000 permohonan untuk memiliki dokumen pengenalan diri menerusi penganjuran lebih 3,300 Program MEKAR di seluruh negara.

"Keperluan kepada MyKad pada hari ini adalah amat penting kerana semua inisiatif kerajaan diberi menggunakan MyKad.

"Ada juga kes di mana ibu bapa sendiri yang tidak rela untuk memberitahu umum bahawa anak mereka itu adalah tergolong dalam golongan OKU.

"Jadi saranan saya kepada ibu bapa dalam apa jua keadaan anak, paling penting adalah kelahiran itu mesti didaftarkan," katanya dalam sidang media Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri Ketua Pengarah JPN di Kampung Gong Tunga di sini.

Terdahulu, Datuk Badrul Hisham menyerahkan MyKad gantian kepada dua beradik OKU masalah pembelajaran, iaitu Mohd Zaimi Mohd Noor, 48 tahun dan Mohd Zulkufli Mohd Noor, 29 tahun yang mempunyai kekangan pengangkutan ke pejabat JPN.

Dua beradik tersebut merupakan antara lima anak OKU Mohd Noor Mohd Zain yang sukar diuruskan oleh keluarga untuk dibawa keluar kerana memerlukan pengawasan ketat.

MASNIZA AWANG KECHIK