KUALA LUMPUR, 30 Disember – Ahli ekonomi dan tokoh akademik tersohor dari Sarawak, Datuk Madeline Berma, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Bandar Baru Bangi, Selangor, kira-kira pukul11.30 pagi tadi. Mendiang berusia 64 tahun.
Pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar kepada dunia akademik dan pembangunan sosial negara, memandangkan sumbangan luas beliau dalam bidang ekonomi, pendidikan serta advokasi komuniti.
Berita duka itu dikongsikan oleh rakan seperjuangan mendiang, Penganalisis Ekonomi Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali, menerusi satu hantaran di Facebook.
Dalam catatannya, beliau menyifatkan mendiang sebagai seorang sarjana yang konsisten memperjuangkan kesejahteraan insan, khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan.
“Besar sumbangannya kepada negara. Mendiang merupakan pesara akademia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan juga alumni UKM yang sangat dihormati,” katanya.
Datuk Madeline Berma turut dikenali sebagai penganalisis ekonomi yang kerap tampil memberikan pandangan bernas dan menyeluruh dalam pelbagai program terbitan Berita RTM, Radio Televisyen Malaysia.
Penampilan terakhir mendiang di RTM adalah ketika mengulas Belanjawan 2026 pada Oktober lalu.
Sepanjang kerjaya akademiknya, mendiang terkenal dengan kajian berkaitan pembangunan ekonomi, khususnya melibatkan isu pembangunan luar bandar, pembasmian kemiskinan serta pemerkasaan wanita.
Mendiang juga aktif menyumbangkan kepakaran dalam bidang ekonomi dan pembangunan sosial negara, dengan penekanan khusus terhadap isu pembangunan di Sarawak.